Yang selalu jengok

Sunday, September 25, 2016

Berhenti kerja dan Belajar

Dalam rencana terbaru Bloomberg mengatakan satu trend baru di Korea di mana para senior banker mereka meninggalkan kerjaya mereka dan kembali menjadi pelajar.  Pendidikan ketika umur 45 ke atas memberikan mereka ruang luas untuk menukar dan menjadi lebih baik.  Bukan kepada kerjaya yang ditinggalkan tetapi kerjaya baru yang menjadi permintaan tinggi. Penukaran ini penting kerana ada kerjaya yang boleh diwarisi untuk anak2 seperti berniaga dan bersyarikat sendiri.

Di Korea, pegawai2 tinggi bank berhenti dan meneruskan pendidikan seperti dalam bidang kecantikan yang permintaan sentiasa tinggi di sana.  Orang muda perempuan dan lelaki yang mahu cantik, putih dan menawan. Kelompok sasaran ini seperti dipersetujui oleh Kerajaan Korea Selatan. Peningkatan bermaksud Korea akan berkembang lebih maju dalam filem, nyanyian dan industri media yang lain. Tiada yang 100% original sekarang di Korea tentang kecantikan mereka. Walaupun satu dunia tahu tetapi KPOP mereka terus hebat terjual dan disukai seluruh dunia.


Pendidikan selepas bekerja sebenarnya memberikan banyak kesenangan kepada yang memilih.  2 degree (kebolehan) memberikan peluang untuk berubah pasti kepada yang lebih baik.  Seorang pekerja bank yang senior yang dahulunya dari latar belakang akaun tiba2 bertukar menjadi seorang konsultant kecantikan maka perniagaan menjadi sesuatu yang lebih senang.  Boleh bercakap, boleh menjual dan nampak matang.

Aku juga sebenarnya cuba bertukar seawal boleh.  20 tahun dengan bank dan aku melanjutkan pelajaran dalam shariah di UM pada tahun 2002 untuk menambah pengetahuan.  Pada tahun 2004 sebelum aku berhenti dari Maybank, aku belajar di UM jua dalam Usulludin.  Tapi pengetahuan ini aku gunakan hanya untuk bertukar bank sahaja.  Dari Maybank kepada Bank Muamalat.  Dan aku berhenti secara total dalam bank pada tahun 2010 setelah lima tahun dengan Bank Muamalat.  

Aku terus ingin bertukar.  Aku mendaftarkan diri untuk belajar Bahasa Mandarin di UiTM pada tahun 2011.  Setelah 2 module, aku berhenti. Tidak nampak untuk bertukar tetapi bila difikirkan betapa senang untuk faham bila kita matang dalam banyak hal, maka pendidikan sebenarnya menaikkan taraf seseorang dan membezakan antara satu sama lain seperti dalam surah Al Mujaadilah.

“Allah mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujaadilah: 11)

Pendidikan seperti menjadi mutawif haji atau umrah sekarang ada seperti di Institut Professional Baitulmal. Diploma dalam Pengurusan Haji dan Umrah. Ini adalah kemahiran baru yang boleh memberi peluang untuk berubah.  Jangan rasa terlambat kerana perubahan boleh kita lakukan sendiri dan jangan harap orang.  Tetapi yang paling benar, jika kita tidak berubah, luaran pula yang akan merubahkan kita dan semasa itu kita sudah lewat.



Contoh biasa kita dengar "Aku akan sentiasa setia dengan syarikat ini sampai bila2" Tapi bila ekonomi meleset, syarikat jatuh dan kita pun berjumpa dengan ketua syarikat dan bertanya "Bagaimana syarikat kita boleh terjatuh begini" Lalu jawapan mereka "Kita tak berubah tetapi masalah luar merubah kita.  Ada benda baru yang menggantikan produk kita dan kita terus lalai dengan produk lama kita".  

Cepat2 daftar untuk belajar dan menambah ilmu.  Ilmu menjaga harta tetapi harta tidak menjaga ilmu - kata hikmat dari Saidina Ali K.A.



Saturday, September 10, 2016

Cuti di Palace of Golden Horses

Palace of Golden Horses

Anak aku sebut hotel Kuda.  Betul memang banyak kuda di sini.  Dan semua yang bersangkutan dengan kuda terdapat di sini.  Kuda betul hanya ada di seberang hotel sahaja.  Hotel ini bertaraf 5 bintang dengan kemudahan bilik yang banyak, kolam renang, dewan ballroom (bilik bola) yang besar dan dewan mesyuarat yang banyak tidak terhingga.  Kuda emas, kuda besar, kecil, kuda merry go round dan bermacam kuda ada di Hotel ini.

Hotel ini bukan calang2.  Ketika kemegahan ia dulu, ia pernah menjadi tempat tinggal untuk Ketua2 Negara semasa CHOGM ketika Tun Mahathir menjadi PM.  Dan mungkin sebab promosi ini, Tun Mahathir dibinakan kepada dia sebuah rumah di belakang hotel ini.  Aku juga tidak ketinggalan melihat rumah Mahathir ketika berjalan di hotel Kuda ini.  Hotel ini juga pernah menjadi tuan rumah untuk pasukan bola Manchester United ketika berkunjung ke Malaysia.

