Yang selalu jengok

Saturday, April 28, 2012

YELLOW


Bersih 3.0 cipta Sejarah

Dataran Merdeka sudah di pagar
Bersih di Gunung Everest
Bersih di Perth, Australia
Bersih di Masjid Nabawi, Madinah






Malam sebelum Bersih 3.0 28/04/2012 di sekitar Dataran Merdeka

Friday, April 27, 2012

Young Adult

Charlize Theron pernah menang pelakon wanita terbaik Academy Award melalui filem " The Monster".  Dia adalah orang South Afrika yang berkategori putih dan cantik.  Kali ini dia melakon satu watak penulis buku2 remaja yang cuba kembali ke kampung halaman setelah gagal dalam perkahwinan.  Filem arahan Jason Rietman yang membawa 2 cerita utama sebelum ini ke Academy Award iaitu filem 2009 : "Up in the Air" dan 2007 : "Juno".  Cerita yang mengembalikan nostalgia sesiapa yang menonton kalau teringat kisah lama tetapi diselit dengan humor yang tidak berlebihan tetapi tersangat manis.  Lelaki yang mahu digoda kembali sudah berkahwin dilakonkan oleh Patrick Wilson.  Cerita kali ini juga dicalon salah satu filem terbaik tahun 2011.  Tidak ada aksi yang boleh menyokong kalau sesiapa menunggu aksi.  Tiada tembak menembak atau bom mengebom.  Tetapi filem ini meletopkan impian lama. Adegan paling aku ingat bila dia masuk ke Macy dan bertanyakan tentang baju yang lebih standard dan sebab apa aku ingat, kerana di Malaysia Macy hanya berada di Mutiara Damansara tetapi Macy di sana adalah kedai kampung di Amerika.



Nak Berlagak

Baru sampai rumah, anak lelaki aku sudah minta sesuatu.

"Abang nak RM5"

Aku yang sibuk memasukkan kain ke dalam mesin basuh menoleh "Nak beli apa ni?"

"Abang nak je RM5"

Aku menyahut balik "Nak buat apa banyak2 ni.  Kan ayah bagi hari2, abang kumpul la" Suara sedikit tinggi cuba menakutkan.

"Kalau tak boleh, bagi abang  banyak2 0.50 sen." Suara anak lelaki aku ini pun tinggi semacam.

"Nak beli apa!" Aku dah naik suara.

"Bagi je la, abang tak nak beli apa2 pun" Suara anak lelaki sudah mengendor perlahan.

"Abis, nak buat apa?" Suara aku makin tinggi.

"Abang nak berlagak je"



Monday, April 23, 2012

Mission Impossible : The Ghost Protocol

Tom Cruise terus berniaga filem.  Mission Impossible Ghost Protocol memang buat duit walaupun tiada isi yang boleh dijadikan ingatan peminat filem.  Filem besar ini bergerak dari Russia ke Dubai dan ke India memang boleh membuat orang terpaku dengan aksi yang lari, pantas, laju, meletop, pecah, tendang, lompat dan terbang.  Bagi aku lakonan Jeremy Renner lebih mengingatkan kerana mungkin aku terpengaruh dengan aksi sebelum ini seperti di dalam filem The Hurt Locker (filem ini memberikan nama Jeremy naik ke persada filem sebagai salah seorang pelakon lelaki terbaik) dan The Town lakonan beliau bersama Ben Affleck.  Aku seperti menanti2 bahawa si Jeremy ini di dalam Ghost Protocol ini adalah seorang yang jahat tetapi dia berlakon sebagai agen yang baik sehingga akhir. Aksi di Dubai di atas bangunan Burj Khalifa seperti hanya iklan dan terlalu mekanikal sehingga tidak nampak bahawa aksi itu boleh dilakukan secara normal.  Anil Kapoor juga berlakon dalam filem ini walaupun kurang dari 3 minit aksi yang akhirnya tewas di atas katil. 

