Ibubapa sekarang perlu merancang untuk anak2. Betul rezeki Allah ada pada setiap makhluk tetapi kalau tidak berusaha maka pasti tidak mendapat rezeki. Konsep takdir atau beriman dengan Qada' dan Qadar tanpa berusaha adalah beriman dengan salah.
Beriman dengan Qada’ dan Qadar termasuk salah satu daripada kewajiban Rukun Iman, meyakini bahawa seluruh penciptaan alam semesta mengikut ilmu Allah dan kebijaksanaan-Nya, sesungguhnya Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu dan berkuasa melakukan perkara yang dikehendaki-Nya.
إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ
Maksudnya : “Sesungguhnya Kami menciptakan setiap sesuatu menurut Qadar (yang telah ditentukan).” (al-Qamar:49)
Sabda Rasulullah s.a.w :
إِنَّ أَوَّلَ مَا خَلَقَ اللَّهُ الْقَلَمَ فَقَالَ لَهُ : اكْتُبْ قَالَ : رَبِّ وَمَاذَا أَكْتُبُ؟ قَالَ : اكْتُبْ مَقَادِيرَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ
Maksudnya : “Sesungguhnya yang pertama diciptakan oleh Allah adalah ‘al-Qalam’. Allah berfirman kepadanya ; ‘Tulislah.’ Al-Qalam pun berkata; ‘Ya Tuhan, apakah yang aku akan tulis?’ Allah berfirman; ‘Tulislah akan qadar (ketetapan) dan segala apa yang terjadi sehingga menjelang Kiamat.” (riwayat Abi Daud)
Firman Allah :
مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الأَرْضِ وَلا فِي أَنفُسِكُمْ إِلاَّ فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ
Maksudnya : “Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Al-Hadid:22)
Keyakinan terhadap Qada’ dan Qadar Allah memerlukan seseorang melaksanakan tiga perkara;
Pertama: Hendaklah berdoa kepada Allah agar mempermudahkan baginya untuk mendapat kesenangan dan menjauhkannya daripada kesusahan dan segala larangan-Nya di samping bertawakkal kepada Allah dan meminta perlindungan daripada-Nya, maka jadilah ia sentiasa bergantung dengan Allah untuk mendapatkan perkara yang baik dan meninggalkan kejahatan.
Firman Allah :
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُواْ لِي وَلْيُؤْمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksud : “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah:186)
Kedua: Hendaklah berusaha mencapai tujuan akhirat sebagaimana usaha yang dilakukan untuk mencapai tujuan dunia. Adalah sangat menghairankan jika dalam urusan akhirat segala amal usaha ditinggalkan sementara dalam urusan dunia masing-masing sedar bahawa hanya beristirehat tanpa usaha dan perancangan adalah salah satu bentuk amalan menuju pengangguran dan kemiskinan.
Sabda Nabi s.a.w :
احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ
Maksudnya : “Hendaklah kamu melakukan perkara yang mendatangkan manfaat kepada kamu, dan mintalah pertolongan kepada Allah, jangan kamu mudah berasa lemah (malas). Sekiranya musibah menimpa kamu maka janganlah kamu berkata; ‘Kalaulah dulu aku lakukan begitu tentu ia akan jadi begini’, tetapi katakanlah, ‘Allah telah menentukan dan setiap yang dikehendaki-Nya akan dilakukan-Nya’. Lantaran kerana perkataan ‘kalau’ akan membuka peluang kepada syaitan.” (Riwayat Muslim)
Rasulullah s.a.w membimbing umatnya untuk bersemangat menempuh usaha yang bermanfaat dalam urusan dunia dan juga akhirat. Perintah Rasulullah s.a.w kepada umatnya untuk berusaha itu, baginda gabungkan dengan iman kepada taqdir, ini menunjukkan bahawa beriman kepada taqdir tidak menafikan keperluan strategi dan usaha untuk mencapai sesuatu hajat.
Ketiga: Hendaklah bersabar di atas perkara yang telah ditentukan ke atasnya dan tidak meratap atau menyesal, setelah dia mengetahui bahawa semua yang terjadi adalah dengan kehendak Allah maka dia redha dan berserah diri. Dia seharusnya mengetahui bahawa dia tidak mungkin terlepas daripada perkara yang ditetapkan untuk menimpanya dan perkara yang tidak ditetapkan ke atasnya tidak akan menimpanya.
