Yang selalu jengok

Showing posts with label haji. Show all posts
Showing posts with label haji. Show all posts

Thursday, November 5, 2020

Hari Terakhir di Mekah 15/10/2014 dan Tawaf Wida'

Dalam bas untuk ke Madinah

Pagi itu sekitar jam 2 pagi kira2 2 jam sebelum subuh, aku sudah mandi dan bersiap untuk ke Masjidil Haram. Aku menunggu isteri yang berada sebelah bilik untuk bersama ke Masjidil Haram.  Kaki aku terasa sakit seperti berbisa.  Aku sudah bersedia dengan ubat tahan sakit jika berlaku apa2.

Kami berjalan perlahan2 dari Hotel Abraj Janadriyah.  Perasaan dibuai sayu kerana kami sudah berada di sini lebih dari 35 hari. Kami masih berbisa dan aku berjalan amat perlahan.  Aku menyuruh isteri untuk mempercepatkan perjalanan ke Masjidil Haram dan terus membuat tawaf wida'.

Apa itu tawaf wida'?

Nas daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ

Maksudnya“Orang ramai diperintahkan menjadikan perkara terakhir mereka (ketika melakukan haji dan umrah) adalah dengan tawaf di Kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita berhaid.”

Riwayat al-Bukhari (1755) dan Muslim (3284)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani berkata: Hadis ini mengandungi dalil tentang kewajipan Tawaf Wada’ kerana ada perintah yang dikuatkan dan kerana ungkapan adanya keringanan bagi wanita haid. (Lihat Fath al-Bari, 3/747)

Hadis di atas menunjukkan Tawaf Wada` hukumnya wajib dan ia dikecualikan bagi wanita yang sedang mengalami haid. Perintah wajib ini disebabkan ‘arahan perintah’ (فعل الأمر) dalam hadis ini bersifat ‘mutlak’, tiada qarinah menunjukkkan ia hanya menunjukkan sunat atau harus. Kaedah menjelaskan “الأمر المطلق” menunjukkan wajib (الأمر المطلق يفيد الوجوب). (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 3/3 dan Syarh Zad al-Mustaqni’ oleh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqithi, 13/127)

Dalam hadis yang lain, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya“Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (untuk meninggalkan Mekah). Lalu Rasulullah SAW bersabda: Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu meninggalkan Mekah sehinggalah akhir keberadaannya (di Mekah) al-Bait (Tawaf al-Wada`).”

Riwayat Muslim (3283), Ibn Majah (3070)

Imam al-Nawawi berkata, “Hadis ini mengandungi dalil bagi pendapat yang mewajibkan Tawaf Wada’ dan apabila ditinggalkan maka harus membayar Dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami dan inilah pendapat majoriti Ulama.” (Lihat Syarh Sahih Muslim, 9/79)

Imam al-Nawawi juga berkata: “Ashab kami mengatakan, “Sesiapa yang telah selesai dari manasiknya dan dia ingin bermukim di Mekah, maka tidak ada ke atasnya Tawaf al-Wada’. Perkara ini tidak ada khilaf padanya. Sama ada dia termasuk penduduknya atau bukan. Sekiranya dia ingin keluar dari Mekah menuju ke negaranya atau ke lainnya, maka dia mesti melakukan Tawaf al-Wada’.” (Lihat al-Majmu’, 8/254)

Imam al-Zarkasyi berkata: Larangan ke atas sesuatu perkara menunjukkan perintah melakukan lawannya (ضده). Berdasarkan kaedah ini lawan kepada larangan meninggalkan Mekah sebelum tawaf wada` ialah melakukan tawaf wada` sebelum meninggalkan Makkah. Oleh itu melakukan tawaf wada` sebelum meninggalkan Makkah adalah wajib. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 2/421)

Imam al-Syaukani ketika menerangkan maksud hadis di atas berkata: “Perkataan Baginda: “Jangan seseorang daripada kamu terus bergerak pulang..” sehingga ke akhirnya, ia merupakan bukti wajibnya Tawaf al-Wada’. (Lihat Nail al-Autar, 5/106)

 

Berkenaan perkara-perkara yang boleh dilakukan selepas Tawaf Wada', Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-35 Musim Haji 1440H yang bersidang pada 9-11 November 2018 bersamaan 1-3 Rabi’ul Awwal 1440 Hijrah telah memutuskan berkenaan dengan Perkara-perkara Yang Diharuskan Selepas Tawaf Wada’, iaitu:

 

Pertama: Sejurus Selepas Tawaf Wada’

  • Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya di Masjidil Haram.
  • Berdoa di Multazam.
  • Mengucup Al-Hajar al-Aswad.
  • Menunaikan solat sunat safar.
  • Menunaikan solat fardhu sekiranya bilal telah melaungkan azan atau bilal sedang melaungkan azan.
  • Begitu juga apabila sudah sampai di hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram untuk beliau solat fardhu bersama imam di Masjidil Haram.
  • Bergambar atau mengambil gambar dalam kadar yang cepat. Walaupun begitu, tidak digalakkan.

 

 Kedua: Selepas Tawaf (di Penginapan atau Hotel)

  • Makan dan minum di hotel.
  • Qadha hajat.
  • Menyalin dan menukar pakaian.
  • Zikir dan membaca al-Quran sementara menunggu.
  • Mengambil beg atau barang yang diletakkan / ditinggalkan di bilik penginapan.
  • Mencari isteri, saudara, waris dan rakan yang hilang.
  • Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama.
  • Tidur dalam bilik hotel sementara menunggu bas atau kenderaan datang.
  • Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik (bagi kes kecemasan dan hajat).
  • Sebarang urusan yang berkaitan dengan perjalanan sama ada ke Jeddah atau Madinah seperti membeli makanan dan minuman untuk kegunaan dalam perjalanan dan sebagainya.
  • Menunggu kenderaan (lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya).
  • Bersedekah ketika menunggu kedatangan kenderaan di penginapan.
  • Membayar dam. Walaupun begitu, digalakkan untuk membayar sebelum Tawaf Wada’.
Ketika melintas jalan, di depan aku ada sepasang pasangan sedang berjalan perlahan seperti aku. TIba2 si lelaki jatuh ke hadapan seperti tertidur. Aku yang betul2 berada di belakang pasangan itu terkejut dan terus menerpa.  Si perempuan dalam keadaan kelam kabut dan menangis seperti tidak tahu apa yang perlu dibuat.

Aku pegang belakang lelaki dan memanggil bantuan dari sekeliling.  Seorang lelaki Arab yang berumur menghampiri dan memberi kerusi untuk si lelaki yang pengsan itu.  Aku dudukan si lelaki dan membuka air zam2 yang aku bawa dan menyapu muka si lelaki.  Pasangan terus menerangkan penyakit2 yang ada pada si lelaki (suaminya).  

Aku melihat mata lelaki itu tertutup tetapi bernafas tinggi dan galak. Bahagian pipinya lebam kerana tertumus mungkin pada batu2 sekitar itu.  Lelaki itu sudah membuka mata tetapi masih terkial2 tidak tahu apa yang terjadi.

Isteri aku sudah jauh meninggalkan aku dan aku perlu ke masjid untuk menunaikan tawaf wida' sebelum Subuh nanti. Melihat lelaki itu sudah sedar, aku memberitahu pasangan itu untuk menunggu sehingga lebih sedar sebelum bergerak ke mana2. Aku perlu segera ke masjid untuk kerana jadual yang amat padat hari itu.  Bas akan bergerak dari Mekah pada pukul 8 pagi nanti.

