Yang selalu jengok

Wednesday, June 22, 2016

Bercukur di Mina


Setelah kembali dari melontar Jamratul Aqabah, para Haji akan bergegas untuk bercukur dan setelah melakukan 2 perkara dari 3 perkara Wajib Haji maka para Haji dikira sudah bertahalul Awwal. Malam itu adalah hari pertama kami di Mina.  Suasana tidak biasa dan ramai para Haji berbagai bangsa disatukan di situ.  Kawasan Mina yang kami duduk itu lebih kurang 3.5 km jauhnya untuk melontar Jamrah. Semua para Haji akan datang dari Asia disatukan di satu tempat dan akan melalui terowong yang sama untuk melontar.  Ia berada di tingkat 3 di Bangunan untuk melontar Jamrah.

Menurut bahasa Tahalul bererti ‘menjadi boleh’ atau ‘dihalalkan’. Dengan demikian Tahalul  ialah diperbolehkan, halal, keluar atau membebaskan diri daripada larangan atau pantangan Ihram dengan mencukur seluruh rambut di kepala atau menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Bagi yang sedia botak, maka hendaklah sekadar melalukan pisau di atas kepalanya.

Sesampai ke khemah sekitar 10.30 malam itu, keletihan untuk berehat di simpan senyap2 di dalam hati.  Proses untuk bertahalul Awwal lebih penting setelah 3 hari berihram dan syarat2 berihram dijaga. Aku bersama Haji Azman bergegas mencari orang yang boleh mencukur kepala kami. Syarat bercukur ini lebih afdhal mengikut hadis dari memotong rambut dan hampir 80% orang di kawasan Mina itu akan bercukur untuk mengikut sunnah.

Kami bergerak ke belakang khemah dimana tempat mandi berada. Beberapa barisan dilihat terlalu panjang untuk bercukur pada malam itu. Kami berehat dahulu sambil melihat beberapa orang Arab yang menjadi tukang cukur akan membuat duit pada malam itu. Diberitahu bahawa pada siangnya Pak Arab tukang gunting hanya mengenakan bayaran SR10 tetapi menjelang malam itu, kos bercukur sudah naik kepada SR25 dan permintaan tinggi untuk bercukur pada waktu itu tidak memberikan masalah untuk para Haji membayar.  Tetapi beratur panjang pada malam itu membuat aku rimas tak tentu hala.

Ada pada Haji yang membuat keputusan untuk bercukur sendiri mengunakan pisau cukur janggut. Beberapa kali aku melihat mereka mengeluh kerana pisau cukur jangut tidak sesuai untuk mencukur rambut dan keadaan bercukur itu menjadikan beberapa kelompok haji dan semua sibuk bercukur untuk melepaskan ihram.  Waktu sudah bergerak ke pukul 12 malam, aku dan Hj Azman masih tidak bercukur.

Seorang haji dari Perak mengajak kami berdua untuk membantu beliau membuat satu kumpulan bercukur lagi.  Kali ini tukang cukur dari Malaysia sendiri.  Dia melantik diri sendiri sebagai 'Marketing Manager' untuk menjemput semua orang bercukur dengan tukang cukur dari Malaysia itu yang pastinya sama2 berhaji pada tahun itu. Aku pasti tukang cukur ini sudah biasa dengan kerja2 mencukur. Aku diberi nombor dan boleh kembali ke khemah.  Seingat aku aku bernombor 13 dan melihat masih ramai yang beratur, aku dan Hj Azman yang berada nombor selepas aku pergi berehat dahulu di khemah.

Kira2 sejam kemudian kami berdua datang kembali ke belakang dan melihat orang yang beratur sudah kurang.  Lalu aku bertanya dengan Haji dari Perak atau 'marketing manager' disitu.  Dia kata nombor aku sudah diambil orang dan tak tentu pukul berapa untuk bercukur pada waktu2 begini. Aku bersabar dan Hj Azman sudah beralih ke tempat lain untuk bercukur.  Waktu seperti sudah masuk ke pukul 1 pagi.  Aku bersiar2 memikir dimana untuk bercukur pada pagi itu. Kawan2 sekhemah sudah nampak botak dan senyum2 untuk mandi pagi itu. Aku bertanya pada Haji Wan dimana dia bercukur. Hj Wan memberitahu bahawa dia bercukur dengan seorang ustaz di kawasan lain dan dia memberitahu beberapa sukarela membantu proses bercukur di sana.  Aku terus bergegas dan mahu terus bercukur.

Sampai aku di satu simpang khemah ada beberapa kumpulan sedang bercukur dan aku pasti mereka ini sukarela tolong mencukurkan orang melihatkan keadaan tidak tersusun beraturnya. Aku bertanya dan mereka memberitahu bahawa mereka akan membantu mencukurkan aku kalau aku sabar menunggu. Salah seorang yang dipanggil Ustaz yang tolong mencukur memberitahu tanganya sudah kebas untuk mencukur.

Pada pagi sibuk itu 11 Zulhijjah 1435, aku dicukur seorang ustaz yang tangan sudah naik kebas. Perlahan2 dia bermula dan aku sudah mula berpeluh "Bang Haji, darah sikit la" Aku yang merasa berpeluh itu meraba kepala aku pada pagi itu.  Bukan air peluh yang mengalir tetapi darah merah. Aku tersenyum dan membiarkan darah mengalir seperti peluh.  Bukan hanya satu tempat yang berdarah. Cukur untuk bertahalul awwal berjaya setelah beberapa kali peluh bersama darah mengalir bersama.

No comments:

Post a Comment