Yang selalu jengok

Tuesday, December 3, 2019

Cuti untuk anak2

Akhir tahun menjadi satu masa wajib untuk merancang percutian paling istemewa untuk anak2.  Yang berduit boleh membawa anak2 hampir ke seluruh dunia. Pergi Paris, Korea, Jepun atau paling murah sekitar Asia seperti Indonesia atau Malaysia sendiri.

Aku sendiri menjadi perancang utama dalam keluarga untuk percutian sebab seluruh kewangan terpikul pada bahu aku seorang. Pendesak paling kuat adalah isteri.  Tahun 2019 ini istemewa kerana desakan yang paling kuat untuk ke tempat bersalji dan dari awal tahun, perancangan sudah terbuat.  Pergi ke Turkey pada hujung tahun adalah seperti menyerah badan ke dalam peti ais selama 10 hari.

Aku tidak termakan desakan kali ini kerana aku masih berjaga2 dengan perjalanan yang jauh dan menggunakan kederat lebih akan menyebabkan aku takut semacam.  Aku mahu percutian yang lebih merehatkan dari meredah masuk dalam peti sejuk.

Aku menempah tiket ETS (Electronic Train) dari KL ke Arau. Aku mahu pergi ke Langkawi.  Aku membuat cadangan supaya isteri membawa anak2 perempuan ke Turkey dan aku membawa anak2 lelaki ke Langkawi dengan menggunakan ETS, Feri dan kenderaan umum lainnya.

Tiket untuk ke Arau menggunakan ETS GOLD adalah RM73 untuk dewasa dan RM45 untuk kanak2. Ada dua ETS untuk ke Utara iaitu ETS GOLD dan ETS Platinum. Beza adalah tempat persinggahan dan kelajuan diantara keduanya.  ETS GOLD lebih murah dan berhenti lebih banyak perhentian untuk mengambil orang.  

Tiket untuk Feri juga boleh diambil secara online melalui Langkawi Ferry Line Venture Sdn Bhd.  Untuk dewasa RM18 dan untuk kanak2 sebanyak RM13 sahaja.

ETS Gold dari KL Sentral akan bergerak pukul 10.50 pm dan sampai pada pukul 4.15 pagi di Arau. Kami akan mengambil teksi untuk ke Kuala Perlis sebelum ke Langkawi.

Aku mahu beri tahun anak2 untuk bercuti kadang2 kita perlu menggunakan kenderaan awam untuk tahu tentang perjalanan kerana meraikan perjalanan lebih baik dari hanya sampai ke satu tempat.  Kami akan bergerak pada 4/12/2019 iaitu pada malam ini untuk ke Arau dan seterusnya ke Langkawi.

Wednesday, October 16, 2019

Menjadi Tua



Ada Tok Guru berkata :

"SAAT USIA 50- an.... "CANTIK DAN HODOH, SAMA SAJA..". (tak peduli seberapa cantiknya kamu,  di usia itu kedutan, darkspot, kulit kendur, tak boleh lagi terus kamu sembunyikan dengan gincu dan bedakmu... 

SAAT USIA 60-an...  "PENDIDIKAN TINGGI DAN PENDIDIKAN RENDAH, KEDUDUKAN TINGGI DAN KEDUDUKAN RENDAH, SAMA SAJA..". (Setelah semua bersara, tak ada lagi boss atau bawahan..)

SAAT USIA 70- an... "RUMAH BESAR DAN RUMAH KECIL, SAMA SAJA..".(Tulang sendi, lutut dan kakimu sudah mulai longgar, semakin sulit untuk bergerak.. sekarang kamu cuma perlu ruang kecil untuk di-diami..  ).

SAAT USIA 80- an...(itupun kalau masih hidup ) "PUNYA DUIT DAN TIDAK PUNYA DUIT, SAMA SAJA.." .(saat itu duitmu tak lagi boleh membeli steak yang enak lazat, gulai, rendang dan lain2 kerana tubuhmu tak lagi boleh dimasuki banyak makanan, lidahmu sudah tak punya rasa, 
dan kamu tak berdaya lagi ke-tempat di mana kamu boleh menghabiskan duitmu). 