Aku berjumpa lelaki yang pengsan itu di Madinah selepas berada di Madinah selama 2 hari.  Dia sudah tidak ingat apa yang berlaku pada satu Subuh di Mekah 2 hari sebelum itu.  Lebam di pipi masih hitam dan aku menegur sambil tersenyum.






Tuesday, August 15, 2017

Bekalan untuk Para Dhuyufurrahman (Bakal Haji 1438 H)


"Jangan lupa bawa 2 pasang kain ihram" jerit Mak Teh. "Kalau boleh bawa sambal belacan. Kat sana mana nak cari belacan" pesan perlahan Pak Teh. "Tali ikat beg jangan lupa" Sahut Pak Tam dari depan. "Penyangkut baju susah nak cari kat sana tu" Perlahan2 dari jauh belakang, mungkin Opah Tijah. "Kalau nak basuh kain, bawa sabun buku dan sabun serbuk" Pak Tam menambah. "Pergi mana2 kat sana tu, jalan sama2 dengan isteri, jangan  ditinggalkan" tambah Mak Teh. "Jangan main ikut orang je, boleh sesat kat sana tu." Sahut lagi Pak Tam.  "Aku dulu, kalau menunggu mak Tam kau, kat satu tempat je.  Hari2 tiang yang sama" Tambah Pak Tam. "Ada yang bawa tumbuk sambal yang kayu tu. Senang kalau nak buat sambal" Pak Long menyelit. "Pemotong kuku jangan lupa" Pak Teh mengesot lebih dekat pada beg. Beg yang satu itu akan masuk ke kapal terbang terus ke Jeddah. Habis ditenung lama oleh Pak Teh pada beg yang satu itu. "Jangan lupa tulis nama pada beg ni" Dia seperti mencari2 salah pada beg. 

Bekalan apa yang perlu dibawa ke Mekah sebagai Dhuyufurrahman (tetamu Allah). Pilihan mengerjakan haji ini adalah pilihan Allah. Ada duit, ada masa bukan syarat mutlak untuk ke sana tetapi bekalan yang dibawa perlu cukup. Semua memberikan pandangan. Semua menyuruh yang berbagai tetapi bekalan yang paling perlu adalah ILMU. 

Ilmu mengerjakan haji seperti mengetahui rukun Haji adalah fardhu ain untuk diketahui. Tertinggal salah satu maka tiada Haji untuk bakal haji. Wajib Haji juga maha penting kerana tertinggal dengan sengaja adalah dosa tetapi boleh bayar dam dan Haji masih terjaga. Pantang larang berihram yang 13 juga penting sangat. 

Bekalan ilmu ini penting kerana sebelum kapal terbang bergerak, ilmu sudah perlu dipakai. Haji apakah pilihan kita. Ini adalah ilmu. Haji Ifrad, Haji Qiran atau Haji Tamattuk. Bukan semua yang pakai ihram sama di dalam perjalanan yang sama dan mempunyai niat yang sama. Ilmu membezakan mereka. 

Aku menulis tentang ini kerana pada hari minggu baru ini 11 - 12 Ogos 2017, aku sekeluarga pergi ke rumah abang aku yang menjadi tetamu Allah bermula pada 15 Ogos 2017. KT55 dari Alor Setar - kapal terbang bergerak pukul 7.35 am hari ini 15/8/2017.


Thursday, July 6, 2017

Soalan senang untuk Bakal Haji Dhuyufurrahman

Bermalam di Mudzdalifah

Semasa pemeriksaan kesihatan bakal haji dibuat di Klinik/Hospital Kerajaan, bakal2 haji perlu menjawab 10 soalan yang dikira senang. Senang bagi kita dan mungkin susah yang menghadapinya. Soalan2 ini ada di buku kesihatan bakal haji sebelum tandatangan doktor kerajaan membenarkan bakal haji untuk mendapat suntikan Meningococcal Quandrivalent (MQ) atau tambahan vaksin influenza. Suntikan MQ diwajibkan 2 minggu sebelum berlepas dan boleh dikira terpakai sehingga 2 tahun.

Soalan2 yang dikira senang ini seperti Hari ini hari apa? Sekarang ini siang atau malam ? Dimana anda berada sekarang? Siapakah saya - doktor atau jururawat? Dan jangan terkejut sekiranya satu soalan ini salah jawapannya maka dikirakan bakal haji itu otaknya tidak stabil dan perlu diteliti oleh doktor sebelum dibenarkan untuk mengerjakan haji. 

Aku meneliti soalan2 yang dipamerkan didalam buku kesihatan itu dan ada 2 soalan yang agak mengelirukan bakal haji. Salah jawab maka penaltinya sangatlah perit iaitu kemungkinan tidak dibenarkan mengerjakan haji. 

Abang aku adalah antara bakal hari untuk 1438 H atau 2017 ini nanti bercerita tentang soalan yang mengelirukan ini. Jawapan yang diberikan salah dan memerlukan doktor itu mengesahkan dengan menjawab soalan lain pula. Betulkah jawapan yang diberikan salah? Bagaimana soalan yang nampak senang tapi mengelirukan? Kenapa tidak boleh menjawab begitu? Aku terus teringat waktu aku disoal 3 tahun dahulu sebelum ke Mekah. Yang pasti soalan ini tidak ditanya pada aku kerana beberapa soalan yang diberikan sudah betul jawapannya. Apakah soalan yang mengelirukan?

Abang aku bercerita. Doktor bertanya "Kalau tuan duduk sesorang2, pernah tak tersenyum sendiri atau ketawa sendiri" Maka abang aku menjawab "Ya, ada" Doktor itu mengerutkan dahi dan memanjangkan soalan yang sama (soalan ini tiada dalam buku kesihatan) "Encik biasa ke begitu" dengan suara yang lebih meninggi dari tadi. Doktor sudah mula gelisah melihat orang yang seperti normal menjawab pelik. Abang aku menjawab "Biasalah begitu - kadang tersenyum ketawa"

Doktor bertanya lagi "Kalau encik duduk sorang2, pernah tak rasa sedih atau hendak menangis" Abang aku terus menjawab dengan yakin "Ya, ada" Doktor yang sama mengerutkan dahi "Encik biasa ke macam tu" Abang aku yakin dan menjawab "Ya biasalah". Dan soalan ini memberikan reaksi negatif kepada doktor untuk memberikan kelulusan. Ini bukan cerita lawak.

Kami bercerita dan abang aku sekarang ini tengah menunggu panggilan surat tarikh kapal terbang dan tahun ini pasti menunaikan haji untuk beliau. Penerbangan pertama tahun ini kemungkinan pada 24/7/2017 nanti. Aku melihat soalan ini dari sudut yang lain dan pasti kita tersenyum sendiri dan sedih sendiri berlaku pada kita.  Inikan pula pada bakal haji yang yang pada satu2 malam bermunajat kepada Allah memohon ampun dalam keadaan sedih. Selalunya kita bersendirian - bila kita bersyukur kita tersenyum dengan nikmat Allah dan ada masa kita sedih mengenangkan dosa2 lampau yang kita buat. Memohon keampunan selalunya diiringi oleh air mata.