Sunday, April 22, 2012

Thank you, Mark Zuckerberg

Aku mula mengumpul gambar sekitar tahun 1983 - 1987.  Bukan mudah kerana ia berada di bermacam2 tempat.  Aku sudah berada di rumah ketiga iaitu rumah mak aku, rumah pertama aku dan sekarang rumah ke 2 aku.  Kena percaya setiap kali kita berpindah maka sebahagian memori kita akan hilang bukan sebab hilang ingatan tetapi kita tinggalkan barang2 yang rasa2 tidak diperlukan di rumah baru nanti.  Gambar2 kita tinggalkan di rumah mak mungkin sudah sukar untuk digali.  Bertindan dengan barangan lain dan mungkin hilang warnanya.  

Gambar2 tahun 1983 - 1987 ini menyimpan banyak cerita.  Mungkin ada yang ingat tetapi hanya sebahagian dan mungkin ada yang lupa kerana 29 tahun sudah ditinggalkan.  Aku mahu bercerita dengan gambar2 ini.  Tua sudah sampai tetapi kita pernah muda.  Muda kita dimana dan bagaimana ia bermula.  Sukar awalnya kerana sumber yang aku ada hanya beberapa gambar tetapi setelah berfikir panjang dan berurusan terus dengan Mark Zuckerberg maka urusan yang satu ini disenangkan.  Habis semua kawan aku sekitar tahun 1980 an sehingga 1990 an aku tonton gambar mereka dengan bantuan Mark Zuckerberg.  Gambar2 ini bernilai sejarah ini rupa2nya sudah menjadi hak milik Mark Zuckerbeg, walau bukan sepenuhnya tetapi yang pasti semua orang meletakkan gambar tanpa tahu bahawa ia menjadi hak milik Mark Zuckerberg.  

Mark Zuckerbeg ini bukan lama aku kenal dan dia lebih muda dari aku mungkin 15 tahun. Aku sangat berterimakasih pada Mark Zuckerberg seorang ini, dia memungkin aku mengumpul lebih dari 100 gambar sekitar 1983 - 1987 dan gambar2 bernilai sejarah ini kadang2 pelik kerana orang di dalam gambar pasti tertanya bagaimana aku dapat gambar mereka.  Terimakasih Mark Zuckerberg.

Mari Berkhemah

Antara benda awal aku beli selepas duit gaji yang pertama dulu adalah khemah.  Entah mimpi mana yang aku dapat, tiba2 khemah yang aku beli.  Harga lebih kurang RM29 sahaja dan boleh muat 4 orang.  Maka khemah yang satu ini aku pakai semahunya. Port Dickson, Bagan Lalang, Air Terjun Lata Kijang pun sudah menjadi saksi khemah yang satu ini sudah berumah di sana.  Bukan aku sahaja sudah bermalam didalam khemah ini, mak mertua aku juga sudah berehat di dalam khemah yang sama.  Bersantai sekeluarga dan khemah ini banyak membantu dari hujan dan panas.

Bila berkhemah di Dataran Merdeka sudah masuk seminggu, ini terlalu pelik.  Cerita mereka yang mudah diselesaikan menjadi satu cerita besar yang nampak seperti satu kerajaan kena berbincang.  Pinjaman PTPTN minta dihapuskan oleh pelajar2 dan mereka berkhemah hanya memenuhkan protes yang sama.  2 malam sudah nampak impak dan apabila mereka diserang dengan 40 orang gangster dan dirakam video dan dipancar dalam MSN Yahoo maka cerita mereka ini tidak lagi mudah.  Kenapa perlu diserang mereka ini? Hanya DBKL sahaja yang berurusan dengan mereka.  

Aku melihat cerita mereka ini sebijik macam cerita India dari India.  Cuba tonton cerita hindustan "Pepli Live".  Gangster akan membuat ugutan jika diteruskan dan ada orang mendapat untung dari protes yang dibuat.  Aku juga pernah dengar cerita2 dalam di Syria.  Kerana terlalu marah dengan budak2 muda yang berprotes setahun dulu, beberapa orang telah ditangkap oleh sesiapa yang tidak diketahui.  Dalam beberapa hari mereka dihantar ke rumah masing2 dalam keadaan mata dicongkil. Adakah ini memberi ketakutan kepada orang2 muda yang lain?  Rupa2nya cerita congkil ini menambah kekuatan yang berbeza untuk terus protes.

Cerita berkhemah sekarang bukan lagi cerita kecil.  Satu dunia melihat video MSN itu dimana budak2 diserang maka yang pasti khemah akan bertambah.  Khemah sekarang ini bukan lagi untuk bersantai tetapi satu protes yang sudah nampak besar.

Wednesday, April 18, 2012

Sembang Nasi Bukhara

Aku sedang makan selepas solat Jumaat.  Hari2 Jumaat dimana masuk awal, pasti makan aku hanya berlaku selepas solat.  Aku adalah pekerja tegar, masuk ikut waktu dan membayar cukai.  Aku wira negara kerana banyak projek di Malaysia adalah datang dari duit yang aku bayar cukai.  Makan hari ini aku diganggu seseorang.  Tersenyum dari jauh dan terus menerpa.  Macam aku kenal dan dia terus memperkenalkan diri.  Memang sah aku kenal tetapi sudah lupa nama, mak aku cakap mungkin aku banyak telan semut. Cish. Mulut mengunyah ini aku menyapa ajak makan sekali.  Semacam di pinggan yang sama.

Setelah memperkenalkan diri tanpa berlengah orang yang menegur terus bertanya di mana aku mengundi. Aik, hebat.  Aku menjawab sambil tersenyum "Di Selangor la"sambil sedap pulak mengunyah nasi bukhara ayam.  Lelaki ini menbalas balik "Kali ini kita akan rampas Selangor dari PKR" Oh ye ke kata aku. "Aku memang tahu UMNO banyak salah tapi PKR ini dah melampau, kita mesti ambil balik dari dorang" Aku bertanya lagi kat mana melampaunya.  Dia memberitahu "Kalau dorang naik, Malaysia akan jadi macam Singapore, republik, Menteri Besar orang Cina, Melayu dipinggirkan, kita kena ingat anak2 kita yang akan datang" Aku bertanya lagi "Sekarang ini ok tak?"  Dia membalas sekarang tak ok kerana BN tak dapat 2/3 dari parlimen maka banyak benda tidak dapat dibuat. Aku tak setuju dan menambah "Bila tak kuat, rakyat mesti dapat untung, tengok Tol di Cheras dah diberhentikan, dapat duit BR1M RM500 tanpa dipilih2 dari parti mana, RM100 untuk anak2 masuk sekolah." Aku menyambung lagi "Kalau tukar sekali tak boleh ke?"

Dia tersenyum kelat seperti tak dapat makan apa yang aku makan, nasi bukhara.  Dia menyambung cerita "PKR berjanji macam2, boleh ke dorang buat?" Aku menjawab "Entahla, buku jingga yang dorang tulis macam boleh buat" Dia menyambung lagi "Berjanji memang boleh, tapi nak tunai tu susah sikit la" sambil mata melihat nasi bukhara aku.  Dia menyambung lagi "Najib dah buat macam2, kita kena bersyukur" Aku iyakan. Tapi aku menyambung "Aku rasa dah ok Selangor ni, air percuma, cukai pintu dah diturunkan - aku beritahu apa yang aku tahu la"  Aku terus melabun "Rasa2 wakil rakyat di Selangor lebih mudah didekati, hari tu aku dapat sembang dengan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad, wakil PAS - nampak ok pandai" Aku sambung lagi "Aku pernah sembang dengan Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam - kat surau tempat aku lagi - ceruk tu" Aku tambah cerita lagi "Pernah juga aku sembang dengan Ng Suee Lim, Adun Sekinchan - ok, bagus untuk rakyat" Aku tambah lagi sambil melihat dia sudah seperti tak mahu mendengar "Aku kena cepat ni, 2.30 nak masuk balik"  Dia senyum dan minta nombor telefon aku, aku memberi dan bersalam sambil melihat dari anak mata, nasi bukhara yang tidak kesampaian. 

Contraband

Mark Wahlberg dengan tiba2 menjadi seorang pelakon yang berkarektor.  Dia adalah seorang penyanyi rap yang terjun berlakon dalam beberapa filem besar.  Salah satu cerita yang dicalonkan dalam Academy Award tahun lepas adalah 'The Fighter' lakonan bersama Christian Bale.  Kali ini cerita tentang seorang penyeludup yang sudah bersara, Mark Wahlberg dan mahu hidup aman bersama isteri lakonan Kate Beckinsale.  Tiba2 adik Kate terlibat dengan penyeludupan dan gagal menyampaikan barang seludup kepada yang berkemahuan.  Disebabkan ini, Mark Wahlberg terpaksa membuat perkara yang mahu ditinggalkan iaitu menyeludup.  Cerita lebih tentang kekeluargaan dan tidak terlalu maksimum aksi.  Cerita yang tidak dapat memberikan apa2 input kepada penonton  kerana cerita yang semacam diulang2 dalam cerita lain.


Orang yang ku pinang

Pagi2 Ahad 15/4/2012, aku bergegas ke rumah mak.  Mak memberitahu jiran dekat rumah akan melangsungkan pertunangan pada pukul 11 pagi. Hari masih 9 pagi.  Kereta bergerak perlahan ke rumah mak dan suasana masih tenang hanya dengar2 burung bersiul bernyanyi pagi.  Mak memberitahu bahawa aku akan menjadi wakil untuk meminang pada hari ini.  Wulamak, terkejut, lansung tanpa dirancang.  Mak memberitahu aku kena pegi awal ke rumah sepupu aku, Ismail kerana rombongan bertunang akan bergerak dari sana pada pukul 11 pagi. 


Di kepala aku bermacam2 cerita bermain.  Tujuan datang, duit hantaran, hadiah iringan, mas kawin, cincin tanda risik dan tunang dan berapa lama bertunang.  Ini semua perlu dibincang sebelum pergi meminang.  Sesampai aku disana, ibu lelaki, Pn Sabariah yang juga jiran aku sudah tersenyum dan mengajak aku minum pagi dahulu.  Gelabah fikiran ditutup sebentar melihat kuih2 di atas meja.  Bukan senang menjadi wakil kalau tidak bersedia.

Siapa nama bakal lelaki dan siapa nama yang dipinang?  Siapa nama ibubapa si gadis pilihan? Berapa hantaran? Berapa mas kawin? Berapa lama bertunang? Hadiah iringan ini termasuk yang akan dihantar waktu berkahwin nanti? Cincin ada berapa - risik dan tunang?  Semua ini dijawab oleh ibu lelaki.   Rasa2 sudah bersedia dengan maklumat untuk bertanya, merisik dan merasmikan pertunangan.  Sepupu aku akan membantu dan dia meminta aku berpantun kalau boleh.  Di kepala aku berbagai benda yang muncul.  Pantun atau tidak? Ini kena lihat siapa yang menerima.  Kalau mereka beria2 maka pantun akan terpancul.

Sesampai di rumah perempuan, majlis pun bermula dengan lancar.  Bapa saudara perempuan menyambut dan disambung oleh bapa perempuan sendiri.  Aku juga dibantu oleh sepupu aku, Ismail.  Tiada apa yang pelik kerana perbincangan antara orang tua keduanya sudah dibuat.  Aku hanya menyambung cerita.  Selesai dan selamat bertunang kepada Zainuddin (Atan) dan Suhaila Selamat.

Tuesday, April 17, 2012

Demo dan Berkhemah

Satu persatu demo telah disusun sepanjang April 2012 ini dari berbagai pihak.  Peneroka2 Felda tentang penyenaraian Felda Global Venture Bhd (FGVB), Pelajar2 menentang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memohon pendidikan percuma, Bersih 3.0 yang menuntut PRU yang lebih adil akan diadakan pada 28/4/2012.  Maklumat yang pantas tersebar dan peningkatan pencerahan tentang sesuatu tidak boleh lagi disangkal oleh media stream seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3 atau RTM. 