SAAT USIA 90- an... "TIDUR DAN BANGUN, SAMA SAJA", (kerana setelah bangun, kamu tetap tidak tahu apa yang akan kamu lakukan ) 

SAAT AJALMU TIBA.... "KAYA DAN MISKIN,  SAMA SAJA".  Kamu hanya akan di-baluti kain kafan dan dimasukkan ke dalam tanah yang ukurannya sama, orang2 akan menangisi kamu kemudian melupakanmu, kerana mereka akan meneruskan kehidupan yang dipenuhi oleh persoalan hidup masing2..

Oleh kerana itu,  semasa hidup, jangan terlalu tinggi hati atas apa yang kita MILIKI, kerana kita akan berakhir SAMA..   JANGAN Terlalu Keras mencari duit sampai lupa amal ibadah bekal akhirat nanti, kerana PADA AKHIRNYA  kamu tak memiliki APA2...

" ...kecuali Amal Kebaikan Dan Ibadah. Yang akan di bawa Di Akhir Cerita... "


Kita selalu dengar versi mcm ni.... Cuba kita tengok versi lain pulak..... 

Saat usia 55 tahun, Rasullullah SAW berperang kali pertama. 

Saat umur 61, Rasulullah sudah terlibat lebih dari 80 peperangan atau 7 pertempuran setahun. 

Saat usia 61, Rasulullah SAW menawan Mekah.

Umur 55, Warren Buffet mendapat sejuta dollar yang pertama. 

Umur 77, Kolonel Sanders buka restaurant KFC yg pertama. 

Umur 93, Mahathir jadi PM kembali.   

Menjadi tua pasti, mati pasti, tetapi jangan terlalu takut kehadiran tua, Kerana tua bermaksud makin menjadi bijak, pengalaman yang banyak, melalui ranjau dan noda, dan akhirnya menjadi manafaat kepada dunia. InshaAllah


Sunday, September 29, 2019

Jaga Adat - Hormati orang lebih Tua

Pagi 29/9/2019 aku ke perkahwinan seorang senior aku semasa aku di Asrama Tun Dr Ismail (ATDI), Kg Pandan.  Majlis perkahwinan diadakan di Dewan Royale , Jalan TUDM, Kg Melayu Subang.  Perjalanan ke dewan itu hanya mengambil masa 15 minit dari rumah aku. Kami sekeluarga bergerak awal kerana perlu membuat beberapa perkara pada petang itu. 

Majlis perkahwinan itu kepunyaan Mohd Ashari bin Mustanuddin dan Isteri Masni binti Pengol. Aku kenal kedua2 empunya majlis. Ashari adalah senior aku di ATDI dan Masni adalah rakan sedarjah aku ketika di sekolah rendah Kg Melayu Subang. Majlis sangat meriah dan diadakan ditempat yang sangat ekslusif. Aku diberitahu juga Dato' Seri Anwar Ibrahim juga hadir ke majlis yang sama pada petang itu. Hebat.

Berada dalam majlis perkahwinan semalam, aku terjumpa dengan seorang senior yang bagi aku paling sado ketika di asrama dulu iaitu Azamin Itam. Semua budak junior hormat pada beliau dan mungkin salah satu sebab kesadoan badan Azamin ini. Aku bersalam dan bertanya khabar. Ikut sunnah Nabi Muhammad SAW - sebarkan salam. Dan aku mulakan salam dahulu. Yang berdiri bagi salam pada yang dulu.  Yang sedikit bagi salam pada yang banyak. (Ini yang perlu dibetulkan pada sekolah sekarang - Guru bagi salam pada murid2 bukan murid2 bagi salam pada guru kerana guru seorang perlu bagi salam pada yang banyak).

Aku bertanya khabar dan memberitahu keadaan diri sekarang. Soalan ketika umur mencecah 45 keatas - anak berapa orang, dah bermenantu dan tinggal dimana? Tidak lagi soalan - pakai kereta apa, atau kerja apa? Dan sembang terputus disitu sahaja kerana isteri dan anak2 sudah bergerak ke meja lain yang kosong.

Kami menikmati suasana majlis yang meriah dan aku mencari2 orang yang aku kenal. Mungkin terlalu awal hadir sekitar 11.30 pagi membuatkan aku boleh melihat hampir semua yang datang. Aku sudah menghabiskan makanan utama pada pagi itu. Nasi Bairani dengan ayam masak merah dan daging hitam. Makanan seterusnya adalah sampingan seperti kuih dan pisang goreng.  

Aku lalu dimeja senior aku Azamin dan ditegur. "Nak kemana tu?" Mungkin pergerakan itu seperti menuju ke arah pintu keluar. "Nak ambik pisang goreng? Aku menjawab. Dia mengangguk dan senyum. Aku terus ke meja pisang goreng dan mengambil 2 pinggan - satu untuk aku dan satu untuk senior aku Azamin Itam. Hormat aku pada yang tua masih bagus.

Aku terus menghantar pinggan yang penuh dengan pisang goreng ke meja Azamin. Meja beliau penuh dengan isteri dan anak2 beliau dan beberapa orang kawan beliau. Aku menghulur pinggan dan berkata "Teringat masa kena raging dulu" sambil ketawa. Azamin terkedu dan ketawa bersama.  Aku terus terbuai ingat waktu budak2 dulu ketika masuk ke asrama. Senior akan tahan yang junior sebelum ke dewan makan dan menyuruh mereka mengambilkan makanan. Kami akan beratur dan menghantar makanan kepada mereka.  Selepas itu kami akan beratur untuk diri sendiri. 

Selesai makan pisang goreng, isteri dan anak2 sudah mula gelisah untuk balik. Aku bersiap2 dan akan melalui meja Azamin sekali lagi untuk mengucapkan selamat tinggal dan akan berjumpa lagi. Hormat aku masih utuh pada yang lebih tua. Aku bersalam dan mengucap salam. Azamin mencelah dan berkata "Sedap, pisang goreng yang kau ambik ni....Ambik lagi 2 pinggan" Berderai2 ketawa dari meja itu, semua tersenyum mengingat masa lalu dan perubahan masa mendewasakan kami semua. Aku terus hormat mereka.  Aku terus membalas kata2 Azamin "Kalau yang ini memang betul2 raging". 

Hormatlah orang yang lebih tua dan carilah pelajaran dari itu semua.










Sunday, July 21, 2019

Bagaimana mahu membuat masa bergerak Perlahan


Aku seperti sudah mendapat jawapan tentang masa bergerak pantas ini. Betul masa bergerak pantas sekarang. Baru mula berpuasa, kita sudah sampai separuh bulan Ramadhan. Baru sampai separuh Ramadhan, malam itu adalah malam terakhir  Ramadhan dan takbir sudah bermula. Baru pergi ke rumah kawan berhari raya, esok sudah ramai yang pergi Haji. Baru kira2 orang yang pertama masuh Madinah, sekarang sudah separuh yang masuk terus ke Mekah.

Betul masa bergerak pantas. Kalau Ustaz berceramah maka diberitahu bahawa keberkatan masa diambil oleh Allah. Umur meningkat tetapi orang tidak nampak tua. Aku teringat waktu dahulu dan tidak lama sangat iaitu ketika tahun 1984, ayah aku sudah pencen tentera dan baru berumur 44 tahun. Aku sudah 49 tahun dan masih bekerja kuat untuk mencari rezeki buat keluarga. Umur meningkat dan masa yang cepat tidak menekan kita untuk nampak tua. 

