Yang selalu jengok

Monday, November 24, 2014

Sarapan di Mekah

Sarapan pertama di Makkahatul Mukarramah
Makan penting untuk beribadat. Dan pemakanan paling penting untuk kita adalah sarapan. Jangan tinggal sarapan kerana sarapan menentukan pergerakan diri kita untuk seharian. Tidak ada sarapan memungkinkan kita letih seharian.  Persediaan untuk berwukuf di Arafah juga bukan sekadar batin, fizikal dan mental, yang paling penting juga adalah pemakanan. Aku sudah mula menukar selera makan atau menambah pemakanan kepada yang satu ini. Ia paling cepat dibuat dan paling sedap aku rasa ketika di Mekah. Harga SR3 sebungkus. Mahal tapi keadaan ramai bakal2 haji memungkinkan harga menjadi biasa untuk kami. Bakal2 haji yang bermuassasah dengan Tabung Haji (TH) tidak dibekalkan dengan sarapan. Kadang2 aku jadikan Indo Mie ini sajian pagi aku. Cerita makan Indo Mie berjangkit sehingga kami berada di Madinah juga.  Hendak dapat yang murah pergilah beli di Bin Dawood (pasaraya yang terkenal di Mekah dan Madinah) harga SR2.50


Perangai lama aku juga masih tidak berubah. Aku akan makan sesuatu yang aku suka sehingga aku rasa muak dan mungkin aku tak akan makan lagi. Setiap pagi aku akan ke kedai pakistan di lereng sebelah hotel dan makan roti bertampal telor. Roti telor SR3 ini garing dan aku taburkan madu Yaman sebagai kuah. Kuah tidak disediakan. Kuah dijual dengan kadar SR6 untuk kuah dal atau kuah daging. Orang akan berpusu2 untuk bersarapan dan disebabkan ramai pembeli kenaikan harga yang melampau menjadi tidak pelik. Dan roti telor ini aku berhenti makan rasa2 setelah makan lebih dari 20 hari di Mekah. Selepas itu aku mula makan nasi goreng atau mee hoon goreng untuk sarapan dan diselang-seli dengan Indo Mie.

Ini adalah restoran di tepi Hotel Janadriyah
Di dalam hotel Abraj juga disediakan cafe menjual makanan.  Baik untuk sarapan atau benda2 lain kerana mungkin selera berubah selain makanan yang disedikan oleh TH.  Tempat makan tidak banyak, Kebanyakan bakal2 haji akan sarapan di kawasan duduk di depan farmasi, di bilik atau diluar bilik dengan membentang hamparan yang disponsor oleh TH. Ada pasangan yang sangat romantik akan makan di luar bilik bersama.  

Ini kawasan makan kami di bilik 524, Abraj Janadriyah
Jangan bimbang takut tidak bersarapan.  Ketika musim haji, sarapan pagi berada di mana2. Di sekitar hotel Abraj Janadriyah juga banyak dijual.  Penjual2 dari Selatan Thailand banyak menjual hatta nasi kerabu pun ada.  Suasana pagi juga sangat sibuk dengan jualan sarapan.  Bakal2 haji tidak digalakkan untuk makan makanan yang dijual ditepi2 jalan disebabkan kebersihan yang tidak terjamin.  Tapi aku masih melanggar arus ini, sebab ada makanan2 yang tidak di jual di Cafe di Hotel.  Berdoa selalu supaya tidak sakit perut atau sebagainya.  Alhamdulillah sepanjang pekerjaan haji selama 45 hari, perut aku ini tidak mengganggu ibadat.  Syukur yang amat kepada Allah SWT.



Bukan hanya sarapan ada di waktu pagi - macam2 ada

Sunday, November 23, 2014

Kawan2 sebilik 524 Mekah dan 801 Madinah

Kawan2 sebilik saya di Mekah dan Madinah.  Berada di Mekah Hotel Abraj Janadriyah di Saab Ameir dan Hotel AL Haram, Madinah.


Abdul Aziz Yahaya, duduk di Kg Medan, Petaling Jaya


Alzari Sulaiman, duduk di Puchong Perdana


Azman Ali, duduk di Sabak Bernam


Abdoll Hamid Darus, duduk di Shah Alam


Wan Ikhwan Wan Ismail, duduk di Ara Damansara



Tuesday, October 28, 2014

Rahmat Allah di Mekah

Ketika sampai 10/9/2014 kami disambut oleh Pengurus Maktab 83 dan 86 iaitu Tn Hj Ahmad Sohaimi dan Tn Hj Haikal .  Bila2 waktu sahaja solat Asar akan masuk ketika kami mencecah kaki di tingkat P, Hotel Abraj Janadriyah.  Bakal2 haji dari KT1, KT 4 sudah berada di hotel dan mereka sedang menunggu azan Asar pada petang itu.  Mereka adalah jemaah Haji yang mula2 sampai melalui Madinah.  Aku terus mencari bilik air untuk mengambil air sembahyang dan akan bersama jemaah lain untuk solat Asar di Hotel Abraj untuk kali pertama tiba di Mekah.  Selepas itu aku terus ke tingkat 5 bersama isteri kerana ketika di Kelana Jaya lagi bakal2 haji sudah mengetahui tingkat dimana dan bilik dimana?

Masjidil Haram di lihat dari pandangan jauh tingkat 15 Hotel Abraj Janadriyah

Hotel Abraj Janadriyah berada dalam kawasan Sheib Amir.  Ini adalah berdasarkan sembang aku dengan teksi yang membawa aku ke Al Bayt (berdekatan dengan ZamZam Tower) selepas seminggu berada di Hotel Abraj.  Hotel ini berada kira2 800 meter dari Masjidil Haram.  Dari hotel aku boleh lihat Masjidil Haram yang sedang sibuk membesar.  Pembinaan disana sini.


Aku akan berada di tingkat 5 dan nombor bilik 524.  Di pintu bilik sudah ditampal nama2 bakal haji yang sebilik.  Aku akan bersama dengan 5 orang bakal2 haji yang aku tidak kenal.  Ketika masuk ke bilik tadi.  Kunci bilik hanya melekat pada pintu menanti bakal2 haji.  Aku tidak memilih tempat untuk berehat.  Mana yang kosong aku akan duduk dan disitulah tempat tidur aku.  3 katil sudah dipenuhi dan aku mengambil katil yang berdekatan dengan bilik air dan memandang ke pintu.  Aku akan bersama mereka selama 35 hari di Mekah dan 9 hari di Madinah.

Aku memandang pintu bilik dan almari di sebelah kiri

Kawan sebilik aku : Wan Ikhwan - Dia adalah bakal Haji paling muda dalam bilik aku berada di bawah TV dan paling hampir dengan tandas.  Azman Ali berada di sebelah beliau - cikgu dari Sabak Bernam. Kaki Cikgu Azman bertembung dengan kaki Alzari Sulaiman.  Mereka nampak sesuai kerana mungkin sebaya. Di kepala Alzari pula Ab Aziz Yahaya- dipanggil Imam Aziz di Malaysia. Selepas itu Abdol Hamid Darus yang paling berumur dan berakhir dengan aku di sudut sebelum almari seperti di gambar.

Alzari, Ab Aziz dan Abd Hamid
Di tengah2 bilik terdapat 2 meja kecil dan selalulah dimeja ini dipenuhi dengan makanan, ubat2, cawan dan air zam zam. Peti sejuk juga dibekal di setiap bilik bersama pemanas air.  Di atas katil juga disediakan sekotak bahan2 untuk minum seperti teh uncang, kopi, gula dan 'creamer'. Di sini tidak ada ketua bilik atau yang mahu menjadi ketua.  Kami bermula bercakap dengan melemparkan senyuman.  Senyum itu sedekah.

Semua menjaga tutur kata di sini.  Takut untuk membicara benda2 lagho.  Bicara hanya sekitar ibadat, pekerjaan haji dan solat2 sunat.  Kami bercerita juga tentang tawaran haji dan bila mendaftar. Dan selain itu semua sibuk dengan hal sendiri. Membaca Al Quran, makan apa yang ada sambil terus tersenyum bila terpandang.  Hari pertama di sini sebelum berumrah wajib lagi.

TH membuat arahan kepada kami untuk bersiap selepas waktu Isyak sekitar 8 pm.  Isyak di sini pada pukul 7.30 malam.  Kami perlu berada di tingkat masing2 bersama dengan pasangan.  Kami diberikan tag berwarna oren untuk membezakan bakal2 haji yang baru tiba untuk berumrah wajib dengan bakal2 haji yang sudah ada di Mekah ketika itu.  Di tingkat 5, selepas tag diberi, bakal2 haji pun bertalbiah untuk menyempurnakan Umrah wajib bagi yang membuat Haji Tamattuk untuk Haji 1435.

Dan kami terus bersama dengan petugas2 TH untuk bergerak ke Masjidil Haram.  Kami terus dibawa pintu Babbul Salam iaitu pintu yang menebus ke tempat Saie.  Ia berada di tingkat dasar dan dari situ kami di bawa menuju ke Kaabah.  Kami dibawa oleh Mutawif Khas orang Arab yang disediakan oleh pihak Muassasah Arab Saudi.  Ketika itu hati berdebar dan perasaan pelik timbul pada hati aku. Terharu seolah2 ada yang meninggal, berdebar kerana haji aku akan bermula. Nah dari tempat kami berdiri, Kaabah sudah boleh dilihat,  

Mutawif yang membawa kami berbangsa Arab dan berbahasa Arab.  Mengikut TH, mutawif ini sahaja yang dibenarkan membawa bakal2 haji untuk mengerjakan Tawaf dan Saie.  Mutawif memberi arahan tempat berniat untuk bertawaf dan memastikan semua bakal2 Haji KT34 mengikut arahan tersebut.

Kami pun bergerak ke Dataran Kaabah dan memulakan tawaf setelah berniat.  Hati aku tertumpu pada ibadat tawaf ini terus bergerak bersama isteri dan selanjutnya sehingga habis 7 pusingan.  Ada masa di antara tawaf, air mata mengalir sendiri.  Aku sudah mengerjakan Umrah 2 kali dan isteri aku pun 2 kali tetapi kami pergi berasingan masa.  Ini adalah kali pertama kami tawaf bersama. MasyaAllah rezeki ini Allah yang beri.




Habis bertawaf kami bergerak ke bawah Mataf (tempat tawaf lebih atas dan dekat dengan Kaabah). 25 minit diambil untuk bertawaf.  Di Dataran Kaabah masih boleh bergerak, Alhamdulillah. Kami solat sunat tawaf di situ dan bergerak ke tempat kami mula2 sampai tadi di dalam Masjidil Haram. Ramai yang bertag oren dan ada yang sudah bergerak ke tingkat lagi satu.  Aku dan isteri bergegas mengikuti seorang bakal haji dan terus berkumpul di permulaan Saie di Safa tingkat 1. Setelah habis taklimat oleh seorang mutawif Arab yang berbahasa Inggeris, Saie pun bermula.




Saie tidak ada sunat maka aku amat hormat Mutawif seorang ini yang bersama2 kami bersaie 7 pusingan dan dia akan berlari apabila sampai tempat yang perlu berlari.  Berapa jarak Safa ke Marwah - lebih kurang 450 meter dan jika 7 pusingan maka lebih kurang 3.2 kilometer jarak. Maka habislah 7 pusingan Safa ke Marwah. Kami berdoa bersama2 dan beberapa orang dilihat akan bertahlul dengan memotong beberapa helai rambut di Bukit Marwah itu. Aku memberitahu isteri bahawa aku akan terus ke kedai untuk membotakkan kepala dan kami terus ke dataran dari mana kami datang tadi.

Yang aku pelik tidak ada seorang pun yang bersama kami pada masa Saie tadi turun bersama kami dari tingkat 1 itu. Pasti kami telah tersasar berkumpul dengan jemaah lain. Tag oren itu tidak membezakan apa2 kecuali nombor maktab yang kami tidak perasan kerana ini adalah hari pertama kami disini. Patutlah Mutawif yang di Saie tadi boleh berbahasa Inggeris sebab dia adalah berbeza dari mutawif kami di waktu tawaf tadi.

Menunggu aku botak
Hari pertama kami di Mekah kami tersasar tetapi Alhamdullillah aku bersyukur aku pernah ke Masjidil Haram maka aku seperti sudah terang dan tahu dimana Hotel Abraj dan amat yakin kami akan sampai ke bilik hari itu dengan selamat.  Aku membotakkan kepala sebagai bertahlul dengan SR15. InshaAllah kesihatan sihat diberikan Allah untuk kami mengharung hari2 menuju Wukuf nanti.







Sunday, October 26, 2014

Sampai Ke Jeddah 10/09/2014

Bila di tanya orang tentang Haji, kami sendiri tidak ketahuan untuk bercerita. Ada rasa 1001 cerita dan 1001 malam untuk diceritakan.  10 minit atau sejam cukup? Setiap orang ada cerita berbeza untuk dikongsi.  Ada yang sedih, ada yang seronok gembira dan penuh dengan barakah perjalanan ini.

Cerita dalam perjalanan sahaja sudah membuat cerita haji ini seronok.  Dalam kapal terbang, walau pun tidak banyak benda yang kami boleh buat, tapi keseronokan sudah bermula. Melihat orang sekeliling yang berbeza dan dihati memujuk mereka ini akan bersama kita selama 45 hari. Berniat dalam hati, aku cuba untuk meluangkan masa membaca doa2 sepanjang penerbangan ini.

Kapal terbang hari itu adalah dari Saudi Arabia dan terus ke Jeddah tanpa berhenti. Perjalanan diberitahu selama 8 jam 30 minit.  Kami bergerak pada pukul 4.30 pagi dari KLIA dan akan sampai pada pukul 1.00 tengahari waktu Malaysia. Dan mengikut waktu Saudi pada waktu kami sampai adalah sekitar 8 pagi waktu tempatan.

Inilah kapal terbang SV 5215
Tidak lebih sejam dari KLIA, kapten mengumumkan waktu subuh sudah masuk. Kami sudah diajar tentang solat menghormati waktu. Kami juga sudah bersedia dengan spray semburan untuk mengambil wuduk. Solat tidak boleh ditinggalkan hatta berada di dalam kapal terbang atau kenderaan. Nabi Muhammad SAW bersolat sunat di atas unta ketika unta sedang bergerak dan nabi berhenti untuk bersolat wajib jika waktu sudah masuk. Disebabkan maslahah perjalanan kami yang jauh dan mungkin waktu solat ketika tiba nanti sudah hapus, solat ini bagi aku adalah solat wajib dan bukan solat menghormati waktu.  

Aku duduk bersebelahan dengan isteri.  Kami hanya berbual tentang kerja2 haji pada permulaannya. Aku memberitahu isteri untuk membeli senashkah Al Quran di Mekah nanti untuk kita khatam di sana. Sebelah kiri aku ada sepasang suami isteri duduk dan dapatlah aku berbual cerita2 tentang persiapan untuk ke Mekah ini. Seorang pensyarah universiti di Iskandar Ipoh Perak berumur 34 tahun bersama isterinya. Dia pernah mengerjakan umrah pada tahun 2005 dahulu ketika bujang dan sekarang bersama isteri mengerjakan haji. Kami bercerita terus sehingga letih dan tidur untuk kesekian kali nya.

Makanan sudah dihidangkan dan mengikut Ustaz yang memberi ceramah pagi tadi di Kelana Jaya, hidangan makan ke 2 adalah tepat di Qarnul Manazil untuk berniat Umrah pada yang membuat Haji Tamattuk dan berniat Haji untuk sesiapa yang mahu membuat Haji Ifrad.  

Rasa2 sudah beberapa kali terlena dan jaga, kami sampai di Jeddah pada pukul 8 pagi waktu tempatan. Kami diberitahu untuk tidak memikirkan tentang beg dan kami hanya perlu memastikan beg sandang dan beg yang kami pegang ini selamat bersama kami.