Pelajar2 telah berkumpul lebih 2,000 orang di Kuala Lumpur pada hari Sabtu 14/04/2012 dan berarak menuntut dihapuskan pinjaman PTPTN. Kenapa ini diminta hapus?  PTPTN memberikan satu bentuk pinjaman pendidikan kepada semua yang layak masuk ke Universiti awam atau swasta.  Pinjaman ini mesti dibayar setelah habis belajar dan dikenakan kadar faedah sebagai urusan pentadbiran PTPTN.  Beberapa cerita tentang pelajar2 yang disenarai hitam kerana tidak membayar dan dikenakan kadar faedah lebih tinggi.
 Setelah selesai berdemo dan berarak, pelajar2 ini telah singgah di Dataran Merdeka dan  berkhemah di sana.  Bermula dengan 4 buah khemah dan merebak menjadi 10 khemah.  DBKL telah datang menghalau dan berlaku sikit pergaduhan di antara pelajar dan penguasa DBKL.  Tindakan berkonflik ini akan menyebabkan lebih banyak pelajar akan turun ke Dataran Merdeka untuk solidariti - semangat setiakawan. 

Thursday, April 12, 2012

Ranking Kita 156

Penduduk Samoa yang berdaftar pada tahun 2009 adalah sebanyak 179,000.  Mungkin banyak orang tak tahu bahawa Samoa berada di tangga 155 yang dikeluarkan oleh FIFA semalam.  Tangga terendah mereka pada bulan November 2011 iaitu 204.  Pada masa itu kita berada pada tangga 152.  Bagaimana Samao yang langsung tidak diketahui bermain bola secara antarabangsa boleh melompat sekitar 50 anak tangga.  Jurulatih mereka bernama Pailasi Saumani juga lansung tidak dikenali.  Aku cuba meng'google images'kan nama itu langsung tak jumpa.  Apa yang terkenal di Samoa adalah rugby dan salah satu pasukan yang ditakuti sebab orang2 Samoa ini terkenal dengan berbadan besar.  Penduduk 179,000 ini berbanding Malaysia 28 juta orang pasti ada rahsia untuk melompat tinggi anak tangga.  Kemungkinan Bapak2 Menteri akan berkata Singapora lagi teruk jatuh tangga dari 151 kepada 158 (mengikut konsep harga minyak gak)

Extremely Loud & Incredibly Close

Cerita selepas 911 sudah banyak kali dibuat.  Cuma kali ini diberi nafas baru pada pandangan kanak2 berumur 9 tahun.  Bapa Oskar, lakonan Tom Hank maut ketika WTC New York runtuh kononnya selepas dilanggar dengan 2 buat kapal terbang yang ditawan pengganas.  Telefon akhir dalam bentuk 'message' dibuat ke rumah di simpan Oskar selama setahun dan dia telah memjumpai kunci didalam pasu bertulis nama Black.  Pencarian orang bernama Black bermula kerana dia mahu menyelesaikan pencarian yang dibuat oleh bapanya Tom Hank.  Ia dibantu oleh seorang bisu yang akhirnya dia ketahui bahawa si bisu adalah datuk dia sendiri.  Penelitian pencarian dengan bermula dengan buku telefon dan penyusunan pencarian mungkin boleh dipelajari kita.  Kaitan hubungan setiap pencarian menunjukkan keakraban manusia memang terukai di dalam cerita ini.  Akhirnya jawapan kepada soalan bapa Oskar terjawab setelah dia cuba melawan benda2 yang menakutkan - bunyi yang kuat dan terlalu dekat.  Sundra Bullock juga memberikan lakonan baik tetapi tidak menonjol mungkin kerana pelakon kanak2 ini orang baru dalam filem dan nampak terlalu bagus. Salah satu filem yang bertanding sebagai Filem terbaik 2012.

Hanya kami yang tahu

Bergegar lagi.  Rumah ini tidak lagi baru setelah 2004.  Cerita dulu merewang2 dalam ingatan.  Apa lagi dosa kami.  Air mata sudah keluar tanpa dipaksa.  Anak2 lahir selepas 2004 tidak tahu ketakutan kami.  Duduk di luar rumah dan betul2 duduk di pasir.  Melihat rumah bergegar 30 saat sudah menimbulkan macam2.  Cerita lama dicerita kembali.  Jiran2 berkumpul di laman.  Gegar ini macam 2004 dulu.  Berlari kami terus ke Masjid Abdul Rahman.  Orang ramai sudah berkumpul dan bising seperti pasar.  Kami semacam tahu apa yang perlu dibuat.  Tapi di hati memikir kali ini bagaimana ia akan datang.  Apa lagi dosa kami. 