Betul masa bergerak cepat. Tapi aku cuba mengingat kembali ada satu ketika masa bergerak terlalu perlahan.  Seminggu terasa seperti sebulan, 2 minggu seperti 2 bulan dan seterusnya. Ada satu ketika dalam hidup aku, masa bergerak terlalu perlahan, ketika siang seperti 2 hari dan malam berlanjutan seperti 3 hari untuk habis waktu malam. Bila semua ini berlaku? Ketika aku diberi tugas khas waktu berumur 15 tahun di Ulu Dong, Raub, Pahang.

Apa tugas khas aku waktu itu? Ketika itu aku menunggu keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) bersama dengan abang aku yang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1985. Kami diberikan tugas oleh Pak Jang kami untuk mengutip buah durian di satu tempat yang agak hulu dari semua kemodenan. Kami duduk di rumah seorang nenek yang kuat melatah. Jika dia melatah, habis benda yang dipegangnya akan dilontar. Hatta pada satu ketika hampir kami berlari keluar rumah kerana dia melatah bersama parang ada di tangan.

Tugas khas kami adalah mengutip durian dari 4 batang pokok yang agak tua dan membuahkan ratusan buah durian setiap musim durian.  Pokok ini berada kira2 2 km dari rumah yang kami tinggal. Kami akan membawa kereta sorong dari rumah untuk membawa durian balik ke rumah. Kami tidur dirumah yang lansung tidak ada elektrik dan air yang perlu cedok dari telaga. Kami akan keluar dari rumah waktu pagi sekitar 8 dan balik kerumah sekitar 11 pagi. Dan apa yang kami buat selepas itu adalah duduk bersembang sambil membaca helaian2 suratkhabar yang dijadikan dinding rumah. Aku setiap hari akan berdiri dan membaca pada dinding rumah dan kadang2 membaca benda yang sama setiap hari.

Petang pukul 4 kami sudah mandi untuk bersiap tidur.  Malam yang panjang diharung sebelum gelap menjelma. Pukul 6 kami semua sudah makan. Yang aku ingat, ada seorang ibu akan menghantar makanan pada kami untuk makan. Kami makan seadanya dan duduk menghadap lampu ayam sambil bersembang. Dan ini bermula sekitar 7 malam. Pukul 9 kami sudah ngantuk dan tidur. Aku akan baring menghadap muka ke bumbung rumah. Memikir dan berfikir apa yang perlu kami buat esok hari.

Setiap kali aku cuba mengingat cerita dari Ulu Dong itu, perasaan mengatakan aku berada sebulan di sana terlalu tepat. Dan aku akan disanggah oleh emak aku, aku hanya berada di sana selama seminggu sahaja.  Banyak yang aku buat ketika di sana. Pergi kenduri beberapa rumah dan dapat berkenalan dengan seorang gadis yang duduk di asrama seperti aku. Seminggu di sana seperti sebulan. Kalau petang di sana waktu itu seperti lansung tidak bergerak. Pukul 2 pm selepas beberapa ketika aku masih rasa berada pada waktu yang sama.

Rumusan dari itu, masa yang bergerak pantas setiap hari boleh diperlahankan. Dan ini betul2 terjadi pada aku pada satu waktu dahulu. Jangan membuat banyak perkara setiap hari. Duduk diam dan jangan menonton TV dan tiada telefon yang menganggu.  Masa akan bergerak perlahan kalau itu yang kita mahukan.




Wednesday, June 26, 2019

Generasi Z (anak2 aku)

Budak2 generasi Z adalah yang lahir selepas tahun 2000 akan menguasai dunia pada tahun 2020 nanti.  Pada tahun 2000 dahulu, ketika aku masih bekerja dengan bank, ketakutan tentang virus computer 2000 akan menyebabkan computer akan undur ke belakang dimana computer tidak boleh membaca nombor selepas 1999 dan ini adalah mitos pada masa itu seperti nak jadi kuat kena makan muntah hantu.