Sampai di Jeddah
Kami terus menaiki bas shuttle yang disediakan untuk ke terminal.  Kami akan disaring oleh pihak imigresion Saudi dan dibenarkan berada di Mekah dan Madinah untuk haji sahaja.  Bergeraklah semua orang terus ke Terminal secepat yang mungkin untuk tidak beratur lama.  Aku dan isteri mengambil sikap memberi laluan kepada yang mahu cepat dan lebih banyak bersabar.  

Berada di barisan terakhir ketika pemeriksaan
Selepas 45 minit semua telah selesai dan kami di pandu berjalan ke tempat berehat di dalam lapangan terbang Jeddah itu.  Ketika berjalan, beberapa orang Arab menyambut kami, Ahlan Ahlan disebut sambil tersenyum.  Kami berada di kawasan lapang dan disitu tempat solat dan berehat menunggu bas.  Ada yang solat qada' menggantikan solat subuh tadi dan ada yang solat Dhuha meraikan waktu Dhuha di Jeddah.
Di sini tempat rehat menunggu bas
Kira2 30 minit di situ, kami diberitahu bahawa Konsol Jeddah dalam perjalanan untuk ke situ. Konsol Jeddah tiba dan dengan gembiranya dia memberitahu bahawa KT 34 ini beruntung kerana ketika ini suasana di Mekah tidak sibuk dan masa kami disaring di imigresion tadi tidak lama seperti dulu2 sekitar 2 - 3 jam.  Dia menyambut kami dengan gembira dan berdoa semoga kami berada dalam keadaan sihat dan mendapat haji yang Mabrur.

Konsol Jeddah sedang memberi ucapan 
Kira2 jam 11 pagi, 3 jam dari mendarat, kami diberitahu bahawa bas2 sudah sampai untuk membawa kami ke hotel Abraj Janadriyah, Mekah.  Aku perasan ketika kami sampai tadi tiada bas di sekitar kami.  Mungkin disebabkan kecekapan pihak imigresion Saudi, kami lepas awal dari lapangan terbang.  Ini menyebabkan bas2 tidak menungu kami dan sebaliknya kami menunggu bas.  Sehingga waktu ini, kami masih tidak nampak beg besar kami.  Kami hanya bersama beg sandang dan beg tarik yang dibawa bersama kami di dalam kapal terbang tadi.

Kami masuk ke dalam bas dan diberi makan oleh pihak Saudi sambil menonton beg2 besar kami tiba di bas tersebut.  Mengikut cerita mak2 aku dulu, beg2 ini akan dibaling, dilontar untuk dibawa ke hotel dan kami sendiri terpaksa tarik sendiri.  Aku sekarang berada di Jeddah menyaksikan satu perubahan baru dan kagum kerana kami sendiri tak jumpa beg2 besar kami sehingga kami berada di dalam bas untuk ke hotel.  Dan yang paling penting, beg2 kami tidak lagi dibaling atau dilontar.  Ia diangkat dengan mesin untuk dibawa ke atas bas.
Beg2 besar dibawa ke atas bas menggunakan mesin pengangkut
Waktu sudah pukul 12.30 pm dan kami dibawa keluar dari Lapangan Terbang Jeddah untuk terus ke Hotel.  Perjalanan sekitar sejam untuk ke hotel kami dari Jeddah.  Kami terus berdoa untuk selamat sampai dan mendapat haji yang Mabruroh, InshaAllah.

Di dalam perjalanan kami telah berhenti di 2 tempat iaitu tempat pertama di Muassasah Haji Arab Saudi.  Kami telah diberi sebotol seorang air zam zam dan satu kotak makanan seperti biskut dan kek. Ada juga lempeng yang berwarna kuning dan diberitahu orang bahawa itu adalah kurma yang telah dilenyekkan.  Ada yang merungut apabila berhenti itu kerana kami tak nampak bas2 lain yang berhenti di situ.  Tapi lebih kurang 10 minit sahaja berhenti selepas itu bas itu kembali bergerak.

Tempat ke 2 berhenti apabila sudah memasuki bandar Mekah.  Kami diberi gelang berwarna biru dan kad untuk dipakai bersama tag yang diberi oleh TH.  Kami diberitahu bahawa kami adalah untuk Maktab 83 dan penggunaan maktab ini penting untuk memastikan pergerakan bakal2 haji dan juga berapa ramai yang memasuki Mekah pada musim haji itu.

Akhirnya kami sampai ke Hotel Abraj Janadriyah ketika hampir sudah waktu Asar di Mekah. Alhamdulillah

Ini berita dari Malaysia 
Makkah: Penerbangan terus pertama (KT34) membawa 450 jemaah haji Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Jeddah selamat tiba di hotel penginapan Abraj Al Janadriyah, di sini, lewat petang ini.
Sehingga ini, 11, 724 jemaah sudah berada d tanah suci dan daripada jumlah itu 5,325 jemaah haji berada di Makkah.
http://www2.hmetro.com.my/articles/Lebihsebelasribujemaahhajisudahberadaditanahsuci/Article?mutakhir#sthash.2PCPDjDA.dpuf



Saturday, October 25, 2014

KT 34 - 9/9/2014


Hari ini adalah hari paling bersejarah buat aku suami isteri.  Doa kami diperkenankan Allah dan kami akan berangkat ke Mekah dan perjalanan haji kami bermula.  Hari ini juga Selasa 9/9/2014 begitu sibuk buat kami, anak bersekolah, menukar duit, beli bateri handphone dan berjumpa dengan kawan2. Kami sudah sibuk bermula subuh pagi tadi.  Mandikan anak2 yang bersekolah dan mengejutkan anak2 yang kecil untuk dihantar ke TASKA taman asuhan kanak2.  

