Yang selalu jengok

Wednesday, June 22, 2016

Bercukur di Mina


Setelah kembali dari melontar Jamratul Aqabah, para Haji akan bergegas untuk bercukur dan setelah melakukan 2 perkara dari 3 perkara Wajib Haji maka para Haji dikira sudah bertahalul Awwal. Malam itu adalah hari pertama kami di Mina.  Suasana tidak biasa dan ramai para Haji berbagai bangsa disatukan di situ.  Kawasan Mina yang kami duduk itu lebih kurang 3.5 km jauhnya untuk melontar Jamrah. Semua para Haji akan datang dari Asia disatukan di satu tempat dan akan melalui terowong yang sama untuk melontar.  Ia berada di tingkat 3 di Bangunan untuk melontar Jamrah.

Menurut bahasa Tahalul bererti ‘menjadi boleh’ atau ‘dihalalkan’. Dengan demikian Tahalul  ialah diperbolehkan, halal, keluar atau membebaskan diri daripada larangan atau pantangan Ihram dengan mencukur seluruh rambut di kepala atau menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Bagi yang sedia botak, maka hendaklah sekadar melalukan pisau di atas kepalanya.

Sesampai ke khemah sekitar 10.30 malam itu, keletihan untuk berehat di simpan senyap2 di dalam hati.  Proses untuk bertahalul Awwal lebih penting setelah 3 hari berihram dan syarat2 berihram dijaga. Aku bersama Haji Azman bergegas mencari orang yang boleh mencukur kepala kami. Syarat bercukur ini lebih afdhal mengikut hadis dari memotong rambut dan hampir 80% orang di kawasan Mina itu akan bercukur untuk mengikut sunnah.

Kami bergerak ke belakang khemah dimana tempat mandi berada. Beberapa barisan dilihat terlalu panjang untuk bercukur pada malam itu. Kami berehat dahulu sambil melihat beberapa orang Arab yang menjadi tukang cukur akan membuat duit pada malam itu. Diberitahu bahawa pada siangnya Pak Arab tukang gunting hanya mengenakan bayaran SR10 tetapi menjelang malam itu, kos bercukur sudah naik kepada SR25 dan permintaan tinggi untuk bercukur pada waktu itu tidak memberikan masalah untuk para Haji membayar.  Tetapi beratur panjang pada malam itu membuat aku rimas tak tentu hala.

Ada pada Haji yang membuat keputusan untuk bercukur sendiri mengunakan pisau cukur janggut. Beberapa kali aku melihat mereka mengeluh kerana pisau cukur jangut tidak sesuai untuk mencukur rambut dan keadaan bercukur itu menjadikan beberapa kelompok haji dan semua sibuk bercukur untuk melepaskan ihram.  Waktu sudah bergerak ke pukul 12 malam, aku dan Hj Azman masih tidak bercukur.

Seorang haji dari Perak mengajak kami berdua untuk membantu beliau membuat satu kumpulan bercukur lagi.  Kali ini tukang cukur dari Malaysia sendiri.  Dia melantik diri sendiri sebagai 'Marketing Manager' untuk menjemput semua orang bercukur dengan tukang cukur dari Malaysia itu yang pastinya sama2 berhaji pada tahun itu. Aku pasti tukang cukur ini sudah biasa dengan kerja2 mencukur. Aku diberi nombor dan boleh kembali ke khemah.  Seingat aku aku bernombor 13 dan melihat masih ramai yang beratur, aku dan Hj Azman yang berada nombor selepas aku pergi berehat dahulu di khemah.

Kira2 sejam kemudian kami berdua datang kembali ke belakang dan melihat orang yang beratur sudah kurang.  Lalu aku bertanya dengan Haji dari Perak atau 'marketing manager' disitu.  Dia kata nombor aku sudah diambil orang dan tak tentu pukul berapa untuk bercukur pada waktu2 begini. Aku bersabar dan Hj Azman sudah beralih ke tempat lain untuk bercukur.  Waktu seperti sudah masuk ke pukul 1 pagi.  Aku bersiar2 memikir dimana untuk bercukur pada pagi itu. Kawan2 sekhemah sudah nampak botak dan senyum2 untuk mandi pagi itu. Aku bertanya pada Haji Wan dimana dia bercukur. Hj Wan memberitahu bahawa dia bercukur dengan seorang ustaz di kawasan lain dan dia memberitahu beberapa sukarela membantu proses bercukur di sana.  Aku terus bergegas dan mahu terus bercukur.