Aku pula selalu senyum sendiri di dalam kereta bila mendengar celoteh DJ radio atau melihat cerita lawak dan selalunya berlaku bila aku sendirian untuk ke tempat kerja. Dan Abang aku berkata "Bila saya bersorangan teringat keletah anak2 - saya tersenyum dan bila anak berjaya - saya kadang2 sedih sebab terlalu gembira"

Selamat menunaikan haji untuk bakal2 haji 1438 H. Buatlah yang terbaik kerana tiada ulangan yang pasti sama dengan haji yang pertama. 



Wednesday, June 22, 2016

Bercukur di Mina


Setelah kembali dari melontar Jamratul Aqabah, para Haji akan bergegas untuk bercukur dan setelah melakukan 2 perkara dari 3 perkara Wajib Haji maka para Haji dikira sudah bertahalul Awwal. Malam itu adalah hari pertama kami di Mina.  Suasana tidak biasa dan ramai para Haji berbagai bangsa disatukan di situ.  Kawasan Mina yang kami duduk itu lebih kurang 3.5 km jauhnya untuk melontar Jamrah. Semua para Haji akan datang dari Asia disatukan di satu tempat dan akan melalui terowong yang sama untuk melontar.  Ia berada di tingkat 3 di Bangunan untuk melontar Jamrah.

Menurut bahasa Tahalul bererti ‘menjadi boleh’ atau ‘dihalalkan’. Dengan demikian Tahalul  ialah diperbolehkan, halal, keluar atau membebaskan diri daripada larangan atau pantangan Ihram dengan mencukur seluruh rambut di kepala atau menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Bagi yang sedia botak, maka hendaklah sekadar melalukan pisau di atas kepalanya.

Sesampai ke khemah sekitar 10.30 malam itu, keletihan untuk berehat di simpan senyap2 di dalam hati.  Proses untuk bertahalul Awwal lebih penting setelah 3 hari berihram dan syarat2 berihram dijaga. Aku bersama Haji Azman bergegas mencari orang yang boleh mencukur kepala kami. Syarat bercukur ini lebih afdhal mengikut hadis dari memotong rambut dan hampir 80% orang di kawasan Mina itu akan bercukur untuk mengikut sunnah.

Kami bergerak ke belakang khemah dimana tempat mandi berada. Beberapa barisan dilihat terlalu panjang untuk bercukur pada malam itu. Kami berehat dahulu sambil melihat beberapa orang Arab yang menjadi tukang cukur akan membuat duit pada malam itu. Diberitahu bahawa pada siangnya Pak Arab tukang gunting hanya mengenakan bayaran SR10 tetapi menjelang malam itu, kos bercukur sudah naik kepada SR25 dan permintaan tinggi untuk bercukur pada waktu itu tidak memberikan masalah untuk para Haji membayar.  Tetapi beratur panjang pada malam itu membuat aku rimas tak tentu hala.

Ada pada Haji yang membuat keputusan untuk bercukur sendiri mengunakan pisau cukur janggut. Beberapa kali aku melihat mereka mengeluh kerana pisau cukur jangut tidak sesuai untuk mencukur rambut dan keadaan bercukur itu menjadikan beberapa kelompok haji dan semua sibuk bercukur untuk melepaskan ihram.  Waktu sudah bergerak ke pukul 12 malam, aku dan Hj Azman masih tidak bercukur.

Seorang haji dari Perak mengajak kami berdua untuk membantu beliau membuat satu kumpulan bercukur lagi.  Kali ini tukang cukur dari Malaysia sendiri.  Dia melantik diri sendiri sebagai 'Marketing Manager' untuk menjemput semua orang bercukur dengan tukang cukur dari Malaysia itu yang pastinya sama2 berhaji pada tahun itu. Aku pasti tukang cukur ini sudah biasa dengan kerja2 mencukur. Aku diberi nombor dan boleh kembali ke khemah.  Seingat aku aku bernombor 13 dan melihat masih ramai yang beratur, aku dan Hj Azman yang berada nombor selepas aku pergi berehat dahulu di khemah.

Kira2 sejam kemudian kami berdua datang kembali ke belakang dan melihat orang yang beratur sudah kurang.  Lalu aku bertanya dengan Haji dari Perak atau 'marketing manager' disitu.  Dia kata nombor aku sudah diambil orang dan tak tentu pukul berapa untuk bercukur pada waktu2 begini. Aku bersabar dan Hj Azman sudah beralih ke tempat lain untuk bercukur.  Waktu seperti sudah masuk ke pukul 1 pagi.  Aku bersiar2 memikir dimana untuk bercukur pada pagi itu. Kawan2 sekhemah sudah nampak botak dan senyum2 untuk mandi pagi itu. Aku bertanya pada Haji Wan dimana dia bercukur. Hj Wan memberitahu bahawa dia bercukur dengan seorang ustaz di kawasan lain dan dia memberitahu beberapa sukarela membantu proses bercukur di sana.  Aku terus bergegas dan mahu terus bercukur.

Sampai aku di satu simpang khemah ada beberapa kumpulan sedang bercukur dan aku pasti mereka ini sukarela tolong mencukurkan orang melihatkan keadaan tidak tersusun beraturnya. Aku bertanya dan mereka memberitahu bahawa mereka akan membantu mencukurkan aku kalau aku sabar menunggu. Salah seorang yang dipanggil Ustaz yang tolong mencukur memberitahu tanganya sudah kebas untuk mencukur.

Pada pagi sibuk itu 11 Zulhijjah 1435, aku dicukur seorang ustaz yang tangan sudah naik kebas. Perlahan2 dia bermula dan aku sudah mula berpeluh "Bang Haji, darah sikit la" Aku yang merasa berpeluh itu meraba kepala aku pada pagi itu.  Bukan air peluh yang mengalir tetapi darah merah. Aku tersenyum dan membiarkan darah mengalir seperti peluh.  Bukan hanya satu tempat yang berdarah. Cukur untuk bertahalul awwal berjaya setelah beberapa kali peluh bersama darah mengalir bersama.

Wednesday, July 29, 2015

Bersedia Bakal Haji Dhuyufurrahman


Surat penerbangan mengerjakan haji sudah keluar.  Penerbangan pertama bermula pada 1 Zulkaedah 1436 H atau 16/8/2015.  Semua tarikh2 penting mesti kekal ingat dalam kepala.  Persediaan hari2 adalah mohon taubat dengan Allah, dipermudahkan perjalanan dan diberi ruang senang pada yang ditinggalkan.  Kursus perdana di Selangor akan diadakan pada 1/8 - 2/8/2015 nanti.

Wukuf tahun ini pada 23/9/2015 iaitu Hari Rabu  9 Zulhijjah 1436H.  Ingat tarikh ini dan menghadapi hari2 ke wukuf amat penting.  Dari sini dah boleh rancang amalan2 yang perlu dilakukan atau menambahkan ibadah sunat seperti Umrah, mengkhatam Al Quran atau berpuasa di Mekah. Perkara rancang ini penting buat diri sendiri dan bincang dengan isteri dan ceritakan dengan kawan2 sebilik untuk mendapat sokongan.  InshaAllah.