Selepas Asar kami menjemput anak2 dari Taska untuk terus ke rumah emak di Kampung Melayu Subang.  2 anak yang besar kami tinggalkan pada adik ipar kami yang berjiran dekat dengan kami.  2 anak kecil kami tinggalkan pada emak aku di Subang.  Aku juga menerima telefon ada kawan2 yang mahu berjumpa dirumah mak aku di Subang nanti.  Entah mengapa hari bergerak pantas dan seolah2 tidak banyak perkara boleh dibuat.  Kami pada pagi hari tadi terus ke Alam Sentral Shah Alam menukar duit RM kepada Riyal.  Aku hanya membawa RM1,500 untuk perjalanan ini. Kalau apa2 berlaku duit dalam Tabung Haji boleh dikeluarkan.

Beg2 sudah kami kemas tetapi belum disarungkan dengan tali dan sarung khas.  Ini diperlukan untuk memastikan barangan ini tidak terpisah dan boleh dicam dari jauh.  Kawan2 sudah berjumpa di rumah mak aku di Subang.  Aku perlu mandi sunat musafir dan bersolat Magrib dan terus dengan solat sunat musaffir.  Perjalanan jauh ini perlu diredhai Allah.  

Saudara mara masih banyak di rumah mak aku sekarang.  Ada yang sempat bertanya, ada yang mahu bersalam sahaja dan ada yang menghulurkan sedekah.  Aku hanya tersenyum dan memohon doa dipermudahkan perjalanan jasad dan rohani ini.  17 minggu kursus asas, 2 hari kursus intensif dan 2 hari kursus perdana memungkin jamaah haji Malaysia faham tentang perjalanan Haji ini.

Selepas Isyak, makin ramai saudara mara yang hadir di rumah emak aku.  Aku sempat makan mengalas perut yang lapar tidak makan seharian cuma bersarapan kerana sibuk pada hari itu.  Aku akan bertolak ke Kelana Jaya untuk mendaftar dan memasukkan beg2 terus ke kapal terbang di KLIA. Beg aku tadi sudah diikat kemas oleh adik aku.  Azan dikumandangkan oleh adik ipar aku terasa lain dari biasa.  Air mata mengalir panas dipipi.  Entah sudah kali keberapa air mata ini mengalir dalam beberapa hari ini.
Yang menunggu hingga kami masuk ke dalam Tabung Haji
Aku tak boleh mengucapkan apa2 bila disuruh oleh adik aku.  Aku cuma menangis. Aku pohon diampunkan dan bergerak terus ke kereta untuk ke Kelana Jaya. Aku dan isteri berpandangan di dalam kereta tidak berkata apa2.  Kami senyum dan berdoa beristigfar sepanjang perjalanan itu. Perjalanan hanya sekitar 25 minit dari Kg Melayu Subang ke Tabung Haji Kelana Jaya.

Kami perlu mendaftar di Tabung Haji pada pukul 1.30 pagi 10/9/2014 tetapi pada hari semalam Tabung Haji telah menalifon isteri aku dan meminta kami hadir 4 jam lebih awal. Kami sampai sekitar 9.45 pm dan orang sudah ramai di sekitar Tabung Haji. 
Berdua bersama
Kami diberikan beg sandang bersama dengan pelekat untuk beg yang dimasukkan sebagai bagasi dan passport bersama dengan tiket penerbangan.  Penat menunggu di Tabung Haji memang diperlukan sebagai latihan kesabaran.  Aku sempat duduk di surau bersembang dengan beberapa jamaah yang akan bersama di perjalanan ini.
Menunggu sambil tersenyum
KT 34 ini bagi aku sangat bertuah kerana ini adalah kumpulan haji pertama yang akan masuk ke Mekah berihram dan tidak ke Madinah (hanya ke Madinah selepas musim mengerjakan haji).  Aku dan isteri akan mengerjakan Haji Tamattuk dimana umrah wajib dahulu sebelum mengerjakan Haji. Haji yang paling afdal adalah Haji Ifrad, iaitu membuat haji dahulu pada musim haji dan mengerjakan umrah selepas itu.  Ketika kami pergi itu, wukuf haji hanya akan bermula pada 2/10/2014 atau 8 Zulhijjah 1435, kalau kami mahu membuat Haji Ifrad maka kami akan berihram dan menjaga larangan2 ihram lebih dari 20 hari.  Tabung Haji tidak menggalakkan kerana musim haji masih lama dan ketidak sediaan untuk menunggu haji dan merosakkan larangan2 ihram.  Ini adalah satu sebab untuk kami membuat Haji Tamattuk.
Bersama anak2 -Nabil dan Aqilah - inilah anak2 besar kami
Beg2 sudah beratur tanpa empunya diri.  Beg2 menghala ke tempat perjalanan untuk didaftarkan terus ke dalam kapal terbang di KLIA.  Waktu sudah pukul 1.30 pagi dan diumumkan jamaah haji untuk beratur bersama isteri masing2 dan bergerak ke dalam.  Kami melintasi beg yang ditolong bawa oleh petugas2 haji.  Kami terpaksa memilih beg2 sendiri untuk didaftarkan di ruang penimbang untuk didaftar masuk.  Selesai pendaftaran kami bergerak ke dalam dewan menunggu selesai semua jamaah haji masuk dan mendengar taklimat.