Budak2 generasi Z ini akan menjadi satu generasi yang macam tahu semua perkara. Ketahuan mereka sebenarnya hanya berkisar tentang benda2 disekitar mereka sahaja. Mereka tahu tentang youtube, instagram, WhatsApp, facebook dan application yang membantu mereka. Mereka sebenarnya tidak tahu tentang surat, anakanda dan ayahanda, mesyuarat, tolong menolong, gotong royong dan hidup bermasyarakat. Hatta sebenarnya guru2 terpaksa menerangkan apa itu mesyuarat kepada budak2 yang berada pada tingkatan 1 - 3.  Jika mesyuarat tidak pernah dibuat maka bagaimana mereka berkomunikasi.  Mereka akan menjawab mereka menggunakan chat room seperti Instagram group atau WhatsApp group. 

Anak2 aku semua berada dalam generasi Z yang terkejut bila aku cerita tentang menggunakan Pos Malaysia untuk menghantar maklumat kepada ibubapa ketika aku berada di asrama dahulu. Jika aku mahu memberitahu ibuayah bila hendak balik ke rumah, maka surat akan medium perantaraan dan perlu dibuat sebulan sebelum hari untuk balik. Surat perlu formal, Bahasa persuratan anakanda dan ayahanda perlu kuat dalam ingatan. Anak2 aku hanya dengar seperti tidak percaya dan buat2 tidak dengar. Cerita itu bagi mereka seperti cerita zaman dinasour.

Anak2 aku bermula dari 2005 sehingga 2013 lahir dalam keadaan telefon pintar ditangan, maklumat boleh dicari dari  Google dan permainan yang diminta dari Darjah 1 lagi adalah PS 4 (playstation). Reaksi mereka terhadap sejarah amat memilukan. Semua cerita sukar mereka percaya dan perlukan aku untuk marah sebagai satu tanda cerita itu benar2 terjadi. Mungkin cerita tanpa video seperti YouTube membataskan kepercayaan mereka terhadap cerita2 sejarah.

Anak2 aku yang membesar Bersama Instagram mahu terus popular. Mencari follower yang terbanyak menjadi agenda paling penting. Mencari maklumat menjadi mudah pada mereka. Pendapat ayahibu boleh disangkal jika mereka lebih tahu. Aku bercerita tentang anak aku yang berumur 6 tahun dan bercerita tentang video streaming perihal hamster yang dia jaga. 

Aku tidak mahu ketinggalan dalam mendidik mereka. Sesekali aku ke bilik mereka cerita tentang keadaan aku sekitar tahun 1970 an, masa aku kanak2 dahulu. Bagaimana permainan2 aku main dahulu dan bila semua radio dan TV perlu ada lesen. Dan TV hanya hitam putih. Dan mereka mendengar dan tercengang seperti biasa. Aku terus bercerita sehingga hari ini.





Wednesday, April 24, 2019

Berhenti merokok di Tanah Suci

Merokok adalah salah satu tabiat buruk buat  aku.  Aku sudah mengerjakan umrah sebanyak 2 kali dan pernah merasa merokok di dua tempat paling suci bagi orang Islam iaitu di Madinah dan Mekah. Aku selalu bersorok untuk menghisap rokok supaya tidak di ketahui orang. Menyorok dan menghisap rokok mempunyai nikmat yang berbeza bagi aku. 

Aku merokok ketika isteri sudah tidur. Aku merokok hanya di tandas. Anak2 tidak ketahuan tentang perangai rokok aku ini. Aku merokok kuat hanya di pejabat. Tidak di rumah.

Telah beberapa kali percubaan untuk berhenti merokok selama lebih kurang 20 tahun merokok secara tegar.  Kegagalan untuk berhenti merokok adalah disebabkan persekitaran yang lunak mengajak kembali untuk merokok. Aku berhenti disebabkan batuk yang teruk tetapi hanya menukar jenis kepada yang lebih lembut. Mungkin niat untuk berhenti sebenarnya tidak ada di hati aku ketika itu. 