Cerita ini seperti ulangan.  Amaran dikeluarkan petang ini bukan main2.  Skala richter menunjukkan 8.9.  Kami menunggu dan menangis.  Apa lagi kami perlu buat.  Perasaan dimain2 dengan bacaan Al Quran di masjid.  Tangis dan teriak mencari berkali2 berulang2.  Yang mencari tidak berhenti menjerit, yang menangis terus melagu dan kami yang tua2 ini turut menangis menanti bencana datang.  Apa lagi dosa kami.  Setiap kali amaran diberikan, kami melihat harta seperti bahan buangan.  Apa yang perlu diselamatkan hanya nyawa.  Anak2 kecil menangis seolah faham.  Ulangan cerita ini seolah akan berlaku.

Penantian yang tidak tahu bila ini memang menakutkan.  Seorang sudah memanggil orang ramai bersolat Asar.  Zohor kami di mana? Panggilan azan dilantunkan.  Takut dan memohon pertolongan Allah SWT.  Ruang solat sudah penuh.  Memang dari tadi semua sudah berkumpul.  Imam hari ini memanjangkan bacaan tetapi ingatan terus apa yang akan berlaku.  Asar berlalu dan maghrib sudah menjelma.  Amaran berjaga2 masih ada.  Isyak akan tiba bila2.  Hati sudah tidak lagi memikirkan rumah, duit, kereta, kerja, majikan yang garang, kesempitan duit, hutang dan hanya mahu berpelukan dengan keluarga.  Masa sepanjang ini kami memohon maaf bercerita tentang dosa dan memohon ampun.  Peluk kami ini bukan sebarangan, mungkin peluk yang terakhir.  Sudah 5 jam bercerita dan memohon ampun, amaran Tsunami ditarik balik.  Kami berpegangan tangan menuju rumah, kami berubah dan berfikir - apa lagi dosa kami.

Tuesday, April 10, 2012

Tukar TOPI

Islamik Banking menjadi satu tunjang utama pentarbiahan iaitu ia bukan lagi alternatif tetapi pilihan.  Urusan perbankan secara Islam ini diterima pakai di Malaysia dan menarik beberapa bank berkonsep Islam untuk datang kerana platform (Akta Islamik Banking 1983) yang disediakan untuk mereka berniaga.  Maka menderu2 bank2 Islam seperti Kuwait Finance House (KFH), AL Rajhi, Qatar Bank, Bank Muamalat Indonesia dan bank2 Islam di dalam Malaysia tercabar seperti Bank Islam Malaysia Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Bank Rakyat. 

Konsep Islamik Banking ini juga membuatkan bank2 konvensional seperti Maybank, CIMB, Public Bank dan bank2 kecil membuat satu jabatan kecil didalam bank untuk menunjukkan bahawa Islamik Banking terdapat dalam bank mereka.  Konsep awal dulu dipanggil sebagai Sistem Perbankan Tanpa Faedah (SPTF).  Beberapa bank di Jepun seperti Matsusita dan Mitsui sudah menceburi Islamic Banking.  Bank Perancis seperti BNP Paribas juga sudah ada unit Islam mereka sendiri.
Masa berlalu dan setiap tahun Malaysia menganjurkan seminar iaitu Kuala Lumpur Islamic Financial Forum atau KLIFF.  Ini adalah satu program memberi hadiah kepada bank2 yang mempromosikan Islamik Produk kepada Malaysia. 

Setiap kali diumumkan, nama Maybank, CIMB atau Public Bank pasti ada kerana promosi hebat yang mereka lakukan.  Betul ke ?  Sebenarnya program yang dibuat oleh bank2 ini berdasarkan 'TUKAR TOPI' sahaja. Bagaimana? Contoh yang paling senang, apabila sampai sukuan ke 3 atau ke 4 perakaunan Bank tersebut, maka dengan sekali arahan, semua pinjaman selepas ini mestilah di buat secara Islamic maka Bank2 ini mengaut segala pelanggan yang memohon pada masa itu kepada secara Islam.  Apa perbezaan yang akan berlaku? Berlaku penurunan di dalam konsep konventional tetapi secara Islamik meningkat secara mendadak.  Tarbiah utama kepada pelanggan sebenarnya masih tidak sampai dan pelanggan sebenarnya di pihak yang menanti maklumat kerana yang diketahui mereka hanya membeli rumah atau kereta tapi duit tidak cukup.