Taklimat diberi secara ringkas dan kesabaran 300% diminta oleh ustaz yang bertugas.  Perut masih lapar dan aku dan isteri bergerak ke kafeteria untuk makan mengalas perut kerana tadi diumumkan bahawa kapal terbang akan bergerak hanya pada pukul 4.30 pagi.  Aku dan isteri juga menyelesaikan Dam untuk Haji Tamattuk sebanyak harga seekor kambing.  Dam ini dikenakan kerana kami mengerjakan umrah dahulu bila memasuki Mekah nanti dan sebab bila musim haji datang kami hanya berniat di hotel tempat tinggal kami tidak di miqat yang sepatutnya.  Miqat adalah tempat niat untuk mengerjakan haji atau umrah.  Niat umrah bagi orang Asia yang datang menggunakan kapal terbang adalah di Qarnul Manazil (di udara kira2 sejam sebelum sampai ke Lapangan Terbang Jeddah).

Taklimat ditamatkan sekitar 3.00 am dan ustaz memanggil pada yang sudi untuk melaungkan azan pada pagi itu.  Bukan azan subuh tetapi azan mengiringi perjalanan kami ini.  Azan berkumandang dan air mata aku mengalir lagi.  Selesai azan jamaah haji berdiri mengikut barisan kerusi dan jamaah haji bertalbiah mengiringi perjalanan untuk menaiki bas.

Bas2 sudah menuggu kami di perkarangan Tabung Haji.  Jamaah Haji kali ini sebanyak 430 orang yang diberitahu jamaah paling banyak akan menaiki kapal terbang Saudi.  Seperti orang2 besar, polis mengiringi bas kami tanpa perlu berhenti ketika merah dan terus ke KLIA.  Aku menjangkakan kami akan diturunkan di KLIA dan menaiki keretapi untuk ke kapal terbang Saudi.  Tetapi sebaliknya, kami terus dibawa ke lapangan terbang dan berada dekat dengan kapal terbang tanpa berjumpa dengan pihak imigresen KLIA dan terus ke tempat menunggu.
Yang paling awal masuk ke dewan menunggu

Tepat pukul 4.15 am kami diberitahu untuk masuk ke dalam perut kapal terbang.  Aku dan isteri berada di kerusi ke 2 paling belakang.  Orang disekeliling kami masih tidak dikenali.  Kami lebih banyak tersenyum dari berkata2.  Mungkin masa menukar segalanya.  Perjalanan Haji 1435 kami pun bermula.
Kerusi ke 2 terakhir




Tuesday, September 9, 2014

Pesan Ayah Sebelum ke Mekah


Buat Nabil dan Aqilah

INGAT PESAN AYAH DAN MAMA

  Jangan lupa Solat (Suboh 2, Zohor 4, Asar 4, Magrib 3 dan Isyak  4)
   
 Nabil dan Aqilah selalu doa untuk ayah dan mama – semoga selamat pergi dan balik
   
 Nabil dan Aqilah mesti pergi sekolah dan belajar sampai pandai
    
  Bila balik sekolah terus buat kerja rumah

    Mandi petang selalu

    Bangkit awal pagi terus mandi

    Nabil, mesti basuh kasut sekolah hari Sabtu

   Aqilah, selalu cuba baca buku dan Nabil tolong ajar

     Nabil, berbaik dengan adik2.  Nabil kena jaga adik2.  Sayang adik2
  
      Kalau nak apa2 tanya dengan Mak Tok/Tok Wan/Opah

       Nabil kalau lapar cakap dengan Mak Tok/Tok Wan/Opah
        
      Kalau nak pergi main cakap dulu dengan Mak Tok/Tok Wan/Opah



DI PONDOK KECIL

dipondok kecil di pantai ombak
berbuih putih beralun-alun                                 2X

disuatu hari ayah berkata
jaga adik mu ayahkan pergi jauh
ku pandang wajah ayah dahinya ku cium
air mata mengalir hatiku pilu

diam-diamlah sayang jangan menangis
doakan ayah semoga sejahtera
diam adik ku sayang jangan menangis
walaupun ayah gugur pastinya dia syahid

dipondok kecil di pantai ombak
berbuih putih beralun-alun                                  2X

wahai abang ku, kemana ayah
ku sayang ayah, ku cinta ayah 2x

duhai adik ku sayang jangan bersedih
ayah mu pergi menyambut seruan Ilahi
tapi ingatlah adik ku pesanan ayah
belajar berusaha walau dimana jua

pada Mu Tuhan aku bermohon
dosa ayah ku minta diampunkan
ku iringi doa rahmati dia
Tempatlah ayahku bersama kekasihmu

dipondok kecil di pantai ombak
berbuih putih beralun-alun                                  2X




Monday, August 11, 2014

Kursus Perdana Haji aku 1435 di Masjid Shah Alam

Kursus ini adalah terakhir dalam siri2 untuk menunaikan Haji.  Ia adalah praktikal sepenuhnya untuk wukuf di Arafah, mabit di Mudzdalifah dan mabit 3 malam di Mina dan melontar jamrah, tawaf dan saie.  Kursus2 yang diberi oleh Tabung Haji adalah Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan akhirnya kursus perdana Haji dimana satu negeri Jemaah terpilih di kumpulkan.  Di Selangor, Masjid Sultan Salahuddin di Shah Alam menjadi tempat kursus perdana ini. Ia bermula pada Zohor 9/8/14 dan berakhir pada Zohor 10/8/2014.