Niatkan dalam hati, kita ke Mekah bukan untuk berehat.  Ada yang kita jumpa orang yang menjadi tetamu Haji duduk di bilik dan hampir setiap masa tidur.  Lepas subuh tidur sehingga Zohor, lepas makan tidur sehingga Asar dan seterusnya.  Mereka hanya muncul bila hari wukuf tiba dan dikhuatiri sesat tersasar bila mahu melakukan tawaf haji dan Saie Haji kerana tidak pernah ke Masjidil Haram. Keadaan jalan yang selalu berubah boleh menyebabkan kita tersasar di Mekah.  

Penerbangan terawal untuk kembali ke Malaysia bermula 30/9/2015 dan ini selalunya bermula dari para Hujjaj (para Haji dan Hajjah) yang terawal masuk ke Tanah Suci melalui Madinah Al Munawwarah. Kembalilah dengan rasa iman kuat dan istiqamah dengan ibadah.

Tuesday, July 14, 2015

Haji - Dhuyufurrahman


"Assalamualaikum Haji, dah dapat surat penerbangan Haji" . Tersenyum.  "Belum lagi, tapi kursus Perdana sudah dipanggil".  Terdengar bunyi keluhan disebalik jawapan tegas.  "Saya minta pergi ke Mekah dulu, Minta2 dapat lah hujung bulan Ogos nanti.  Bolehlah saya simpan duit sikit".  Aku dengar dengan tekun. "Dalam dua bulan ni saya kena simpan duit, belanja kat sana nanti kurang2 dalam tangan mesti ada RM1,500."  Aku mengiakan. "Saya bawa van sekolah.  Kalau dipanggil saya tengah bulan, tak berduit la saya nanti bila di Mekah"

Pergi haji bukan hanya mesti bersedia dengan fizikal yang sihat tetapi kewangan yang kukuh juga amat penting.  Pihak Tabung Haji tidak menyediakan sarapan untuk bakal2 haji melalui Muassassah. Bakal2 haji perlu menyediakan sarapan sendiri atau membeli sekitar kota Mekah.  Selalunya pada kursus Asas haji ada diberitahu bahawa setiap bakal haji perlu menyediakan RM40 sehari sebagai belanja.  Dan jika 40 hari maka sekitar RM1,600 untuk satu perjalanan haji.  

Adakah RM1,600 itu banyak? Kalau melakukan Haji Tamattuk, bakal haji perlu membayar dam seekor kambing sekitar RM400. Bakal Haji perlu bersedia dan berjaga2 jika melakukan kesalahan didalam ihram. Pembayaran dam boleh di kaunter Tabung Haji tapi pastikan duit ada.

Apa belanja perlu difikirkan sebelum pergi menunaikan haji.  Hutang piutang.  Kalau hutang kenderaan pastikan sudah berbayar untuk 2 bulan.  Kalau hutang rumah pastikan juga sudah berbayar. Persekolahan anak2 dan belanja mereka. Dan pembayaran2 ini bukan sedikit untuk difikirkan bagi yang bekerja dan bergaji bulanan.  

"InshaAllah Haji, dapat surat nanti tahulah nak buat macamana." Aku cuba menenangkan hati bakal haji. "Doa selalu, pasti Allah SWT bantu kita"

Dan aku teringat kawan2 sebilik di Abraj Janadriyah dahulu.  Masalah kewangan yang semua hadapi terungkai mudah kerana bantuan Allah SWT.  Mengadu dengan Allah dan pasti Allah tolong.  

Sunday, June 21, 2015

Ke Arafah naik Keretapi


Pada hari 8 Zulhijjah, semua Jamaah Haji akan mula bergerak ke Arafah menantikan hari Wukuf. Tiada wukuf tiada haji.  Rukun yang tidak boleh ditinggalkan.  Perjalanan ke sana pada hari itu menggunakan bas dan suasana trafik yang padat berlaku di bandar Mekah lagi.  Kenderaan yang pergi ke sana juga adalah Metro Mekah.

Metro Mekah ini dibina oleh kontractor dari China iaitu China Railway Construction Corporation Ltd.  Ia terdapat 15 stesyen dan terbahagi cantik setiap satu 3 stesyen iaitu di Mekah, Arafah, Muzdhalifah dan Mina.  Ia dibina dengan 4 landasan sejauh 18.1 km.  Metro Mekah ini mula dipakai pada tahun 2010.  Ia digunakan oleh rakyat Saudi sahaja ketika itu dan pada Haji tahun lepas diberitahu bahawa Metro Mekah ini juga digunakan untuk jamaah haji yang tidak dibekalkan khemah di Arafah dan Mina.

Sesiapa yang belum menunaikan Haji pasti tidak nampak bagaimana Metro Mekah ini membantu sangat kepada Jamaah Haji.  Perjalanan ini disebut juga Masyair Haji iaitu Wukuf di Arafah, bermalam atau mabit di Muzdhalifah dan bermalam di Mina.  Bermalam di Mina bersambung dengan 3 malam dengan melontar ketiga2 jamrah.  Perjalanan ini disusun dari awal oleh pihak Tabung Haji kerana inilah hari yang dinantikan dan mesti dipatuhi.  Bas2 akan pergi dan balik dari Arafah ke hotel penginapan untuk mengambil Jamaah Haji.  Ada jamaah yang tiba sekitar 10 pagi dan yang paling akhir mungkin tengah malam 8 Zulhijjah itu.  Wukuf di Arafah adalah pada 9 Zulhijjah.  Masa berbeza sampai boleh memberikan impak dengan kesuaian ibadah.  Dan pasti ada yang bercerita tentang bas rosak, pemandu tidak tahu jalan dan bas tersesat.

Diberitahu, bermula Haji 1436 atau 2015 ini, Syarikat Prasarana Malaysia telah mendapat kontrak mengendalikan operasi dan penyelenggaraan Mekah Metro ini.  Ini adalah peluang membuka mata bahawa Malaysia juga patut berbangga dapat kontrak itu sedangkan pembina Mekah Metro ini dari China.  

Peluang kepada bakal haji menggunakan Mekah Metro ini mungkin berlaku pada tahun ini 2015. Ribuan bas digunakan untuk membawa lebih dari 4.5 juta orang dari Mekah ke Arafah mungkin digantikan dengan keretapi Mekah Metro ini dan suasana lebih menyenangkan.

Tuesday, June 16, 2015

Surat Penerbangan Haji 1436 nak datang dah....


Pada hujung bulan Ramadhan atau awal Syawal nanti, para bakal Haji 1436 yang terpilih untuk ke sana akan mendapat surat untuk melapurkan diri dan terbang ke Saudi untuk menunaikan haji.  Aku juga sekitar masa yang sama tahun lepas, juga tidak ketinggalan.

Debaran membuka surat hilang bila surat pemberitahuan diterima oleh pihak mak saya di rumah. Adik mengambil gambar surat dan menghantar ke dalam Whatapps dan disaksikan oleh semua saudara. Dalam surat itu diberitahu tarikh bila kapal terbang dan kita berada pada KT yang ke berapa?  Maklumat penting juga tentang kita pergi ke Madinah atau ke Mekah dahulu? Turun di Jeddah atau turun di Madinah. Maklumat itu mesti dihadzam sepenuhnya dan diingati kerana satu kursus Perdana kemungkinan seminggu sebelum penerbangan pertama haji bermula akan dibuat. Pada masa itu, kita sudah boleh bersembang dengan kemungkinan kawan2 yang sama dalam satu penerbangan nanti, satu hotel dan mungkin satu bilik yang sama.