Sampai aku di satu simpang khemah ada beberapa kumpulan sedang bercukur dan aku pasti mereka ini sukarela tolong mencukurkan orang melihatkan keadaan tidak tersusun beraturnya. Aku bertanya dan mereka memberitahu bahawa mereka akan membantu mencukurkan aku kalau aku sabar menunggu. Salah seorang yang dipanggil Ustaz yang tolong mencukur memberitahu tanganya sudah kebas untuk mencukur.

Pada pagi sibuk itu 11 Zulhijjah 1435, aku dicukur seorang ustaz yang tangan sudah naik kebas. Perlahan2 dia bermula dan aku sudah mula berpeluh "Bang Haji, darah sikit la" Aku yang merasa berpeluh itu meraba kepala aku pada pagi itu.  Bukan air peluh yang mengalir tetapi darah merah. Aku tersenyum dan membiarkan darah mengalir seperti peluh.  Bukan hanya satu tempat yang berdarah. Cukur untuk bertahalul awwal berjaya setelah beberapa kali peluh bersama darah mengalir bersama.

Saturday, June 4, 2016

Jalan2 di Pekanbaru

Aku dan keluarga bercuti ke Pekanbaru dari 27/5 /16 sehingga 30/5/16.  4 Hari 3 malam tidur di Grand Central Pekanbaru.  Setiba kami di sana sekitar pukul 10.45 pagi waktu sana di Airport Sultan Syariff Kasim II Pekanbaru, kami terus bergerak ke hotel.  Duduk di dalam kapal terbang Airasia hanya sekitar 30 minit, kapal terbang sudah mendarat. Pekanbaru ini.  Dahulunya Pekanbaru dikenali sebagai Pekanbaru Kota Bertuah terpaksa ditukar kepada Pekanbaru Bandar Riau Madani kerana diberitahu bahawa selalu banjir maka namanya ditukar.

Pandangan hotel dari seberang jalan
Hari pertama kami sampai ke hotel Grand Central, kami terus pergi ke SKA Mall yang diberitahu bahawa ini adalah mall yang terbesar di Pekanbaru.  Berjalan2 seperti di Sunway Pyramid dan disitulah kami makan dan anak2 dibiarkan bersantai di taman tema untuk bermain.  Hari sudah malam dan kami terus kembali ke hotel untuk tidur.

Makan pertama di SKA Mall


Hari ke2 bermula dengan bersarapan di hotel.  Kos untuk seorang bersarapan adalah RP65,000 atau RM20.  Sarapan telah aku gabungkan ketika menempah hotel menerusi talian tempoh hari.  Selepas sarapan, kami mandi dikolam renang yang berada di tingkat 7.  Sebelum terlupa, kami tidur di tingkat 3  di bilik 336. Hanya aku dan anak2 yang mandi.  Isteri tidak menyinggah untuk mandi dan selalunya begitulah kerana aku sendiri tidak menggalak isteri untuk mandi di kolam renang di mana2 hotel.
Breakfast dulu sebelum mandi

Kolam untuk anak2 kecil

Selepas dari mandi itu, jam sekitar 9, kami turun sekeluarga ke lobi hotel dan meminta dihantar ke Pasar Bawah Pekanbaru. Di hotel ini, jika kenderaan hotel ada, pelanggan boleh dihantar sekitar bandar tanpa di caj. Pergi ke pasar bawah seperti jadual wajib pada sesiapa yang datang ke Pekanbaru. Pasar Bawah seperti di Bandung atau Jakarta dimana tempat membeli belah untuk telekung, langsir, T Shirt, jeans dan berbagai2 yang mahu dicari di Indonesia.

Kami sampai ke Pasar Bawah dalam keadaan yang sibuk.  Jalan yang tersekat dan suasana di pasar bawah yang terlalu padat sebenarnya tidak sesuai untuk anak2.  Kami membeli belah sehingga waktu tengahari dan perut sudah lapar.  Seorang pekedai memberitahu supaya kami makan di kawasan Pasar Bawah iaitu restoran nasi padang yang beroperasi setentang dengan Pasar Bawah.  Kulineri bagi aku adalah sesuatu yang perlu dipenuhi.  Aku memang pemilih dan yang pasti aku mahukan yang sedap2.

