Yang selalu jengok

Wednesday, December 7, 2016

Jalan2 ke Surabaya (Part II) 3/12/2016

Monumen Surabaya - Sura (shark) dan Baya (boyo-buaya)

Ini adalah hari ke 3 kami di Surabaya. Masih di hotel yang sama dan perjalanan semalam ke Batu Malang sungguh memenatkan. Tapi hari ini perjalanan masih diteruskan. Kali ini rombongan akan dibawa ke sekitar bandar Surabaya. Beberapa tempat lawatan sudah ada dalam perancangan rombongan kami.

Bas mini yang sama aku cuba dapatkan tetapi Pak Agus tidak dapat memenuhi permintaan itu kerana dia telah mendapat tempahan untuk ke tempat lain. Dia memberikan nombor telefon kawannya bernama Pak Heri kepada aku untuk memberi perkhidmatan.  Aku terus telefon dan memberitahu tentang niat untuk membawa rombongan sekitar bandar Surabaya.  Beliau bersetuju dengan kos sebanyak Rp1.1 juta (RM365.2). Berkira dengan ahli rombongan jika kita menyewa setiap keluarga sebuah kenderaan untuk sehari kemungkinan sebanyak Rp500,000 (RM166) sekeluarga dan mencapai Rp2.0 juta (RM664) untuk semua. Semua ahli rombongan setuju untuk mendapatkan perkhidmatan Pak Heri. Perkhidmatan Pak Heri ini adalah untuk 12 jam bermula pada pukul 10 am 3/12/2016.
Suzuki Elf Pak Heri

Selepas makan pagi, kami sekeluarga sempat mandi di kolam renang sebelum perjalanan rombongan dimulakan. Pukul 6 makan pagi dan pukul 6.45 am sudah ada di kolam renang.  

Pukul 10 am Pak Heri sudah menunggu di luar hotel.  Kami bergegas keluar dan menaiki Suzuki Elf yang lebih nampak ceria dari Suzuki Elf semalam. Saya memberitahu perjalanan rombongan pada hari ini dan Pak Heri mengatur perjalanan itu dengan lebih sempurna mengikut yang paling dekat dan sepatutnya berakhir dimana.

Program pertama kami adalah melawat Monkasel yang lebih kurang 4 km sahaja dari Hotel kami tinggal.  Walaupun begitu, keadaan jalan yang sesak kemungkinan mengambil masa lebih kurang 30 minit dan lebih.

Monkasel (Monumen Kapal Selam)

Pintu masuk Monkasel

Monkasel atau monumen Kapal Selam adalah kapal selam yang betul yang telah dipotong 16 untuk dibawa ke darat dan menjadi tempat lawatan utama di Surabaya.  Kapal selam ini bernama Paospati 410 adalah buatan Soviet Union tahun 1952.  Ia dirasmikan di Genteng Surabaya ini pada 27/6/1998.

Kapal selam ini panjangnya 76.6 meter dan lebar 6.3 meter dan diberitahu bahawa setiap kali menyelam, kapal itu membawa 60 orang soldadu. Ia mampu bergerak sekitar 18.3 knot di dalam air.

Tiket untuk masuk adalah Rp10,000 (RM3.32).  Ditempat itu juga disediakan video tentang kapal selam dan kolam renang untuk anak2 yang perlu dibayar sebanyak Rp8,000 (RM2.65).  

Kami tiba sekitar jam 10.35 am dan terus menuju ke Monkasel. Terus membayar dan masuk ke dalam kapal selam.  Sekitar kapal selam adalah sempit dan ada penunjuk arah didalam setiap kompatment didalam kapal selam itu.

Untuk masuk ke setiap kompatment itu, ahli rombongan terpaksa tunduk dan melangkah dan ini memang mencabar pada setiap ahli yang berumur termasuk aku. Kanak2 mungkin seronok kerana aktiviti ini sungguh menyeronokkan. Tayangan video dan kolam kami tak lawati kerana banyak tempat lagi kami mahu lawati lagi.

Semua masuk - tiada yang ketinggalan
Kawasan senjata
Baru bermula

Perjalanan makin sempit
Berakhir sudah perjalanan dalam kapal selam

Monumen Surabaya

Setelah selesai melawat monkasel, kami hanya perlu berjalan lebih kurang 500 meter di luar untuk melihat satu lagi monumen utama Surabaya iaitu Monumen Surabaya. Monumen itu menunjukkan seekor jerung dan seekor buaya yang nampak seperti bergaduh. Dari 2 binatang ini maka lahirlah perkataan Surabaya.




House of Sampoerna


Aku memasukkan lawatan ke tempat jual rokok ini sebagai satu pendidikan.  Paling utama ia adalah percuma dan dikategori tempat yang mesti dilawati dalam page Travel Advisor.  Ia adalah satu tempat atau kilang mengeluarkan rokok jenama Dji Sam Soe.  Pengasas Sampoerna adalah Liem Seeng Tee bermula dari Fujian dalam Daerah Axni di China. 

Di dalam muzium ini ada 2 tingkat dimana dibawahnya ditunjukkan cerita tentang bagaimana Sampoerna ini berkembang di Indonesia dan gambar2 lama pengasas dan keturunan mereka.  Di tingkat dua dibuat jualan T Shirt dan Topi dan dari tingkat itu juga kita boleh nampak tempat pekerja Sampoerna mengulung rokok menggunakan tangan untuk dijual.  Pendidikan ini tiada nilai bila melihat dan faham bagaimana orang Indonesia mencari pendapatan dengan hanya mengulung rokok Sampoerna.