Kursus adalah bermalam di masjid kerana aktiviti praktikal bermula dengan urusan pendaftaran dan kaedah Haji Tamattuk dipilih untuk kursus ini.  Semua orang tampak bersedia dan terus mengikuti maktab2 yang ditetapkan.  Maktab dari 75 hingga 80.  Mengikut rekod Tabung Haji sebanyak 2,900 orang telah mendaftar untuk kursus padahari itu.  Aku juga mendaftar bersama isteri.  Pakaian sudah bertukar kepada ihram pada ketika itu.  Aku berada di Maktab 78. 

Tawaf di buat di perkarangan air pancut di Masjid Negeri Shah Alam
Kursus bermula dengan ceramah dari Sheikh Jabar (Ya Ha na na) tentang Mekah dan lambaian Kaabah dan bersambung dengan seorang Sheikh dari Mekah sendiri mengalu2kan Jemaah pada kali ini.  Aksi pun bermula selepas solat Asar setelah dikira telah berniat Umrah di Miqat orang Asia di Qarnul Manazil (atas kapal terbang). 

Tawaf umrah bermula di Hajarul Aswad sebanyak 7 kali dan berserta dengan saie dari Safa ke Marwah yang dibuat di kiri pintu depan Masjid Negeri itu.  Selesai aktiviti umrah dan sudah bertahalul, waktu sudah hampir Magrib.  Makan malam disediakan sebelum mandi itu.  Aku masih berihram dan setelah bertahlul, bebas dari ihram, aku menukar pakaian kepada jubah dan bersedia untuk solat Magrib.  Ada yang tidak bertukar kerana mungkin berniat Haji Ifrad kerana menunggu waktu wukuf nanti.  Isteri sendiri sudah diasingkan dibelakang dan hanya kadang2 aku melihat kelibat isteri tapi ramai menidakkan peluang melihat isteri. 

Aku sebenarnya masih belum berpeluang mandi kerana ramai orang yang berebut menyebabkan air menjadi kurang dan tidak bertenaga. Sementara menunggu masa Isyak, ceramah oleh ustazah untuk Jemaah wanita dibuat sambil ceramah biasa di Masjid negeri itu dijalankan seperti biasa.  Pihak suami juga digalakkan untuk mendengar ceramah tentang masalah wanita kerana disebabkan wanita ada darah haid maka penting untuk suami mengetahui kerana perempuan haid tidak boleh ke masjid maka tawaf tidak boleh dilakukan.  Ini melibatkan masalah masa dan rukun.

Selepas Isyak, aku bergegas ke tempat mandi dan melihat masih ramai yang menanti untuk mandi. Aku juga menunggu peluang kerana aktikiti wukuf akan bermula pada pukul 10 malam ini dan waktu sudah 9.30 malam.  Selesai mandi, kalau mengikut Haji Tamattuk niat haji akan berlaku di hotel tempat kita nanti di Mekah.  Maka pakaian ihram sekali lagi dipakai. 

Sementara menunggu masa untuk berwukuf, Jemaah terpilih haji mendengar arahan untuk berwukuf, mabid di Mudzhalifah dan Mina.  Semua maktab diberikan 2 pembimbing dan ketua pembimbing adalah Ustaz Hashim Fahmi.  Adik dia Ustaz Hashim Fikri mengajar aku dan isteri untuk kursus Asas di Tabung Haji Kelana Jaya juga ada berada di kursus ini.  Aku juga ternampak beberapa Ustaz yang aku kenali - Ustaz Hashim Karim yang pernah membawa aku menunaikan umrah pada tahun 2006 dan 2009 dahulu juga sebagai pembimbing.

Wukuf di Arafah diberitahu telah berjalan di tempat kami mendengar ceramah itu di dewan solat bawah Masjid Negeri itu.  Wukuf bermula pada gelincir matahari pada 9 Zulhijjah nanti. Ddan setelah magrib nanti disana pergerakan akan bermula ke Mudzdhalifah dan sampai pada sekitar 9 malam. Dan pergerakan menuju ke Mudzdhalifah bermula dengan pergerakan maktab 80 dari sebelah kanan keluar.  Di Mudzdhalifah, ustaz memberitahu mabit  hanya bermula pada tengah malam sekitar jam 11.40 malam.  Di sana juga diberitahu Jemaah kena mengutip sekitar 70 biji batu untuk urusan melontar jamrah nanti di Mina. 

Setelah waktu tengah malam itu, Jemaah diberitahu bahawa perjalanan seterusnya ke Mina.  Dengan batu yang ada di tangan, pada waktu itu Jamrah Kubro (Aqobah) dilontar dengan 7 lontaran dan selepas itu mencukur rambut - maka Tahalul Awal telah dapat untuk membuka ihram tetapi ada 3 larangan ihram lagi untuk dijaga.  Bersetubuh, ke arah bersetubuh dan berkahwin.  Alhamdulillah semua selesai dan waktu sudah menunjukkan pukul 11.45 malam.

Aku bergerak ke arah tempat beg aku dan melihat seorang mak cik juga sedang bersimpuh bersama seorang lelaki yang sedang baring.  Semua sudah penat dan aku pasti Ustaz pembimbing tadi sudah memberitahu bahawa Jemaah perempuan diminta ke belakang dan diasingkan dari lelaki.  Tetapi makcik seorang itu macam tidak faham atau tidak dengar.