Syariah Kounsel yang berada di dalam bank2 kena mengambil peluang tarbiah melakukan setiap kali pinjaman paksaan ini berlaku kerana pengetahuan tentang Islam boleh diterap kepada pelanggan2 bukan Islam. 

Kelebihan yang berada pada konventional bank amat besar kerana jangkauan cawangan yang luas dan sistem elektronik banking yang sangat canggih.

Saturday, April 7, 2012

GEMUK dan Kaya

Budak gemuk ini hanya berumur 19 ketika menggemparkan UK Billboard. Album pertama bertajuk 19. Budak gemuk ini juga membuat satu kejutan bila album kedua ketika berumur 21 dan dinamakan Adele 21.  Album ini telah direkodkan sebagai album sepanjang masa mengalahkan nama2 besar sebelum ini seperti Micheal Jackson, Beatles atau Madonna.  Budak gemuk ini juga pada Grammy Award 2012 mendapat 6 Grammy Award yang paling utama seperti Album for the Year, Song for the Year dan Record for the Year.  Budak gemuk ini bukan sebarang gemuk.  Hanya boleh jumpa di kurun ini sahaja. 
Aku memang teruja bila dengar lagu 'Rolling in the Deep' sebagai lagu untuk tahun ini.  Video lagu ini di Youtube ditonton pada masa aku tengok sebanyak 273,878,528 dan kalau di kira orang mungkin 10% penduduk dunia sudah kenal siapa Adele.  Aku lebih terpegun bila dia nyanyi secara 'live' kerana terikut dengan lentuk nyanyi dan maksud. Peluang melebarkan sayap ke Amerika dan muncul di Saturday Night Show telah menambah popularkan budak gemuk ini.  Siapa kata gemuk tidak boleh kumpul duit.  Yang pasti sekarang poket gemuk Adele ini paling penting. 



Friday, April 6, 2012

Tak Pelik

Cerita perihal kahwin.  Pelik tapi benar.  Seorang bekas dekan, universiti lagi.  Dan mengikut rekod benar, ini adalah perkahwinan beliau yang ke 3 kali dan isteri yang ke 3.  Nampak hebat dan ini berlaku pada tahun 2009.  Tetapi pada tahun 2010 baru dia sedar 'isteri' yang dikahwin dulu dalam tahun 2009 adalah seorang lelaki.  Bagaimana cara hendak memeriksa jantina pengantin? Mungkin cerita dalam selimut ini tidak boleh diwar2kan secara bebas kerana terpaksa diberi kelas 18SX.  Persoalan mungkin timbul cara bagaimana bekas dekan ini berjumpa dengan 'isteri' ke 3 beliau.  Bagaimana dia mengorat 'isteri' ke 3 ini? Bagaimana dia berjaya mengumpul 3 isteri sekali gus.  Kehebatan mengorat dia mungkin tidak dapat membezakan lelaki atau perempuan.  Bagaimana cara perkahwinan ini dilakukan? Di dalam negara atau di luar? Aku cuma meraikan waktu2 hujan pagi dengan cerita2 kahwin pelik ini.  Orang pandai tak selalu pandai pada semua tempat.

