Yang selalu jengok

Thursday, March 10, 2016

Cerita 33 Tahun dahulu berasrama di Kuala Lumpur


Aku tiba2 teringat sesuatu tentang kehidupan awal pada tahun 1983 dahulu di Kuala Lumpur. Aku diberi peluang bersama beberapa ramai pelajar dipilih untuk berasrama di Kampung Pandan. Dan untuk lebih tertumpu ia berada di Jalan Nakhoda Yusuf (1) iaitu Asrama Tun Dr Ismail.  Asrama ini untuk pelajar2 yang terpilih dari peperiksaan darjah lima pada yang mendapat 3 A dan ke atas. Kesemua yang berkumpul di sini tiada pengalaman hidup di bandar.  Ada yang dari Sabak Bernam, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Felda Soeharto, Jeram dan sekitar kampung di Selangor.  

Aku berkampung bersekolah berkumpul di asrama ini hampir 5 tahun.  Ketika itu Kampung Pandan hanya berakhir di Klinik Kerajaan Kampung Pandan.  Selepas klinik itu hanya rumah2 setinggan yang tidak tersusun letaknya.  Kampung Pandan juga terkenal ketika itu dengan kompleks sukan dimana atlit2 sukan negara berlatih bersukan.  

Asrama ini 4 tingkat tingginya.  Kalau baru masuk ke asrama, tingkatan satu atau umur 13 tahun maka tempat mereka adalah di tingkat 4.  Dari tingkat 4 ini, aku boleh nampak Kompleks Sukan itu, kuil India yang besar dan rumah anak2 terbiar perempuan.  Dan dari tingkat 4 juga aku boleh melihat padang asrama dan asrama perempuan sebelah padang.

Pelajar2 yang berkumpul di sini bersekolah hampir semua di Kuala Lumpur kecuali bila aku masuk dimana pelajar2 ini dihantar ke Petaling Jaya seperti Bukit Bintang Boys School dan Lasalle PJ. Sebelum ini sekolah yang dihantar adalah Victoria Institution, St John, Sekolah Aminudin Baki dan Sekolah Menengah Jalan Cochrane.  

Asrama ini menyediakan padang bola yang lengkap.  Aku pasti bermain di padang itu kerana kami tidak dibenarkan keluar dari asrama kecuali mendapat kebenaran. Asrama bagi pelajar2 perempuan adalah Asrama Toh Puan Norashikin.  Tun Dr Ismail beristerikan Toh Puan Norashikin bagi sesiapa yang tidak tahu.

Hiburan di asrama pada masa itu hanya bermain di padang dan bersukan seperti ping pong, volley ball dan takraw. Ada juga set kugiran diberikan untuk pelajar2 pandai bermain musik dan set paling minimal iaitu gitar letrik dan drum. Hiburan lain juga pada aku adalah bergaduh sesama sendiri atau membuli pelajar2 yang lemah. Dan ini tidak digalakkan.  

Selepas keluar dari pintu pagar, tempat paling senang untuk berjalan adalah ke arah Jalan Peel atau Jalan Pudu.  Bila hari Jumaat bercuti, kami pelajar akan bersolat di Masjid Jalan Pudu dengan berjalan kaki.  Aku kira perjalanan itu melebihi dari 3 km.  Pada masa itu, km yang aku hadapi seolah2 bukan ancaman tetapi menyeronokkan.

Aku diberi peluang untuk keluar bandar dengan mengisi maklumat pada buku keluar bandar.  Buku ini hendaklah diberikan pada pengawal sebelum ke bandar.  Bandar pada kami pada masa itu adalah Kuala Lumpur.  Perkhidmatan awam yang menghubungkan kami adalah Bas Mini 25 dan Bas Tong Fong.  Bas Mini mengenakan bayaran RM0.50 untuk perjalanan sehingga Chow Kit dan Bas Tong Foong sehingga Pudu Raya sahaja.

Kalau menaiki bas mini maka bersiap sedialah untuk menjadi lasak.  Bas yang kecil ini akan disedatkan dengan orang sehingga ke pintu.  Berdiri secara bahaya ini termasuklah konduktor bas mini tersebut. Bagi aku mereka ini tiada perasaan kerana selagi boleh masuk mereka akan berhenti dan mengambil orang.  Kalau bidalan nya seperti 25 orang boleh naik maka bas mini yang sama boleh memuatkan 60 orang.  Seingat aku, ketika aku 13 tahun, bas mini ini tidak pernah aku jejak dan hanya melihat dari jauh sendatnya.

Bas Tong Foong pula ada jadual yang mesti dipenuhi. Besar dan lambat bergerak.  Ia melalui jalan yang sama kecuali apabila sampai di Pudu dimana bas ini akan melalui Jalan Peel dan tidak melalui bulatan kampung Pandan. Bas ini juga tidak bertemu dengan kompleks sukan Kampung Pandan. Menaiki bas Tong Foong ini juga seperti menaiki bas yang dipenuhi dengan orang Cina.  Bas Mini dipenuhi oleh orang Melayu dan bas Tong Foong untuk orang Cina.  

Bas sekolah kami

Cerita ini adalah 33 tahun dahulu di Kuala Lumpur. Dan proses ingat ini bagi aku penting kerana aku mengalami pelupusan ingatan tak penting dan bila berjumpa dengan kawan2 yang pernah bersama, mereka sudah banyak lupa dan gambaran tentang kehidupan di asrama sudah hilang di celah2 otak yang sudah kurang digunakan.







No comments:

Post a Comment