Kursus ini adalah terakhir dalam siri2 untuk menunaikan Haji. Ia adalah praktikal sepenuhnya untuk wukuf di Arafah, mabit di Mudzdalifah dan mabit 3 malam di Mina dan melontar jamrah, tawaf dan saie. Kursus2 yang diberi oleh Tabung Haji adalah Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan akhirnya kursus perdana Haji dimana satu negeri Jemaah terpilih di kumpulkan. Di Selangor, Masjid Sultan Salahuddin di Shah Alam menjadi tempat kursus perdana ini. Ia bermula pada Zohor 9/8/14 dan berakhir pada Zohor 10/8/2014.
Kursus adalah bermalam di masjid kerana aktiviti praktikal bermula dengan urusan pendaftaran dan kaedah Haji Tamattuk dipilih untuk kursus ini. Semua orang tampak bersedia dan terus mengikuti maktab2 yang ditetapkan. Maktab dari 75 hingga 80. Mengikut rekod Tabung Haji sebanyak 2,900 orang telah mendaftar untuk kursus padahari itu. Aku juga mendaftar bersama isteri. Pakaian sudah bertukar kepada ihram pada ketika itu. Aku berada di Maktab 78.
Tawaf di buat di perkarangan air pancut di Masjid Negeri Shah Alam |
Tawaf umrah bermula di Hajarul Aswad sebanyak 7 kali dan berserta dengan saie dari Safa ke Marwah yang dibuat di kiri pintu depan Masjid Negeri itu. Selesai aktiviti umrah dan sudah bertahalul, waktu sudah hampir Magrib. Makan malam disediakan sebelum mandi itu. Aku masih berihram dan setelah bertahlul, bebas dari ihram, aku menukar pakaian kepada jubah dan bersedia untuk solat Magrib. Ada yang tidak bertukar kerana mungkin berniat Haji Ifrad kerana menunggu waktu wukuf nanti. Isteri sendiri sudah diasingkan dibelakang dan hanya kadang2 aku melihat kelibat isteri tapi ramai menidakkan peluang melihat isteri.
Aku sebenarnya masih belum berpeluang mandi kerana ramai orang yang berebut menyebabkan air menjadi kurang dan tidak bertenaga. Sementara menunggu masa Isyak, ceramah oleh ustazah untuk Jemaah wanita dibuat sambil ceramah biasa di Masjid negeri itu dijalankan seperti biasa. Pihak suami juga digalakkan untuk mendengar ceramah tentang masalah wanita kerana disebabkan wanita ada darah haid maka penting untuk suami mengetahui kerana perempuan haid tidak boleh ke masjid maka tawaf tidak boleh dilakukan. Ini melibatkan masalah masa dan rukun.
Selepas Isyak, aku bergegas ke tempat mandi dan melihat masih ramai yang menanti untuk mandi. Aku juga menunggu peluang kerana aktikiti wukuf akan bermula pada pukul 10 malam ini dan waktu sudah 9.30 malam. Selesai mandi, kalau mengikut Haji Tamattuk niat haji akan berlaku di hotel tempat kita nanti di Mekah. Maka pakaian ihram sekali lagi dipakai.
Sementara menunggu masa untuk berwukuf, Jemaah terpilih haji mendengar arahan untuk berwukuf, mabid di Mudzhalifah dan Mina. Semua maktab diberikan 2 pembimbing dan ketua pembimbing adalah Ustaz Hashim Fahmi. Adik dia Ustaz Hashim Fikri mengajar aku dan isteri untuk kursus Asas di Tabung Haji Kelana Jaya juga ada berada di kursus ini. Aku juga ternampak beberapa Ustaz yang aku kenali - Ustaz Hashim Karim yang pernah membawa aku menunaikan umrah pada tahun 2006 dan 2009 dahulu juga sebagai pembimbing.
Wukuf di Arafah diberitahu telah berjalan di tempat kami mendengar ceramah itu di dewan solat bawah Masjid Negeri itu. Wukuf bermula pada gelincir matahari pada 9 Zulhijjah nanti. Ddan setelah magrib nanti disana pergerakan akan bermula ke Mudzdhalifah dan sampai pada sekitar 9 malam. Dan pergerakan menuju ke Mudzdhalifah bermula dengan pergerakan maktab 80 dari sebelah kanan keluar. Di Mudzdhalifah, ustaz memberitahu mabit hanya bermula pada tengah malam sekitar jam 11.40 malam. Di sana juga diberitahu Jemaah kena mengutip sekitar 70 biji batu untuk urusan melontar jamrah nanti di Mina.
Setelah waktu tengah malam itu, Jemaah diberitahu bahawa perjalanan seterusnya ke Mina. Dengan batu yang ada di tangan, pada waktu itu Jamrah Kubro (Aqobah) dilontar dengan 7 lontaran dan selepas itu mencukur rambut - maka Tahalul Awal telah dapat untuk membuka ihram tetapi ada 3 larangan ihram lagi untuk dijaga. Bersetubuh, ke arah bersetubuh dan berkahwin. Alhamdulillah semua selesai dan waktu sudah menunjukkan pukul 11.45 malam.
