Aku seperti sudah mendapat jawapan tentang masa bergerak pantas ini. Betul masa bergerak pantas sekarang. Baru mula berpuasa, kita sudah sampai separuh bulan Ramadhan. Baru sampai separuh Ramadhan, malam itu adalah malam terakhir Ramadhan dan takbir sudah bermula. Baru pergi ke rumah kawan berhari raya, esok sudah ramai yang pergi Haji. Baru kira2 orang yang pertama masuh Madinah, sekarang sudah separuh yang masuk terus ke Mekah.
Betul masa bergerak pantas. Kalau Ustaz berceramah maka diberitahu bahawa keberkatan masa diambil oleh Allah. Umur meningkat tetapi orang tidak nampak tua. Aku teringat waktu dahulu dan tidak lama sangat iaitu ketika tahun 1984, ayah aku sudah pencen tentera dan baru berumur 44 tahun. Aku sudah 49 tahun dan masih bekerja kuat untuk mencari rezeki buat keluarga. Umur meningkat dan masa yang cepat tidak menekan kita untuk nampak tua.
Betul masa bergerak cepat. Tapi aku cuba mengingat kembali ada satu ketika masa bergerak terlalu perlahan. Seminggu terasa seperti sebulan, 2 minggu seperti 2 bulan dan seterusnya. Ada satu ketika dalam hidup aku, masa bergerak terlalu perlahan, ketika siang seperti 2 hari dan malam berlanjutan seperti 3 hari untuk habis waktu malam. Bila semua ini berlaku? Ketika aku diberi tugas khas waktu berumur 15 tahun di Ulu Dong, Raub, Pahang.
Apa tugas khas aku waktu itu? Ketika itu aku menunggu keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) bersama dengan abang aku yang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1985. Kami diberikan tugas oleh Pak Jang kami untuk mengutip buah durian di satu tempat yang agak hulu dari semua kemodenan. Kami duduk di rumah seorang nenek yang kuat melatah. Jika dia melatah, habis benda yang dipegangnya akan dilontar. Hatta pada satu ketika hampir kami berlari keluar rumah kerana dia melatah bersama parang ada di tangan.
Tugas khas kami adalah mengutip durian dari 4 batang pokok yang agak tua dan membuahkan ratusan buah durian setiap musim durian. Pokok ini berada kira2 2 km dari rumah yang kami tinggal. Kami akan membawa kereta sorong dari rumah untuk membawa durian balik ke rumah. Kami tidur dirumah yang lansung tidak ada elektrik dan air yang perlu cedok dari telaga. Kami akan keluar dari rumah waktu pagi sekitar 8 dan balik kerumah sekitar 11 pagi. Dan apa yang kami buat selepas itu adalah duduk bersembang sambil membaca helaian2 suratkhabar yang dijadikan dinding rumah. Aku setiap hari akan berdiri dan membaca pada dinding rumah dan kadang2 membaca benda yang sama setiap hari.
Petang pukul 4 kami sudah mandi untuk bersiap tidur. Malam yang panjang diharung sebelum gelap menjelma. Pukul 6 kami semua sudah makan. Yang aku ingat, ada seorang ibu akan menghantar makanan pada kami untuk makan. Kami makan seadanya dan duduk menghadap lampu ayam sambil bersembang. Dan ini bermula sekitar 7 malam. Pukul 9 kami sudah ngantuk dan tidur. Aku akan baring menghadap muka ke bumbung rumah. Memikir dan berfikir apa yang perlu kami buat esok hari.
Setiap kali aku cuba mengingat cerita dari Ulu Dong itu, perasaan mengatakan aku berada sebulan di sana terlalu tepat. Dan aku akan disanggah oleh emak aku, aku hanya berada di sana selama seminggu sahaja. Banyak yang aku buat ketika di sana. Pergi kenduri beberapa rumah dan dapat berkenalan dengan seorang gadis yang duduk di asrama seperti aku. Seminggu di sana seperti sebulan. Kalau petang di sana waktu itu seperti lansung tidak bergerak. Pukul 2 pm selepas beberapa ketika aku masih rasa berada pada waktu yang sama.
Rumusan dari itu, masa yang bergerak pantas setiap hari boleh diperlahankan. Dan ini betul2 terjadi pada aku pada satu waktu dahulu. Jangan membuat banyak perkara setiap hari. Duduk diam dan jangan menonton TV dan tiada telefon yang menganggu. Masa akan bergerak perlahan kalau itu yang kita mahukan.
Salam
ReplyDelete