Hari apa dan jam berapa perlu ada di tempat berkumpul juga penting?  Hati aku berdebar semacam bila surat itu dibaca.  Macam2 yang keluar dari kepala dan sehinggakan aku memberitahu pada mak aku, terasa seperti tahu tarikh kita akan mati.  Debaran ini bukan dibuat2.  Allah SWT menghantar debaran ini untuk aku bersedia. 

Bila surat diterima, susunan hidup aku terus tersusun berbeza.  Cuti yang telah diyakini untuk dipohon telah dapat.  Berapa hari cuti sebelum bergerak atau berapa hari cuti bila sudah pulang nanti? Bagaimana dengan cerita anak2? Ditinggalkan dengan siapa? Duit yang perlu disediakan.  Hutang2 diselesaikan? Walaupun ini boleh dirancang hampir setahun yang lalu tetapi ketibaan surat terbaru ini memberikan keyakinan 100% untuk melunaskan semua rancangan.

Apa yang perlu diteliti pada surat penerbangan ini?

1. Tarikh bergerak - perhatian masa yang disebutkan seperti 00.10 waktu berkumpul atau pada 12.10 (kekeliruan boleh berlaku hanya pada waktu yang dituliskan 12.10 adalah tengahari dan 00.10 adalah waktu tengah malam)

2.  Waktu melapurkan diri di tempat berkumpul seperti di Tabung Haji Kelana Jaya.  Jika waktu melapur pada pukul 00.10 maka terlebih baik berada di situ 4 jam awal atau sebaik waktu Isyak masuk.  Kelebihan berada awal menjadi satu proses penting hatta di mana2 Mekah, Madinah atau ketika Masyair Haji nanti.

3. Di mana tempat melapurkan diri? Ada yang berada di tengah2 seperti Melaka dikumpulkan di Kelana Jaya dan kemungkinan di Johor.  Semak betul2.

4. Pastikan barang2 yang diperlukan telah disemak dan diasingkan di bilik lain tanpa diganggu oleh anak2.

5. Masuk ke Mekah terus atau pergi ke Madinah? Perbezaan ini menyebabkan kita akan dimestikan memakai ihram atau tidak.

6. No pesawat juga penting untuk tahu dimana ia membezakan kapal terbang Mas, AirAsia atau Saudi.

7. Tempoh berada di dua2 kota juga dipamirkan untuk kita tahu berapa lama cuti untuk dipohon.

8. Niat ihram dimana akan diberitahu di surat yang sama.  Kalau terus ke Jeddah maka niat ihram akan berlaku di Qarnul Manazil.  Jika terus di Madinah maka pakai baju biasa kerana perjalanan bermula dari Madinah.  Ada jemaah yang ke Jeddah Airport tetapi terus ke Madinah juga tidak perlu berniat. 

Tetapi surat ini tidak beritahu jika ada Jemaah yang mahu membuat Haji Ifrad iaitu Haji dahulu sebelum Umrah.  Maka di Qarnul Manazil nanti Jemaah yang mahu membuat Haji Ifrad akan berniat Ihram Haji bukan Ihram Umrah.  Walaupun perjalanan yang sama, tetapi jemaah jangan meniru kawan2 seperjalanan kerana masing2 membawa niat yang berbeza. Haji Tamattuk dan Haji Ifrad berbeza niat. Dapatkan ilmu sepenuhnya sebelum berniat Haji atau Umrah.



Sunday, April 19, 2015

Pemeriksaan Kesihatan Bakal Haji 1436


Bila surat tiba untuk membuat pemeriksaan kesihatan, aku mengucap syukur Alhamdulillah, sehingga hari mahu ke Pejabat Kesihatan Pandamaran, kesihatan masih terjaga.  Mungkin ada demam sekali sekala, tetapi dalam umur sekarang, InshaAllah tiada halangan kesihatan.  

Pagi2 lagi aku dan isteri telah bersiap untuk kesana.  Mengikut kata kawan2 Pejabat Kesihatan hanya buka pada pukul 8 pagi dan selalunya bakal2 haji sudah tiba hatta 6.30 untuk mendapat nombor paling awal.  Kami tiba di situ pada pukul 7.15 am.  Orang sudah beratur walaupun pintu Pejabat Kesihatan belum terbuka.

Nampak semua mengamalkan sikap sabar tahap 200%.  Buku kesihatan perlu diambil dari Pejabat Tabung Haji.  Dan buku2 ditangan sekarang perlu dipenuhkan oleh bakal2 haji sebelum diselesaikan oleh pegawai perubatan atau doktor yang terpilih.

Pintu Utama dibuka dan kesemua yang datang terus berkerumun pada meja2 Tabung Haji yang telah disediakan.  Bilik2 rawatan untuk mengandung digunakan pada hujung minggu itu untuk bakal2 haji 1435.  Buku2 diserahkan pada pegawai Tabung Haji yang bertugas dan kami terus menunggu untuk dipanggil.

Pemeriksaan pertama adalah berat dan tinggi.  Aku dikira telah melebihi tahap normal BMI (body mass index).  Tapi rasa2 kesihatan masih terjaga.  Dan seterusnya duduk kembali sebelum dipanggil untuk pemeriksaan darah.  Jari tangan dicucuk dan jenis darah telah diketahui.  Aku berdarah 'O+'. Dan seterusnya pemeriksaan di tangan untuk mengetahui tahap darah.  Ketika bacaan dibuat, hati aku berdebar semacam.  Bukan disebabkan yang membuat itu perempuan atau jururawat India tetapi perasaan yang semacam tidak diketahui.

Bacaan menunjukkan aku berada pada 150/100 dan ini dikategori berdarah tinggi atau hypertension. Jururawat menyuruh aku duduk dan bertenang seketika sebelum bacaan kali kedua dibuat.  Seorang demi seorang dipanggil untuk ditemuramah oleh doktor dan diberi bekas kosong untuk air kencing. Hati aku terus berdebar tak tentu hala.  Isteri sudah dipanggil dan sepatutnya aku juga akan dipanggil. Aku bergerak ke meja jururawat dan minta diperiksa sekali lagi.  Keputusan pertama sudah bertulis di dalam buku kecil kesihatan Tabung Haji.  

Subhanallah, bacaan darah aku masih tidak berubah.  Tetapi kali ini jururawat telah membawa buku kecil aku terus ke tempat doktor untuk ditemuramah.  Bekas air kecil diberikan dan aku telah menyampaikan air kencing aku kepada bilik pemeriksaan.  Kami terus duduk dan aku bercerita gembira dengan isteri.

Pemeriksaan terakhir adalah dari doktor untuk keputusan boleh dicucuk dengan vaksin meningococcus.  3 bakal2 Haji dipanggil serentak untuk 3 orang doktor.  Ini bermaksud 9 orang dilayan pada satu2 ketika.  Isteri dan aku berpisah dan kami terpilih dengan doktor yang berlainan. Walaupun begitu kami masih berada dalam bilik yang sama.  Aku tersenyum memandang isteri dan mengerakkan anak mata supaya dia memandang benda yang sama.  

Apa yang aku tunjukan adalah seorang perempuan gemuk yang sudah tua.  Mungkin dia terpilih tetapi keadaan uzur itu menyebabkan aku kesian dan takut2 dia tertolak untuk Haji pada tahun ini kerana kali ini keputusan adalah sangat tegas dan ketat untuk orang2 yang tidak sihat dan tua.  Aku senyum lagi memikirkan keputusan untuk membuat haji ketika muda ini.  