Aku bergerak ke arah tempat beg aku dan melihat seorang mak cik juga sedang bersimpuh bersama seorang lelaki yang sedang baring. Semua sudah penat dan aku pasti Ustaz pembimbing tadi sudah memberitahu bahawa Jemaah perempuan diminta ke belakang dan diasingkan dari lelaki. Tetapi makcik seorang itu macam tidak faham atau tidak dengar.
"Makcik - perempuan dibelah belakang" Kata aku dengan nada yang paling baik walaupun penat sekarang ini. "Ia, saya dengan suami saya ni" balas makcik itu. Aku tidak mahu berlanjutan kerana badan berpeluh ini perlu mandi dan dapatkan rehat. Aku terus ke bilik air dan menunaikan apa yang perlu. Kembali aku ke tempat tidur tadi, makcik yang tadi sudah tiada bersama2 dengan suaminya. Aku pasti ia telah ditegur dan suaminya cuba mengalah dan bersama2 kebelakang pula. Perkara mengasingkan suami isteri ini adalah biasa untuk Jemaah haji Malaysia kerana kalau muassasah haji bersama dengan Tabung Haji - suami isteri diasingkan. Suami kena bersedia untuk mengasingkan diri dengan isteri kerana ikut muassasah.
Maka tidurlah aku bersama dengan seorang Haji dari Tanjung Karang. Bersembang kami sehingga sekitar 1.30 pagi dan mata berat lalu tidur. Tiba2 pak cik sebelah mengejutkan aku "Dah boleh mandi ni" Aku rasa seperti hanya baru sebentar tadi melelapkan mata. "Sekarang pukul berapa haji" Aku bertanya. Pakcik itu menjawab "Sekarang pukul 2.20 pagi, boleh bersedia mandi la. Saya dah mandi". Aku tak buka mata dan terus tidur. Kira2 pukul 3.13 pagi aku sekali lagi dikejutkan dan aku terus bergerak ke bilik air. Orang masih tak ramai dan aku boleh mandi dengan aman.
Pada waktu 3/4 malam itu, semua Jemaah bermunajat - solat Tasbih, solat Tahajud 4 rakaat, solat taubat dan solat witir. Suasana sangat sayu dan hati2 Jemaah melekat di tempat sujud memohon ampun dari Allah. Setiap bait2 yang keluar dari ustaz yang membawa qiamulail pada pagi itu sangat mendayu dan menusuk di hati.
Solat subuh masuk terus berjamaah dan kira2 pukul 6.30 pagi, tawaf dan saie haji akan bermula. Semua Jemaah bersedia dan beberapa soalan menjadikan Ustaz pembimbing keliru dengan kefahaman Jemaah pada masa itu. Adakah tawaf pada pagi ini sambungan dari tawaf pada petang semalam. Tawaf semalam adalah tawaf umrah dan sekarang adalah tawaf Haji.
Kira2 pukul 9 pagi semua tawaf dan saie selesai. Minum pagi secepat kerana adalah majlis penutup pada pukul 10.30 pagi nanti oleh Sultan Selangor sendiri dan diiringi oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim (diberitahu orang pada pagi itu - TSKI telah dibuang dari parti PKR pada hari Sabtu 9/8/14.
Maka Kursus Perdana pun dilaksanakan oleh Sultan Selangor dengan hadiah simbolik untuk Jemaah haji sepasang ihram.
Beberapa pengumuman menjadi sembangan Jemaah pada kali ini:-
1. Sila alihkan kenderaan anda kerana menggangu lalu lintas
2. Diminta isteri bertemu suami di depan pentas
3. Diminta suami datang ke pentas, isteri sedang menunggu.
4. Diminta sesiapa yang memegang beg duit sila pulangkan kepada pentas (Diberitahu Jemaah sebelum masuk ke tandas telah memberi beg pada kawan yang tidak di kenali)
5. Sesiapa ada kehilangan tali pinggang haji boleh ke tempat urussetia.
6. Diminta Puan Samsiah datang ke bilik kecemasan kerana suami menunggu.
7. Sesiapa ada kehilangan duit yang banyak sila telefon nombor ini.
8. Dminta Puan Samsiah datang ke bilik kecemasan kerana suami menunggu.
9. Sila alihkan kenderaan anda kerana menganggu te,mpat saie.
10. Diminta puan Samsiah datang ke bilik kecemasan kerana suami menunggu.
Setelah diberitahu beberapa kali baru kami faham, Puan Samsiah memegang ubat suaminya menyebabkan bila sakit, ubat tidak sampai kepada pesakit.
Selamat menunaikan haji pada tahun 1435.