Firman Allah :
قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلاَّ مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلانَا وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
Maksud : “Katakanlah (wahai Muhammad); Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”(Taubah:51)
Ketika Khalifahan Umar al-Khattab r.a, beliau telah bermusafir bersama beberapa orang sahabat dari Madinah ke tanah Syam. Peristiwa ini berlaku pada bulan Rabi’ul Akhir tahun 18 H, di mana perjalanan Umar adalah untuk melihat keadaan rakyat dan para gabenurnya. Setelah beberapa hari menempuh perjalanan, rombongan Umar mendapat berita bahawa Syam telah dilanda wabak ta’un. Umar kemudiannya bermusyawarah bersama para sahabat di dalam jemaah rombongan itu dan masing-masing sepakat memutuskan untuk kembali ke Madinah.
Abu Ubaidah r.a yang ketika itu menjadi gabenur di Syam berkata mempersoalkan keputusan Umar al-Khattab r.a, “Wahai Amir al-Mukminin, mengapa kamu lari daripada taqdir Tuhan?”
Umar r.a lantas menjawab, “Ya, aku lari daripada taqdir Allah kepada taqdir yang lain. Apa pendapatmu wahai Aba Ubaidah seandainya engkau memiliki seekor unta yang turun di sebuah lembah yang memiliki dua lereng, salah satunya subur dan yang keduanya tandus, bukankah jika engkau membiakkannya di tempat yang subur bererti engkau menggembala untamu itu dengan taqdir Allah? Begitu pun sebaliknya, jika engkau membiakkannya di tempat tandus, bukankah engkau menggembalakannya juga dengan taqdir Allah?”
Tiba-tiba datang Abdurrahman bin ‘Auf kerana keperluannya lalu berkata;
إِنَّ عِنْدِي مِنْ هَذَا عِلْمًا، سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ؛ إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ
Maksudnya : “Sesungguhnya dalam masalah ini aku memiki ilmunya, aku telah mendengar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; ((Jika engkau mendengar wabak ta’un di sebuah negeri maka janganlah kamu memasukinya, dan seandainya wabak ta’un terjadi di negeri yang engkau tinggal di dalamnya janganlah engkau meninggalkan negerimu kerana lari daripada ta’un)).” (Riwayat Muslim)
Merancang anak2 untuk masa depan bukan bermaksud cuba menukar takdir tetapi cuba lihat cerita Khalifah Umar yang mengubah perjalanan kerana mendapat tahu tentang merebaknya penyakit taun di Syam. Salah satu cara merancang untuk anak2 adalah bekerja di luar negara.
Melihat Malaysia menjadi satu2 negara untuk bekerja adalah tidak benar sekarang ini. Rancang anak supaya mereka dapat diterima di luar negara. Bergerak secara global dan mengetahui tentang keadaan negara luar pasti memberikan ruang lingkup lebih luas untuk anak2.
Aku mengambil satu contoh sahaja iaitu Kanada yang memerlukan pekerja mahir dan separuh mahir untuk banyak industri. Industri seperti bidang kejururawatan dan pembinaan diperlukan sangat di Kanada. Kerajaan mereka memberitahu bahawa pekerjaan sebanyak 3 juta diperlukan sehingga tahun 2020. Diberitahu bahawa jika pekerjaan ini tidak dipenuhkan maka pendapatan dari percukaian pendapatan tidak mencukupi untuk kerajaan Kanada meneruskan pentadbiran selepas tahun 2020 nanti.
Banyak orang bekerja bermaksud banyak cukai boleh dikutip. Dalam waktu sekarang, penduduk Kanada tidak berada pada tahap paling produktif kerana masalah pertumbuhan penduduk yang berkurangan. Lihat ini dan rancang untuk anak2. Pastikan penggunaan bahasa Inggeris mereka pada tahap yang paling bagus. Tetapi ibubapa mesti banyak membaca untuk mengetahui pekerjaan2 yang diperlukan pada sesebuah negara.
Antara negara yang memerlukan orang2 luar yang banyak adalah seperti German, Perancis, United Kingdom, Australia dan Amerika. Dan cerita ini bukan main2. Rancang dari sekarang.