Tengah 'Check in' - menunggu

Di ruang lobby
Masih menunggu bilik
Kami sekeluarga bergerak ke hotel ini pada hari Ahad 4/9/2016 dan hari ini adalah hari bersejarah aku dan isteri kerana 17 tahun dahulu kami disatukan sebagai suami isteri di Kelana Jaya.  Kenapa pilih hotel dekat dengan rumah?  Sebenarnya aku cuba memenuhi kehendak anak dan isteri.  Mereka mahu bercuti dan aku tidak dapat bercuti panjang.  Maka hotel yang dekat perlu ada kemegahan sesuatu untuk mereka bercerita.  Aku sebenarnya berhasrat untuk ke Bangi Wonderland yang baru dibuka pada 27/08/2016.  Tiket untuk masuk ke sana dewasa RM58 dan kanak2 RM48.

Aku akan tinggal di hotel ini untuk 3 Hari 2 Malam.  Aku 'booking' bilik yang besar kerana keluarga dengan 4 anak perlu bilik yang luas untuk selesa.  Kami diberikan bilik 'Minister' yang mana ruang tamunya diasingkan dari bilik tidur.  Bilik air ada 2 dan memandang ke tasik yang dibuat orang. Bilik ini agak luas dan memenuhi kehendak kami sekeluarga. No bilik aku 7073. Bilik ini aku tempah melalui AGODA.
Ruang tamu berasing dengan bilik tidur

Bilik tidur 

Ditengah2 antara ruang tamu dan bilik tidur adalah bilik mandi

Sebenarnya hotel ini sudah berumur, aku rasa seperti sudah lebih 20 tahun.  Banyak kawasan2 yang seperti perlu diperbaiki.  Ketika kami sampai, tasik buatan orang tidak boleh digunakan dan kawasan itu seperti mahu diperbaharui. Aku tiba sekitar 12 tengahari dan terus beratur untuk mendapatkan bilik. Waktu menunggu untuk mendapatkan bilik lebih kurang 30 minit lamanya. Ramai yang mahu masuk sama pada hari itu.  Pelancung dan Arab dan India paling ramai ketika itu.  Arab Saudi sedang bercuti kerana musim Haji.

Hari pertama kami tiba, aku terus mengajak sekeluarga ke Mines Wonderland.  Hari ini adalah hari terakhir Halal Fest yang diadakan setiap tahun di situ.  Hotel memberikan Shuttle secara percuma untuk ke Mines dan KLCC.  Pengunjung hotel kenalah tempah masa dahulu sebelum dapat Shuttle ini.  Pukul 3.30 kami sekeluarga menaiki shuttle yang diberikan dan melalui jalan dalam hingga ke Mines Wonderland.  Dan di jalan dalam itu terdapat rumah Tun Mahathir yang dia tinggal sekarang.

Rumah Tun Mahathir dari dalam shuttle kami

Berjalan sejam dalam Halal Fest seperti tukang rasa makanan yang hebat.  Anak2 sudah kepenatan dan sebenarnya mereka mahu mandi di kolam renang di hotel.  Pukul 5.30 shuttle tiba dan kami terus ke hotel.  Sesampai sahaja anak2 terus bersiap untuk ke kolam renang.  Penat yang tadi terus hilang. Kami suami isteri terpaksa layan buas anak pada waktu ini.  Pukul 6 pm kami turun ke kolam renang. Untuk pengetahuan, menggunakan shuttle dari hotel ke Mines Wonderland hanya 10 minit perjalanan melalui jalan belakang.

Kolam kanak2 


Kolam renang yang disediakan memang bagus untuk kanak2.  Aku dan isteri hanya menjadi penonton melihat anak bersuka ria dalam kolam yang besar untuk kanak2.  Pukul 7 pm kolam renang sudah di tutup.  Semua sudah benar2 letih dan perasaan hendak tidur lebih banyak dari hendak makan.  Aku dan isteri sudah berbincang untuk keluar makan malam ini berdua.  Anak2 akan kami tinggalkan di dalam hotel kerana mereka akan tidur kepenatan.

Setelah solat Magrib, kami berdua bergerak untuk mencari tempat makan. Disebabkan sudah lama meninggalkan Kuala Lumpur, aku seperti sesat untuk mencari tempat makan. Hanya yang nampak kedai mamak, Mc Donald dan KFC sahaja. Akhirnya aku singgah ke sebuah kedai mamak untuk makan. Kami makan di situ dan menyambung tidur di hotel.

Pintu masuk Caraosel - sarapan

Kami suami isteri sahaja yang makan, yang lain cuma main2 je
Esok perjalanan akan diteruskan ke Bangi Wonderland. Tempat baru yang tiada siapa tahu yang buruk atau yang baik.  Hanya baru pada asasnya bukan bermaksud baik. Aku menempah hotel ini bersama dengan sarapan.  Ini benar2 membantu aku sekeluarga untuk makan.  Mungkin aku akan ke hotel ini lagi.  Teringat pesan anak paling kecil "Ayah, nanti kita pergi ke hotel Kuda lagi".
Tengok bermacam2 kuda

Kuda2 yang keras


17 tahun bersama