Hujjah 1435 di Madinah selepas musim Haji |
Kita di Malaysia di beri kuota untuk mengerjakan haji.Setiap tahun pusingan yang sama berlaku pada Tabung Haji(TH) and kepada bakal haji iaitu selepas habis sahaja Haji pada tahun itu, bakal haji tahun hadapan pula akan menerima surat tawaran dari TH. Akhir tahun dahulu 2014, surat tawaran fasa pertama telah dikeluarkan dan penerimaan mesti dibuat sebelum atau pada 03/01/2015. Adakah yang terima sudah menjawab atau tidak? Disebabkan musibah banjir di negeri2 yang terlibat banjir, tarikh penerimaan haji di tunda sehingga 12/01/2015. Diberitahu bahawa semua yang mendaftar sehingga June 2007 dihantar surat tawaran ini. Fasa kedua tawaran akan berlaku selepas 12/01/2015 apabila penolakan atau tanpa balasan dari bakal2 haji dianalisa.
Kali ini aku akan memberitahu apa benda2 yang penting dalam surat dan bagaimana menerima surat tawaran. Ini untuk bakal haji secara muassasah.
Pertama: Tarikh Penerimaan
Kenapa ini penting? Kerana jika tidak membalas dikira sebagai menolak. Disebabkan menolak maka pada masa akan datang subsidi yang diberikan tidak akan diberi. Sekarang bakal2 Haji akan menerima subsidi sehingga RM6,175 bermaksud kos pergi untuk seorang bakal haji adalah sekitar RM16,155 dan selepas ditolak dengan subsidi maka bakal haji hanya membayar RM9,980 untuk pergi haji.
Kedua : Alamat Surat menyurat
Ini penting kerana selepas menerima ini beberapa surat akan menyusul seperti pemberitahuan kursus asas, kursus intensif, pemeriksaan kesihatan, menghantar Pasport Malaysia untuk VISA Haji dan kursus perdana. Dan maha penting adalah tarikh berangkat yang selalu diutus masa musim raya Aidil Fitri. Kalau dulu buat buku di kampung dan sekarang tinggal di Kuala Lumpur, lebih baik menukar alamat pada yang sekarang kerana surat menyurat akan berlaku kerap dan kita kena pastikan dapat untuk mengetahui pergerakan haji ini. Gelang pengenalan juga dipos menggunakan alamat yang Tabung Haji ada. Aku terpaksa memberitahu bahawa kalau boleh alamat dimana orang sentiasa ada di rumah. Gelang Pengenalan ini perlu diterima oleh orang bukan peti surat!!
Ketiga : Pejabat TH
Kita juga perlu tengok dari mana pejabat tabung haji yang mengutuskan surat ini. Memang semua surat tawaran datang dari Pejabat Utama TH tetapi ia berdasarkan dari tempat mana kita mendaftar dulu. Aku dulu mendaftar di Shah Alam maka Pejabat TH aku adalah di TH Klang. Bermula dari kita menerima, Aku duduk di Subang dan pejabat paling dekat adalah TH Kelana Jaya. Walaupun begitu maka kursus asas aku di Klang, Pemeriksaan kesihatan aku di Pandamaran Klang dan kursus intensif aku di Klang. Hendak mengambil barang2 seperti beg2 sponsor juga dibuat di TH Klang. Buat keputusan sekarang dan terus tukar pejabat yang mengurus untuk menyenangkan pergerakan bakal2 haji.
Keempat : Nak Ke mana? Mekah atau Madinah?
Keputusan untuk memilih juga penting kerana ia menentukan kita pergi awal atau terus ke Mekah. Pergi awal bermaksud kita balik juga awal. Berjaga2 dengan masalah taharrah wanita yang wajib tahu seperti haid. Keputusan memilih Madinah bermaksud awal datang dan awal balik. Aku memilih ke Mekah dan Alhamdulillah terpilih sebagai yang pertama masuk ke Mekah dan berihram umrah. Keputusan memilih juga boleh membuatkan kita tahu bahawa pemilihan haji yang kita mahu buat iaitu Haji Ifrad atau Haji Tamattuk.
Kelima : Waris yang Pergi Sama
Ini penting kerana kita memberitahu bahawa kita akan bersama waris ini dan memastikan bahawa kita akan bersama dalam satu kapal terbang, satu bas, dan setiap aktiviti akan bersama. Mengikut apa aku tahu kita boleh tuliskan juga kawan2 yang mendapat tawaran yang sama pada tahun yang sama. Dengan menulis nama mereka disini, TH akan menguruskan nama kita dan sahabat kita bersama untuk mengerjakan haji. Kapal terbang sama, bas yang sama, hari yang sama dan mungkin bilik yang sama. Cuma untuk berbuat sedemikian perbincangan mesti dibuat. Kalau adik beradik mungkin ok tetapi kalau kawan kena fikir 2 atau 3 kali kerana kita akan bersama terlalu lama dan kita tidak menambah kawan baru di Mekah atau Madinah.
Keputusan untuk menerima atau menolak juga penting kerana pihak TH tidak berjanji bila pula tawaran akan datang diberikan. Selepas menolak pastikan kita menulis rayuan pada tahun2 hadapan untuk memastikan ruang kita dibuka untuk mengerjakan Haji. Yang pasti subsidi hanya ditawarkan pada tawaran kali pertama.
enaknya naik haji
ReplyDeleteSatu perjalanan yang wajib, penuh rahmat dan nikmat
Delete