Jika mahu mendapat layaran lebih baik untuk melawat, rombongan mestilah lebih dari 25 orang dan diberitahu lebih awal.  Kemungkinan cara mengulung rokok juga diperlihatkan kepada rombongan. Dalam masa sejam kami selesai melihat setiap sudut muzium tersebut.

Muzium ini sangat teratur dan bersih untuk dilawati
Gambar2 lama dan klasik boleh didapati di sini
Tram yang perlu ditempah untuk bergerak dalam bandar Surabaya juga bermula di sini
Tingkat 2 yang menampakkan kilang dibelakang - tempat mengulung rokok
Memberi ekonomi pada Indonesia

Masjid Muhammad Cheng Ho

Waktu zohor sudah masuk dan kami berhajat untuk solat di masjid.  Pak Heri memberitahu bahawa setiap rombongan yang dibawa akan pasti ke Masjid yang satu ini.  Masjid ini adalah masjid yang sama seperti di China.  Masjid untuk muslim Cina dan solat Jumaat juga diadakan di sini.

Masjid ini dinamakan Masjid Muhammad Cheng Ho sempena nama Laksama Cheng Ho yang diketahui seorang Islam pada abad ke 15 dahulu.  Kita di Malaysia juga pasti teringat bahawa Laksama Cheng Ho ini membawa puteri Hang Li Po yang dikahwinkan dengan Sultan Mansur Shah. Cerita sebagai pedagang Islam ini memberikan cetusan idea kepada masyarakat Islam Tioghoa  untuk membuka sebuah masjid bernama Muhammad Cheng Ho.  Diberitahu juga bahawa ada 2 lagi Masjid Muhammad Cheng Ho di Indonesia. Aku sempat bertanya dengan jemaah seorang pelajar undang2 ketika usai solat jamak di masjid itu.

Bergambar sebelum bergerak

Boleh memuatkan 200 orang jemaah pada sesuatu masa


ITC Mega Grosir 

Untuk memastikan rombongan mendapat kepuasaan, membeli belah juga termasuk dalam menu rombongan. Aku meminta Pak Heri untuk pergi ke ITC Mega Grosir dan kami akan makan tengahari di situ.  Pak Heri memberitahu bahawa di semua tempat berbelanja akan ditutup jam 5 petang.  Aku dan isteri faham sangat kerana hampir disemua tempat di Indonesia yang kami pergi, tempat2 membeli belah akan ditutup awal.  Ini tidak termasuk mall biasa seperti Giant atau Plaza.

Kami tiba di ITC jam 1.30 petang dan aku memberitahu bahawa kita akan berada disitu sehingga jam 3 sahaja kerana ada satu lagi tempat belanja yang akan dilawati iaitu Jambatan Merah Plaza. 

Kami terus bergerak pantas ke tempat makan dan makan seperti biasa.  Selesai makan jam sudah menunjukkan jam 2.20 dan aku memberitahu bahawa kita hanya ada 30 ke 45 minit untuk membeli belah.  Kemungkinan hati para rombongan tidak dapat menerima tetapi ini adalah salah satu cara untuk melihat tempat orang dengan lebih banyak.

Pukul 3, aku dan keluarga sudah berada di tempat yang dijanjikan sambil menunggu.  Pak Heri sudah melambai2 memberitahu bahawa dia sudah nampak kami di tangga ITC itu. Kira2 20 minit kemudian semua sudah berada di Suzuki Elf untuk bergerak ke Jambatan Merah Plaza.

Yang awal menunggu di ITC Mega Grosir


Jambatan Merah Plaza

Jambatan Merah ini dinamakan demikian kerana melambangkan peperangan yang berlaku pada zaman pendudukan Portugis yang berperang di situ sehingga diberitahu bahawa sungai itu bertukar warna kepada merah disebabkan darah pahlawan dan musuh negara Indonesia.

Bagi aku, Jambatan Merah Plaza tidak lebih seperti PKNS di Shah Alam.  Tempat menjual yang strategi dan dipenuhi dengan pakaian untuk memanggil pelanggan berbelanja di situ. Tempat ini juga akan ditutup jam 5 petang.

Kami sampai di plaza itu kira2 sejam sebelum ditutup. Pergerakan perlu cergas. Aku dan mak hanya duduk disebuah kedai sambil minum air teh panas dan melihat2 keliling. Aku membeli kek Surabaya yang berharga Rp26,000 (RM8.65) untuk makan malam nanti.

Jam 5, kedai2 sudah mula tutup dan kami beredar ke suzuki Elf.  Dan seperti yang dijanjikan kami akan singgah ke Masjid National Al Akbar sebelum balik ke Hotel.

Sedap sehingga aku seorang yang makan
Masjid Nasional Al Akbar





Kami akan singgah di Masjid Nasional Al Akbar untuk solat Jamak Magrib dan Isyak.  Masjid ini adalah masjid ke 2 terbesar di Indonesia selepas Masjid Istiqlal di Jakarta. Kami sampai ketika solat Maghrib sudah pada tahiyyat akhir.  Kami semua berjamak taqdim dan sehingga selesai.

Anak2 berada di pintu Masjid Al Akbar

Tabarakallah

Aktiviti pada hari ini sudah berakhir.  Kami sampai ke Hotel sekitar jam 8.30 malam dan anak2 sudah keletihan dan terus tidur. Isteri sempat membeli ayam KFC di Jambatan Merah Plaza. Dapatlah anak2 kami makan ayam sebelum mereka tidur.  





No comments:

Post a Comment