Yang selalu jengok

Saturday, December 13, 2014

Bergerak ke Arafah 8 Zulhijjah 1435

Berdua ke Arafah

Sabda Rasullullah SAW yang direkod oleh Imam An Nasai

"Haji itu adalah hari Arafah, sesiapa yang sempat berwukuf pada malam Arafah sehingga terbitnya fajar maka dia telah menunaikan ibadah Haji"

Wukuf di Arafah ini tidak boleh diganti atau diupah orang kecuali memang melakukan Haji Badal iaitu mengambil upah melakukan haji untuk seseorang.  Itupun yang mengambil upah mesti berada di Arafah untuk berwukuf.

Setiba kami dahulu di Mekah, kami telah mendengar tentang taklimat untuk berwukuf, Pergerakan ini menjadi maha penting kerana rukun haji dan wajib haji akan dilakukan dalam perjalanan musafir di Arafah, Muzdhalifah dan Mina iaitu satu kawasan penting di dalam pergerakan Haji.


Semua bakal2 haji akan digerakkan ke Arafah pada hari yang sama dan cuba fikirkan, bakal2 haji yang dari Malaysia sekitar 22,000 orang ini akan digerakkan ke tempat yang sama. Dan cuba fikir lagi tentang bukan hanya bakal2 haji Malaysia tetapi seluruh dunia.  Lebih kurang 4.5 juta orang akan bergerak ke tempat yang sama.  Bahagian ini kita kena kagum/hormat dengan pihak Muassasah Arab Saudi yang memastikan pergerakan tepat dan tidak tersekat atau mengalami masalah.  (Muassasah Arab Saudi adalah pengelola urusan haji pada musim Haji)

Peta pergerakan 

Beberapa notis ditampal di pintu lif.  Kami yang berada di tingkat 5 diberitahu untuk turun pada pukul 11 am.  Ini adalah arahan yang perlu diikut kerana di Hotel Abraj ada 15 tingkat dan lebih dari 6,000 bakal haji.  Kalau arahan ini tidak dipatuhi, maka pergerakan bakal2 haji di tingkat P (tempat bas menunggu) akan padat dan sukar bergerak kerana penuh.

Kira2 pukul 10 am, kami dikejutkan dengan arahan untuk turun bagi tingkat 5.  Aku yang masih belum bersiap dengan Ihram dan agak kelam kabut dengan  arahan itu.  Seorang kawan sebilik, Abd Hamid sudah bersiap2 untuk turun bersama isteri.  Abd Hamid memang diketahui bersiap awal dalam keadaan apa sekali pun.  Abd Hamid pernah bercerita ketika 9/9/14 dahulu ketika tarikh untuk ke Mekah dahulu yang diminta datang awal di TH Kelana Jaya, beliau telah berada di Kelana Jaya hatta sebelum Maghrib lagi.  Aku hanya hadir di Kelana Jaya pada pukul 10 malam.  

Aku tenangkan fikiran dan berfikir bahawa ini adalah persediaan sahaja untuk menunggu pukul 11 am seperti arahan yang pertama.  Aku mandi dan berihram dan sempat menyempurnakan solat sunat Ihram.  Bagi yang melakukan Haji Tamattuk, niat Haji dilakukan di dalam bilik hotel sahaja. Disebabkan ini bakal2 Haji yang melakukan Haji Tamattuk dikenakan dam kerana tidak berniat di Miqat.  Niat untuk Haji juga aku lakukan dan larangan ihram pun bermula.  Hampir kesemua kawan sebilik sudah turun ke tingkat P.  Sekarang sudah pukul 10.30 am dan aku memanggil isteri yang hanya duduk bersebelahan bilik sahaja.  Dia juga lewat kerana melihat arahan yang awal tadi.  

Sesampai sahaja kami di Tingkat P, aku melihat masih ramai yang beratur.  Betul ramai kerana aku berada ditingkat 5 dan masih ada 10 tingkat yang akan bergerak selepas aku nanti.  Aku melihat kawan2 sebilik juga masih ada beratur tetapi bersama tag bernombor.  Aku ke hadapan dan diberitahu oleh petugas TH bahawa nombor sudah habis untuk bas 20, 21 dan 22.  

Aku faham bahawa setiap bakal2 haji yang beratur mereka akan diberikan nombor tag dan nombor tag ini mesti dipastikan sama dengan pergerakan bas nanti.  Ini boleh membantu bakal2 haji untuk memastikan pergerakan dengan bas yang sama dan tidak tersasar (Aku meminjam ayat TH bahawa bakal2 haji bukan tersesat tetapi tersasar).

Kawan sebilik aku, Abd Hamid telah bergerak lebih awal dan aku lansung tidak bertembung dengan beliau di Tingkat P itu.  Setelah yang bernombor tag 20 dan 21 bergerak, aku diberi tag bertali bernombor 23.  Aku diberitahu bahawa dengan nombor tag itu pergerakan yang dinamakan masyair ini akan seterusnya dengan nombor 23.


Kami diberitahu bahawa perjalanan pada pagi itu senang kerana tiada kesesakan dan hanya memerlukan kurang dari sejam untuk sampai dan bergerak kembali ke Hotel.  10 bas digunakan untuk ke Arafah dan bas yang sama datang mengambil bakal2 haji seramai 6000 orang di Hotel Abraj itu.  Kesemua bas2 itu bertanda dengan nombor untuk maktab di Hotel Abraj iaitu Maktab 83, 86 dan 90.

Tidak sampai 45 minit kami sudah sampai di Arafah. Aku bergerak ke khemah isteri untuk memastikan khemah isteri di mana.  dan aku bergerak ke khemah aku.  Waktu Zohor 8 Zulhijjah 1435 belum masuk aku sudah sampai ke Arafah.  InshaAllah aku akan berada di sini sepanjang malam dan sehingga Wukuf esok 9 Zulhijjah 1435.

Bakal2 Haji dalam satu khemah  


1 comment: