Yang selalu jengok

Thursday, March 10, 2016

Kena PAU di Kuala Lumpur

Kalau ke Kuala Lumpur sekitar tahun 1980 an dahulu terasa amat bahaya.  Satu perkara paling bahaya adalah PAU.  Ini bukan makanan tetapi peras ugut seseorang untuk mendapat duit atau habuan. Sudah berapa banyak cerita tentang pau ini dibuat ke atas pelajar2 asrama.  Mungkin pada masa itu, peragut menaiki motor masih kurang maka mangsa berbaju asrama adalah mangsa paling senang untuk didekati.

Kalau pakai baju biru dan berseluar panjang putih maka kemungkinan datang dari asrama Felda dan asrama Yayasan Selangor. Kalau pakai warna cokelat kemungkinan pelajar sekolah Sains Cheras. Pakaian yang sama ini menyenangkan untuk memilih mangsa.  Bebudak yang nampak ganasnya selalunya datang dari 3 tempat sahaja iaitu Kampung Pandan Dalam, Sentul Dalam atau Kg Kerinchi.  Dan selalunya aku juga akan mengelak dari di pau dengan mengatakan aku budak Kg Pandan Dalam.

Pada awalnya berbaju asrama adalah wajib ketika keluar bandar. Maka menjadi satu tradisi pula, aku akan menukar baju asrama yang biru itu kepada T shirt untuk nampak lebih bandar dan dari nampak tercengang2 macam anak rusa masuk bandar.  Muslihat ini adalah untuk menjaga diri juga dari di pau. Mengikut rekod ingatan aku, aku tidak pernah kena pau.  Ada cubaan yang akan aku cerita tetapi tidak berjaya.

Setiap kali balik dari kampung dari cuti yang panjang pasti cerita tentang di pau ini menjadi cerita yang paling sadis dan menyedihkan.  Duit mereka hilang dan kadang2 kasut sukan mereka diambil oleh bebudak kaki pau itu. Duit mereka yang boleh bertahan untuk sebulan dua tiba2 dirampas dengan kasar oleh kaki pau.  Cerita memang sedih.

Pada satu ketika di Kotaraya (ini adalah bangunan paling berdekatan setelah sampai di Kuala Lumpur melalui Pudu Raya), aku didatangi oleh 2 orang lelaki dan mengajak aku naik ke tingkat paling atas. Tingkat paling atas di Kota Raya pada masa itu hanyalah tempat orang bermain kasut roda. Gallactica adalah nama tempat bermain kasut roda.  Aku ketika itu berumur 15 tahun dan masih berbadan kecil.

Kami bertiga naik dan aku yang membawa beg dari kampung terus mengikuti pelawa abang2 itu ke tingkat atas. Entah apa difikiran aku yang mahu dilakukan kecuali berserah pada keadaan.  Mereka menolak aku perlahan masuk ke tangga dan bertanya tentang berapa duit yang aku ada.  Aku diam kerana aku tahu beginilah perasaan orang yang kena pau.  Takut dan menyerahkan apa yang ada untuk selamat.  Aku diam dan memegang kuat beg.  Abang yang seorang itu mempunyai tanda hijau di muka (mungkin tanda lahir) berambut panjang sudah mula bersuara kasar.  Aku terus pegang ketat dan berdiam diri.  

Tiba2 pintu tangga terbuka.  Beberapa orang masuk dan nampak seperti adegan pau yang ke 2 juga akan berlaku.  2 lelaki sedang memegang seorang budak asrama berbaju cokelat. Aku tolak lelaki yang berparut dan terus keluar.  Cepat2 bergerak ke tangga ekskalator dan bergegas turun tanpa toleh ke belakang. Aku tidak di pau hari itu dan sebenarnya aku juga ada banyak kawan di Gallactica untuk aku panggil.  

Dan cerita ini bersambung bila aku keluar ke bandar sekali lagi pada minggu hadapan di panggung wayang Odeon.  Ketika aku turun dari bas mini 25 aku ternampak lelaki berparut itu sedang menunggu bas yang sama.  Aku menjerit dan lelaki itu terkejut dan berlari terus ke kompleks Wilayah.  Selepas dari itu, lelaki berparut itu seperti sudah tiada di Kuala Lumpur.  Orang yang kaki pau sebenarnya tidak disukai oleh semua orang. Orang Kampung Pandan Dalam yang berkumpulan kalau tahu ada didalam geng mereka kaki pau kemungkinan akan disingkir dari geng mereka - ini yang diceritakan mereka.  


No comments:

Post a Comment