Pasar Bawah
Sebenarnya selain dari Pasar Bawah terdapat juga jualan2 seperti pasar bawah dimana ketika aku google diberitahu lebih murah iaitu di Pasar Ramayana. Ketika kami ke Pasar Bawah, pemandu hotel juga menunjukkan kedudukan pasar Ramayana yang baru 4 bulan terbakar dan penjual2 barangan berada disekitar bangunan yang terbakar untuk menjual.  Suasana agak panas dan kurang pelanggan yang datang ke pasar Ramayana disebabkan keadaan begitu.  Selesai membeli belah di Pasar Bawah dan makan nasi padang, kami bergerak terus ke Hotel untuk berehat.

Viz Cake - jual roti Durian

Di petang itu, aku berseorangan bergerak jalan perlahan2 di luar hotel dan nampak gerai durian seperti yang ada di Malaysia. Di Pekanbaru, durian tidak pernah tidak ada.  Durian seperti tidak bermusim di sana. Disebabkan itu, beberapa kedai kek mengambil inisiatif untuk menjual barangan berasaskan durian. Kita akan berjumpa dengan durian crepe, kek durian, roti durian dan bermacam oleh2 dari Pekanbaru berasaskan durian.  Aku menyeberang kehadapan dari Hotel.  Hotel ini berada di Jalan Sudirman iaitu salah satu jalan yang agak popular dengan kawasan durian.  Aku memilih untuk makan durian Pondok Durian Ayah. Mungkin kerana ia paling hampir dengan hotel.  Aku suruh penjual durian memilih yang terbaik dan mahu makan di situ juga.  Memang terbaik dan aku menyuruh dia membuka sebijik lagi.  Total kos durian pada petang itu adalah RP150,000 atau RM46. Harga durian agak mahal dan seperti di Malaysia pada masa sekarang.

Makan Durian di sini
Ini durian pilihan aku
Kedai oleh2 durian sebelah hotel

Selepas itu aku bersama anak2 pergi ke kolam renang lagi.  Bagi anak2 hiburan yang seperti ini adalah wajib ada kerana jika pergi hotel bermakna ada kolam renang dan boleh berenang.  Setelah sejam beremdam, kami sekeluarga sekali lagi keluar ke mall.  Sebenarnya tiada apa yang boleh dilawati di Pekanbaru selain membeli belah.  Ada Masjid Agung untuk dilawati, perpustakaan yang besar dan Istana Riau yang memerlukan kenderaan lebih dari 3 jam.  Lalu aktiviti paling bagus di Pekanbaru adalah makan kerana kulineri di Pekanbaru memang sedap - masakan Padang, Minang, Melayu dan Jawa.

Hari ke 3 pula, isteri masih mahu membeli belah.  Kami sekeluarga pergi ke Pasar Ramayana yang telah terbakar.  Kedai2 disekeliling masih boleh dilawati dan selepas itu kami bergerak ke satu mall lagi iaitu Ciputra Mall yang berdekatan di Pasar Bawah.  Sekitar 2 jam berjalan, anak2 sudah penat dan mahu kembali ke hotel.  Kami merancang untuk keluar makan di salah satu kedai makan utama di Pekanbaru iaitu Pondok Gurih atau Pondok Patin HM Yunus.  Kedua2 tempat ini memang didambakan sehingga urusan rasmi apabila Menteri datang kedua2 tempat ini akan menjadi pilihan.

Pondok Gurih

Kami menaiki teksi untuk ke Pondok Patin HM Yunus tetapi restoran ini telah ditutup awal kerana menurut pemandu teksi ada satu keramaian dibuat pada tengahari tadi.  Kami bergegas pula ke Pondok Gurih.  Bila sampai, seorang lelaki berpakaian Melayu terus memalu gong menandakan ada tetamu yang datang.  Kami bersila untuk makan pada malam itu.  Hidangan kami - udang tepung, ikan gerumi bakar, baung masak asam dan beberapa makanan yang aku tak ingat.  Harga sekitar RM65.  Makanan sedap dan menyelerakan.

Dan malam itu berakhir di hotel dengan tenang. Esok 30/5/16 kami akan bergerak ke KLIA2 dan balik ke rumah.  Kami betul2 berehat kali ini dengan dipenuhi keseronokan anak2 dan makan yang sedap.