"Makcik - perempuan dibelah belakang" Kata aku dengan nada yang paling baik walaupun penat sekarang ini. "Ia, saya dengan suami saya ni" balas makcik itu.  Aku tidak mahu berlanjutan kerana badan berpeluh ini perlu mandi dan dapatkan rehat.  Aku terus ke bilik air dan menunaikan apa yang perlu.  Kembali aku ke tempat tidur tadi, makcik yang tadi sudah tiada bersama2 dengan suaminya.  Aku pasti ia telah ditegur dan suaminya cuba mengalah dan bersama2 kebelakang pula.  Perkara mengasingkan suami isteri ini adalah biasa untuk Jemaah haji Malaysia kerana kalau muassasah haji bersama dengan Tabung Haji - suami isteri diasingkan.  Suami kena bersedia untuk mengasingkan diri dengan isteri kerana ikut muassasah.

Maka tidurlah aku bersama dengan seorang Haji dari Tanjung Karang.  Bersembang kami sehingga sekitar 1.30 pagi dan mata berat lalu tidur.  Tiba2 pak cik sebelah mengejutkan aku "Dah boleh mandi ni" Aku rasa seperti hanya baru sebentar tadi melelapkan mata.  "Sekarang pukul berapa haji" Aku bertanya.  Pakcik itu menjawab "Sekarang pukul 2.20 pagi, boleh bersedia mandi la.  Saya dah mandi".  Aku tak buka mata dan terus tidur.  Kira2 pukul 3.13 pagi aku sekali lagi dikejutkan dan aku terus bergerak ke bilik air.  Orang masih tak ramai dan aku boleh mandi dengan aman.
Pada waktu 3/4 malam itu, semua Jemaah bermunajat - solat Tasbih, solat Tahajud 4 rakaat, solat taubat dan solat witir.  Suasana sangat sayu dan hati2 Jemaah melekat di tempat sujud memohon ampun dari Allah.  Setiap bait2 yang keluar dari ustaz yang membawa qiamulail pada pagi itu sangat mendayu dan menusuk di hati. 

Solat subuh masuk terus berjamaah dan kira2 pukul 6.30 pagi, tawaf dan saie haji akan bermula.  Semua Jemaah bersedia dan beberapa soalan menjadikan Ustaz pembimbing keliru dengan kefahaman Jemaah pada masa itu.  Adakah tawaf pada pagi ini sambungan dari tawaf pada petang semalam.  Tawaf semalam adalah tawaf umrah dan sekarang adalah tawaf Haji.

Kira2 pukul 9 pagi semua tawaf dan saie selesai.  Minum pagi secepat kerana adalah majlis penutup pada pukul 10.30 pagi nanti oleh Sultan Selangor sendiri dan diiringi oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim (diberitahu orang pada pagi itu - TSKI telah dibuang dari parti PKR pada hari Sabtu 9/8/14. 

Maka Kursus Perdana pun dilaksanakan oleh Sultan Selangor dengan hadiah simbolik untuk Jemaah haji sepasang ihram. 
Beberapa pengumuman menjadi sembangan Jemaah pada kali ini:-
1. Sila alihkan kenderaan anda kerana menggangu lalu lintas
2. Diminta isteri bertemu suami di depan pentas
3. Diminta suami datang ke pentas, isteri sedang menunggu.
4.  Diminta sesiapa yang memegang beg duit sila pulangkan kepada pentas (Diberitahu Jemaah sebelum masuk ke tandas telah memberi beg pada kawan yang tidak di kenali)
5. Sesiapa ada kehilangan tali pinggang haji boleh ke tempat urussetia.
6. Diminta Puan Samsiah datang ke bilik kecemasan kerana suami menunggu.
7. Sesiapa ada kehilangan duit yang banyak sila telefon nombor ini.
8.  Dminta Puan Samsiah datang ke bilik kecemasan kerana suami menunggu.
9.  Sila alihkan kenderaan anda kerana menganggu te,mpat saie.
10.  Diminta puan Samsiah datang ke bilik kecemasan kerana suami menunggu.
Setelah diberitahu beberapa kali baru kami faham, Puan Samsiah memegang ubat suaminya menyebabkan bila sakit, ubat tidak sampai kepada pesakit.
Selamat menunaikan haji pada tahun 1435.

Thursday, July 3, 2014

The Raid 2 : Berandal

The Raid 2 - Berandal merupakan cerita kesinambungan dari The Raid : Redemption.  Kali ini hero yang lincah ini Uko Uwais ditugaskan untuk menyamar sebagai kawan seorang gangster di dalam penjara.  Cerita aksi ini terlalu detail dibuat sehinggakan kalau tak biasa boleh membuat kita muntah.  Pembunuhan dengan tukul besi, dengan bola besbal atau dengan parang dan kerambit.  Pergaduhan antara 2 puak gangster yang menguasai Jakarta dilukis seolah2 betul.  Pembunuhan demi pembunuhan dikaitkan dengan setiap kumpulan dan pergaduhan pun bermula.  Cerita itu tidak berhenti disini sahaja kerana dihujung cerita sekumpulan orang Jepun pula menunggu hero setelah habis penat membunuh semua dengan sekali lawan.  Dalam Raid 2 ini juga Mad Dog yang telah mati di Raid 1, muncul sebagai pembunuh upahan.  Yayan Ruhian diperlukan untuk menyemarakkan filem aksi ini.  Sesiapa yang mendambakan aksi, cerita Raid 2 brandal ini menyajikan hampir 75% aksi dan tingkatan perincian pergaduhan itu yang membuat filem ini bagus dan dibantu dengan kesan bunyi yang kompak.