"Ok Mak Cik, semua ubat ada ye, Darah tinggi berapa? Kencing manis ok? Ada penyakit2 lain tak." sambil buku kecil dibalik2 oleh doktor wanita muda.  

"OK Mak Cik, hantar bilik sebelah.  Nanti ada orang panggil untuk injection"  Aku tersenyum memandang isteri.

"Next" Doktor wanita memanggil aku.  Aku terlebih senyum dan menyorong buku kecil kepadanya.  Doktor itu membelek2 dan memandang aku sambil tersenyum.  

"Encik, bagi tangan.  Darah tinggi ni." Aku senyum tawar dan menhulur tangan.  Pemeriksaan dibuat dan keputusan masih 150/100.  

"Encik minta maaf, Encik perlu mendaftar untuk pemeriksaan darah setiap 2 hari di mana2 klinik kerajaan dan kena monitor"  Dan selepas itu aku hanya mendengar seperti angin2 lalu sahaja nasihat dari doktor wanita muda itu.

Isteri aku sudah mendapat vaksin meingococcus yang diperlukan dan aku dikira gagal dalam pemeriksaan kesihatan haji.  

Jaga kesihatan - walaupun tawaran sudah ditangan belum tentu kita dapat pergi dan jangan berhenti berdoa.

(Dalam 2 minggu aku berulang hampir setiap hari ke klinik dan farmasi berselang untuk mendapatkan bacaan yang terbaik.  Ada orang menasihati aku untuk minum air kucai sekilo yang direbus.  Akhirnya bacaan dikurangkan pada pemeriksaan doktor di Pandamaran walaupun bacaan hanya turun kepada 140/90.  Doktor kali ini seorang perempuan yang datang dari tempat yang sama dengan aku Taman Bukit Subang mengatakan - mungkin masa pemeriksaan dulu jururawat yang memeriksa tak cantik - dia berseloroh)

Saturday, January 3, 2015

Surat Tawaran Haji

Hujjah  1435 di Madinah selepas musim Haji
Kita di Malaysia di beri kuota untuk mengerjakan haji.Setiap tahun pusingan yang sama berlaku pada Tabung Haji(TH) and kepada bakal haji iaitu selepas habis sahaja Haji pada tahun itu, bakal haji tahun hadapan pula akan menerima surat tawaran dari TH. Akhir tahun dahulu 2014, surat tawaran fasa pertama telah dikeluarkan dan penerimaan mesti dibuat sebelum atau pada 03/01/2015. Adakah yang terima sudah menjawab atau tidak? Disebabkan musibah banjir di negeri2 yang terlibat banjir, tarikh penerimaan haji di tunda sehingga 12/01/2015. Diberitahu bahawa semua yang mendaftar sehingga June 2007 dihantar surat tawaran ini.  Fasa kedua tawaran akan berlaku selepas 12/01/2015 apabila penolakan atau tanpa balasan dari bakal2 haji dianalisa.


Kali ini aku akan memberitahu apa benda2 yang penting dalam surat dan bagaimana menerima surat tawaran.  Ini untuk bakal haji secara muassasah.

Pertama: Tarikh Penerimaan

Kenapa ini penting? Kerana jika tidak membalas dikira sebagai menolak. Disebabkan menolak maka pada masa akan datang subsidi yang diberikan tidak akan diberi. Sekarang bakal2 Haji akan menerima subsidi sehingga RM6,175 bermaksud kos pergi untuk seorang bakal haji adalah sekitar RM16,155 dan selepas ditolak dengan subsidi maka bakal haji hanya membayar RM9,980 untuk pergi haji.  

Kedua : Alamat Surat menyurat 

Ini penting kerana selepas menerima ini beberapa surat akan menyusul seperti pemberitahuan kursus asas, kursus intensif, pemeriksaan kesihatan, menghantar Pasport Malaysia untuk VISA Haji dan kursus perdana. Dan maha penting adalah tarikh berangkat yang selalu diutus masa musim raya Aidil Fitri. Kalau dulu buat buku di kampung dan sekarang tinggal di Kuala Lumpur, lebih baik menukar alamat pada yang sekarang kerana surat menyurat akan berlaku kerap dan kita kena pastikan dapat untuk mengetahui pergerakan haji ini. Gelang pengenalan juga dipos menggunakan alamat yang Tabung Haji ada. Aku terpaksa memberitahu bahawa kalau boleh alamat dimana orang sentiasa ada di rumah.  Gelang Pengenalan ini perlu diterima oleh orang bukan peti surat!!

Ketiga : Pejabat TH 

Kita juga perlu tengok dari mana pejabat tabung haji yang mengutuskan surat ini.  Memang semua surat tawaran datang dari Pejabat Utama TH tetapi ia berdasarkan dari tempat mana kita mendaftar dulu.  Aku dulu mendaftar di Shah Alam maka Pejabat TH aku adalah di TH Klang. Bermula dari kita menerima, Aku duduk di Subang dan pejabat paling dekat adalah TH Kelana Jaya. Walaupun begitu maka kursus asas aku di Klang, Pemeriksaan kesihatan aku di Pandamaran Klang dan kursus intensif aku di Klang.  Hendak mengambil barang2 seperti beg2 sponsor juga dibuat di TH Klang. Buat keputusan sekarang dan terus tukar pejabat yang mengurus untuk menyenangkan pergerakan bakal2 haji.

Keempat : Nak Ke mana? Mekah atau Madinah?

Keputusan untuk memilih juga penting kerana ia menentukan kita pergi awal atau terus ke Mekah. Pergi awal bermaksud kita balik juga awal.  Berjaga2 dengan masalah taharrah wanita yang wajib tahu seperti haid. Keputusan memilih Madinah bermaksud awal datang dan awal balik.  Aku memilih ke Mekah dan Alhamdulillah terpilih sebagai yang pertama masuk ke Mekah dan berihram umrah. Keputusan memilih juga boleh membuatkan kita tahu bahawa pemilihan haji yang kita mahu buat iaitu Haji Ifrad atau Haji Tamattuk.

Kelima : Waris yang Pergi Sama

Ini penting kerana kita memberitahu bahawa kita akan bersama waris ini dan memastikan bahawa kita akan bersama dalam satu kapal terbang, satu bas, dan setiap aktiviti akan bersama.  Mengikut apa aku tahu kita boleh tuliskan juga kawan2 yang mendapat tawaran yang sama pada tahun yang sama. Dengan menulis nama mereka disini, TH akan menguruskan nama kita dan sahabat kita bersama untuk mengerjakan haji. Kapal terbang sama, bas yang sama, hari yang sama dan mungkin bilik yang sama.  Cuma untuk berbuat sedemikian perbincangan mesti dibuat.  Kalau adik beradik mungkin ok tetapi kalau kawan kena fikir 2 atau 3 kali kerana kita akan bersama terlalu lama dan kita tidak menambah kawan baru di Mekah atau Madinah.


Keputusan untuk menerima atau menolak juga penting kerana pihak TH tidak berjanji bila pula tawaran akan datang diberikan.  Selepas menolak pastikan kita menulis rayuan pada tahun2 hadapan untuk memastikan ruang kita dibuka untuk mengerjakan Haji.  Yang pasti subsidi hanya ditawarkan pada tawaran kali pertama.