kasi BERSIH

Wira Perkasa marah dengan Ambiga kerana terlibat dengan Bersih 3.0.  Ini akan berlaku pada bulan ini juga jika tuntutan Bersih 2.0 tidak dilayan.  Mungkin banyak tak ingat apa tuntutan yang mahu diminta oleh Bersih 2.0?
Dan marah Wira Perkasa ini hanya pada Ambiga kerana terus terlibat dengan Bersih 3.0 pulak.  Ketuanya Irwan Fahmi akan terus melawan dengan menyatakan bahawa Anbiga adalah pengkhianat negara : musuh Islam dan Melayu. Bila wartawan tanya bagaimana dengan A Samad Said yang menjadi pengerusi bersama kepada Bersih 3.0.  Irwan Fahmi menjawab A Samad Said ada motif2 tertentu.
Dia ini juga mengatakan bahawa dia tiada apa2 jawatan dalam politik yang mahu dipegangnya dan akan berkonfrantrasi dengan Anbiga.  Apa yang diperjuangkan oleh Perkasa ini?  Pasti kita tahu tentang semangat Melayu.  Wira - salah satu nama model Proton.  Perkasa - salah satu nama model kereta di Malaysia tetapi bila Proton Preve keluar, rasa2 Perkasa tidak terdetik untuk memberitahu bahawa kami pejuang Melayu - Proton tolong tukar nama Preve tu kepada Proton Bukti. 


Kahwin

Ilmu hendak berkahwin tidak boleh dapat hanya dengan hadiri 2 hari kursus perkahwinan.  Cerita tentang pergaduhan setelah berkahwin walaupun sudah 10 tahun berkawan pun ada.  Betul kata Saidina Ali Karamullah - 'Ilmu menjaga harta" bermaksud kalau ada ilmu, pasti harta terjaga, pandai berekonomi, berbelanja mengikut kemampuan dan tidak beli galaxy tab hanya untuk main 'games'.  Aku juga beli Galaxy Tabs untuk kesenangan membuat kerja.  Atau beli Nokia Lumia hanya untuk hantar SMS. Personal Computer sudah jauh kebelakang dan rasa2 berada di zaman dinasour.  Bila berkahwin suami menyediakan segala2nya.  Duit suami 100% untuk keluarga.  Duit isteri, isteri yang punya.  Ini adalah hukum asal.  Dengan keadaan ekonomi yang serba mahal, duit isteri terpaksa dibelanjakan untuk keluarga.  Maka ia menjadi 'ehsan' kepada suami.  Pahala tu.  Suami pulak perlu merancang sementelah ketika bertunang lagi.  Menyewa atau membeli rumah.  Berkereta atau naik motor.  Masak atau makan di luar.  Bersanding atau tidak.  Kenduri atau tidak.  Bercinta mungkin tidak terfikir tetapi bila sudah bertemu yang berkenan dan bertunang, persediaan pemikiran paling penting.  Kerana pemikiran yang sihat boleh buat keputusan yang baik. 

Bukan Hosni Mubarak?

Mubarak atau bekas2 adun atau ahli parlimen membuka suara untuk dipilih kembali oleh BN untuk PRU 13 nanti.  Mereka mengumumkan bahawa mereka masih ada nilai winnable dalam diri.  Ini adalah ciri utama kepada Najib memilih calon pada kali ini.  Sebenarnya mereka ini adalah legenda dan pasti sudah mengaut keuntungan menjadi ahli parlimen atau Adun walau memegang tampuk pemerintahan selama satu masa sahaja.  Bukti memerintah masih orang ingat dan mungkin mereka cepat mengandaikan bahawa pasti susah kepada Najib mencari calon2 winnable.

Monday, April 2, 2012

The Grey

Liam Neeson adalah seorang pelakon berkaliber yang filemnya aku tonton berkali2.  Cuma kali ini filem "The Grey" ini lansung tidak meruja pada aku untuk menonton kali ke 2.  Aku menyusuri filem ini dan melihat pelakon utama bukan lagi Liam Neeson tetapi serigala2 yang menjadi pelakon utama.  Imbas balik tentang isteri dan cerita lama tidak mencantikkan filem lansung.  Seorang pembunuh upahan serigala dan kawan2 yang berada di tempat paling sejuk di dunia ingin kembali ke tempat asal masing2.  Kapal terbang itu terhempas dan mereka yang hidup diserang dengan serigala tanpa henti2.  Dan ini menambah kuat hujah aku bahawa filem ini berpelakon utamakan serigala.  Walaupun hanya menderam tetapi serigala2 ini nampak penting sehingga habis.  Beberapa cerita lama yang benar seperti Alive (1993) dan The Way Back (2010) keadaan merentas tempat sejuk lebih teruja dan kekal dalam ingatan dari cerit The Grey ini.