Wednesday, December 31, 2014

Himpunan Hujjaj 1435 di Kelana Jaya

Hj Ikhwan, Aku, Hj Roslan dan Hj Aziz
Selepas habis musim haji dan seluruh Haji dan Hajjah telah berada di Malaysia, Tabung Haji (TH) akan mengadakan satu himpunan Hujjaj di tempat mana2 yang pernah mengadakan kursus Asas Haji. Aku telah dipanggil untuk ke Masjid Raja Tun Uda Klang pada 11/12/2014 hari Khamis cuti kelahiran Sultan Selangor. Tetapi aku memilih untuk ke TH Kelana pada 23/11/2014 dimana aku mengadakan Kursus Asas Haji dahulu.  Pasti beberapa orang yang aku kenal akan berada di sana. Kawan2 dari KT34 juga aku jemput untuk berjumpa yang semuanya dari Selangor.  Peluang berjumpa ini tidak boleh aku lepaskan.

Hj Shahril dan Hj Aziz dari KT34 
Himpunan ini diadakan untuk mengisi ruang para hujjaj, melihat kembali seluruh pekerjaan Haji pada 1435 dan menyorot kenangan semasa mengerjakan haji oleh para Hujjaj.  Bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pada 12 tengahari.  Akan dipanggil beberapa Hujjaj dan akan bercerita tentang pekerjaan haji dan pengalaman mereka.  

Majlis bermula dengan ucapan dari wakil TH dan diikuti dengan sessi menceritakan pengalaman di Mekah oleh para Hujjaj. 3 orang Hujjaj telah memberikan ucapan dan pengalaman masing2 menyorot kenangan Haji pada 1435.  Fitri yang membuat kisah di TV3 tentang 30 Haji juga salah seorang Haji pada tahun ini menjadi salah seorang pencerita pada hari itu.  Dia juga berada bersama aku di Hotel Abraj Janadriyah Mekah. Seorang dari pada Haji dan seorang dari Hajjah memberi ucapan yang amat sayu dan sebak.  Suasana pagi di TH Kelana Jaya amat berlainan kerana yang hadir mempunyai 1001 cerita yang mahu dikongsikan.  Senang air mata mengalir pada pagi itu. Perkara ini bukan boleh berulang dengan senang.  Setiap orang mempunyai cerita dan setiap orang berlainan cerita.

Aku dan Hj Aziz
Majlis berakhir dengan tazkirah oleh seorang Ustaz muda.  Bercerita tentang mengekalkan kemabruran Haji.  Apa yang patut kita kekalkan selepas kembali ke Tanah Air. Menunggu waktu solat bukan melambatkan waktu solat, merasa gundah tidak solat berjamaah dan pengisian membaca Al Quran.  Aku dan isteri sentiasa berdoa supaya kami beristiqamah.  

Nasihat aku - jangan mencari2 benda pelik bila di Mekah dan menanti benda ajaib baru iman meningkat. Beramallah kerana pekerjaan haji adalah Rukun Islam yang ke 5.



Thursday, December 25, 2014

Bergurau senda di Makkah

Suasana menuju pagi di Makkah

Ada orang terlalu serius di Mekah.  Aku kadang2 takut nak bersembang dengan orang2 macam tu. Buat lawak dia tak ketawa.  Cerita sikit dia buat muncung.  Cerita banyak dia lari.  Bagi dia ini adalah lagho (buang masa).

Nabi Muhammad SAW juga bergurau.

Anas bin Malik berkata bahawa Rasulullah SAW pernah berkata kepadanya yang maksudnya:

“Wahai pemilik dua telinga.”  (HR at-Tirmidzi dan Abu Daud) – Hadith ini bertaraf sahih.

Rasulullah memanggil Anas begitu kerana Anas merupakan seorang pendengar yang baik.  Ketika itu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam sedang bergurau dengan Anas.

Anas bin Malik juga berkata yang maksudnya:

“Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bergaul rapat dengan kami, sehingga Baginda pernah berkata kepada adikku yang masih kecil dengan berkata:  “Wahai Abu `Umair, apakah yang sedang dilakukan oleh nughair (sejenis burung yang berparuh merah?””  (HR al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf sahih.

Abu Hurairah berkata yang maksudnya:

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kamu bergurau dengan kami?”  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menjawab, “Aku tidak pernah berkata perihal yang tidak benar.”  (HR at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf hasan.

Anas bin Malik berkata yang maksudnya:
Ada seorang lelaki meminta kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam supaya dibawa menaiki tunggangan.  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam berkata kepada lelaki itu, “Aku akan beri kamu menunggang anak unta betina.”  Lelaki itu berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang dapat aku lakukan dengan anak unta betina?”  Lalu dijawab oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, “Bukankah unta betina yang melahirkan unta yang lain?””  (HR at-Tirmidzi dan Abu Daud) – Hadith ini bertaraf sahih.

Anas bin Malik melaporkan yang maksudnya:
Ada seorang lelaki dari kampung yang bernama Zahiran.  Pada suatu hari, beliau datang menemui Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan membawa hadiah dari kampungnya.  Apabila beliau pulang, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam memberi pun bekal kepadanya.  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam berkata, “Zahiran adalah kampung untuk kita dan kita adalah kota untuknya.”
Kita dibolehkan bergurau senda tetapi jangan berlebih-lebihan. Kenapa? Kerana ia akan mengundang banyak ketawa. Dan banyak ketawa akan mematikan hati. Dan mungkin akan menjatuhkan maruah diri. Kata Imam Ghazali,

“Adapun berlebih-lebihan pada bergurau, maka akan mempusakai banyak tertawa. Dan banyak tertawa itu mematikan hati dan mewarisi kedengkian pada sesetengah keadaan. Dan menjatuhkan kehebatan diri dan kemuliaan. Dan apa yang terlepas dari hal-hal tersebut, maka tidak tercela, sebagaimana diriwayatkan dari Nabi S.A.W. bahawa baginda bersabda:


Maksudnya: “Sesungguhnya aku bersenda gurau dan aku tidak mengatakan, selain yang benar.” 


Pembinaan masih berterusan

Tapi yang aku nak cerita ini bukan gurauan yang dibuat2 tetapi memang takdir Allah menentukan segalanya.  Kami sebilik merancang untuk ke Masjidil Haram pada pagi itu untuk bersolat Zohor nanti.  

Semua bersiap untuk keluar dari bilik.  Sebelum keluar semua berpesan untuk tinggalkan kunci di kaunter hotel.  Semua keluar dan pergilah ke Masjidil Haram seperti biasa.  Habis solat Zohor, semua kembali ke Hotel untuk makan tengahari.

Tanpa disedari rupa2nya salah seorang dari kami masuk ke tandas dan yang terakhir keluar telah mengunci pintu macam biasa.  Terkunci di dalam bilik bermaksud tidak boleh keluar sehingga ada orang yang buka pintu.  Mungkin beberapa jam kerana yang pergi ke Masjidil Haram selalunya sekitar 1 atau 2 jam lebih awal sebelum Zohor.

Nasib menyebelahi orang yang terkunci kerana salah seorang dari kami bersolat di surau Hotel. Pintu dibuka selepas sejam ditinggalkan.  Semua ketawa kerana bukan ada sesiapa yang merancang untuk menguncikan orang tetapi takdir Allah penentu segalanya.


Wednesday, December 24, 2014

Mengetuk Pintu Masjid Nabawi

Aku mengetuk pintu Masjid Nabawi
Aku berada di Masjid Nabawi, Madinah Al Munawwarah pada 15/10/2014 sehingga 24/10/2014.  Ini bukan kali pertama aku ke sini.  Termasuk kali ini sudah 3 kali aku mengunjungi di mana Rasulullah SAW dimaqamkan.  Bagi aku di sini adalah kota air mata aku.  Sudah kesekian kali aku ke sini, air mata tak pernah kering dan entah mengapa air mata jadi murah sangat di sini.   
Kota air mata - murah sangat air mata ini
Suasana di Madinah pada ketika itu seperti di Malaysia bukan seperti ketika bulan haji bermula. Wukuf Haji pada 5/10/2014 dan sebelum itu ikut kata orang yang datang melalui Madinah, panas pada awal datang dulu adalah sehingga 48% celcius.  Sekarang mengikut kata Tabung Haji panas hanya 37% - 39% sahaja.
Selesai solat Isyak hari pertama 15/10/2014
Aku dan isteri akan berada disini lebih kurang 10 hari (tolak waktu perjalanan mungkin jatuh 9 hari separuh sahaja).  Ukurannya disini maka 40 waktu InshaAllah dapat iaitu jika dikira waktu wajib untuk 8 hari maka 40 waktu menjadi senang.  Tetapi kena ingat ia tidak termasuk jika kita sakit atau perempuan yang datang bulan.  Alhamdulillah perjalanan kami dari Mekah cepat sekitar 5 jam dan kami sampai kira2 2 jam sebelum Magrib 15/10/2014.  Kiraan 40 waktu kami akan bertambah InshaAllah.

Apa istimewanya Masjid Nabawi ini.  Ini adalah masjid yang dikatakan dalam hadis Rasullullah SAW 

Dari Abu Hurairah RA dari Nabi Muhammad SAW  bersabda : "Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid) kecuali (pergi) ketiga-tiga buah masjid ( yang berikut ) : Masjidil Haram di Mekah, Masjidir Rasul ( Masjidi an-Nabawi di Madinah ) dan Masjidil Aqsa  di Palestin." Hadis Al-Bukhari


Dalam Hadis lain,

Dari Abu Hurairah RA Rasulullah SAW telah bersabda "Melakukan sekali sembahyang di dalam masjidku ( Masjidil Nabawi di Madinah ) ini adalah lebih baik daripada 1,000 kali sembahyang dalam masjid yang lain melainkan Masjidil Haram."

Berada di masjid Nabawi memang terlalu aman.  Orang2 yang datang seperti terikut2 dengan rentak orang yang tinggal di Madinah.  Baik dan bertegur sapa.  Mungkin kebaikan ini sama seperti dulu ketika Rasullullah ingin berhijrah ke Madinah (nama lama bagi Madinah adalah Yathrib).  Membaca Al Quran menjadi satu benda yang biasa di dalam masjid.  Al Quran disusun di setiap tiang dan ada penjaga yang memastikan semua Al Quran itu model yang sama. (tali tandanya mesti berwarna kuning)
Al Quran yang memakai tanda tali kuning

Pada waktu musim haji ini, pembelajaran Al Quran hampir berada pada setiap tiang di tengah2 Masjid Nabawi.  Aku turut bersama meraikannya.  Ada yang mendengar hafalan dan ada yang membetulkan bacaan.  Setiap kali habis solat wajib, kuliah Al Quran akan bermula.  Berkumpullah semua yang mahu belajar dan didengari oleh sheikh2 yang dilantik.  Ini semua percuma. Bacaan Al Fatihah aku perdengarkan pada sheikh2 yang ditugaskan mengajar di Masjid Nabawi.  Beberapa hari aku duduk bertalaqqi dengan sheikh2 ini.  
Salah seorang oengajar Al Quran yang pandai berbahasa Inggeris dan Arab pastinya
Dan satu ketika aku duduk bertalaqqi dengan seorang pengajar Al Quran.  Aku mempendengarkan bacaan untuk beberapa surah lazim dan dia seronok dan berkata orang Malaysia mempunyai lidah yang pandai meniru.  Aku mengiakan.  Dia mengeluarkan minyak wangi dari koceknya dan menyapu minyak wangi pada aku.  
Sheikh Mansur mengeluarkan minyak wangi untuk aku - MashaAllah
Aku juga mengambil peluang berjalan sehingga ke tingkat atas Masjid Nabawi.  Hanya kaum lelaki dibenarkan berada di atas.  Kuliah agama juga berada di atas.  Ketika aku berada di atas kuliah agama dalam bahasa Bangladesh sedang berjalan.  Aku berjalan hampir ke seluruh bahagian atas.  Melihat keliling bandar Madinah dari pandangan atas Masjid Nabawi.

Tingkat atas Masjid Nabawi, Madinah Al Munawwarah
Bukan di atas sahaja ada kuliah agama, Banyak kumpulan2 dibuat di dalam masjid meraikan pembelajaran agama. Sheikh2 tua akan memberi syarahan dari atas kerusi untuk satu kelompok jemaah.   Aku diberitahu kuliah dalam bahasa Indonesia juga terdapat dalam Masjid Nabawi selepas waktu Magrib.  
Kuliah Agama di tingkat bawah
Yang pastinya bila bercerita tentang Masjid Nabawi, Rhaudah menjadi tempat paling afdal untuk berdoa.  Dengan ramainya orang pada waktu musim haji ini, waktu menunggu untuk masuk ke Rhaudah menjadi panjang.  Alhamdulillah, susunan menunggu menjadi senang jika tiada yang tolak menolak dan berebut2.


Masjid Nabawi ini akan pasti aku rindui sampai bila2.  Dan yang paling aku rindu adalah menemui Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW.  Ini adalah amalan terpenting apabila melawat Masjid Nabawi kerana ada hadis tentang melawat Rasullullah SAW.

Sabda Rasulullah saw, “Barangsiapa pergi haji kemudian ziarah ke maqamku setelah aku wafat maka seakan-akan ia telah mengunjungiku sewaktu aku masih hidup“.

Maqam Rasullullah SAW dan 2 Khalifah selepasnya Abu Bakar As Siddiq dan Umar Al Khattab
Cerita tentang payung yang terbuka sendiri memang aku kena cerita.  Aku yang berada lebih dari 3 hari di Masjid Nabawi pasti tahu bila waktu payung2 besar yang meneduhkan ini berkembang.  Ia akan bermula pada waktu sharooq (waktu keluar matahari sekitar 6 am waktu Arab Saudi). Perubahan2 ini dinantikan untuk dirakam.  Ia akan mula ditutup pada waktu sebelum Magrib. Payung yang didalam pula akan dibuka selepas Maghrib.



Ini waktu tengahari - payung sudah berkembang
Aku pasti sangat sesiapa yang pernah berkunjung ke Masjid Nabawi, perasaan untuk ke sana bukan hanya cerita mulut sahaja.  Rindu ingin menemui Rasulullah SAW dan berada di Raudhah. Berdoalah kita supaya diberikan kesempatan untuk ke sana lagi dan selalu letak hati untuk ke sana, InshaAllah.