Bila diberi peluang untuk mengerjakan haji, aku melihat ini adalah masa untuk berhenti merokok. Persiapan berbeza dari pergi umrah sebelum ini.  Aku membeli 4 kotak rokok dan berniat hanya untuk merokok sebanyak 2 batang rokok sehari dan kemungkinan 4 x 20 = 80 batang rokok boleh bertahan selama aku ada di sana.

Perjalanan Haji selama 45 hari bagi aku adalah satu perjalanan rohani dan maksimum impaknya. Aku menyusun baju dan peralatan untuk kembara rohani ini supaya tidak terganggu bila hari mahu sampai nanti Bersama 4 kotak rokok tersorok di dalam beg jauh dari pengetahuan isteri.

Sesampai di Mekah (perjalanan Haji aku adalah secara Tamattuk melalui miqat di dalam Kapal terbang) bermulalah perjalanan untuk menunggu hari wukuf dimana satu maksud Hadis memberitahu ' Tiada wukuf tiadalah haji'.

Apabila malam menjelang, ketika kawan2 sebilik sudah tidur, aku akan keluar pergi ke kawasan tangga dan duduk sambil merokok di situ. Tangga itu ada sebuah tingkap melihat ke arah Jam Besar di kawasan Masjidil Haram. Aku akan merenung ke arah jam yang ada lambang bulan dan bintang.  Aku menghisap rokok di situ dan menghisap rokok sehingga aku rasa mahu tidur.  Dan ini berulang sehingga beberapa hari.  Tiada kawan2 bilik yang tahu tentang aktiviti aku itu.

Peristiwa ajaib berlaku adalah 4 kotak yang aku jangkakan habis dalam masa 45 hari terus habis dalam hanya 5 hari. Dan aku tiba-tiba keputusan rokok. Niat untuk berhenti masih tiada dalam hati aku. Aku mula mencari2 sesiapa yang boleh memberikan aku rokok. Mencari benda2 begini selalu senang bila berjumpa dengan perokok tegar yang lain.

Percubaan untuk berhenti masih tidak singgah dalam hati aku. Rokok pertama yang dibeli dari pekerja hotel tidak mencapai standard yang aku mahu.  Aku mula menukar jenis rokok untuk mencari nikmat menghisap. Tetapi rasa pelik menghisap rokok di sana membuatkan aku mengurangkan merokok di Mekah.  Perjalanan hari ke waktu wukuf terus berjalan dan rasa nikmat merokok makin berkurangan. Dan sampailah ke hari untuk berwukuf. Dan entah mengapa selama aku berwukuf dan berada di Mina untuk melontar, perasaan untuk merokok terus hilang dan benci pula timbul.

Dan Alhamdulillah sehingga aku menulis ini dari kerja haji 2014, aku masih kekal tidak merokok.

Tuesday, April 16, 2019

Orang biasa dan Pemimpin berbeza berhukum dalam Islam

Kadang2 kita berfikir beragama mesti sama untuk berhukum secara keseluruhannya. Orang biasa dan pemimpin di Malaysia perlu berbeza di dalam berfikir tentang Islam.  Islam merahmat seluruh alam. Baik Muslim ataupun yang bukan muslim/yang belum muslim.

Berbeza membuat hukuman atau meletakkan hukum fiqh pada sesuatu memberikan perbezaan besar pada manusia. Contoh:- Seorang sami Buddha datang ke stesyen minyak dan meminta kita derma untuk membesarkan kuil Buddha mereka. Kita diharuskan memberi derma atau mengikut pandangan yang ekstrem dikatakan haram memberikan sebarang derma. Bagaimana pula dengan pemimpin masyarakat yang didatangi oleh orang yang sama? Sebagai pemimpin dia wajib pula memberikan bantuan di dalam kaedah izin tapi tidak redho. Izin dan redho berbeza. 

Contoh untuk Izin dan Redho seperti memberikan keizinan untuk membuka kedai arak. Sebagai pemimpin terpaksa memberikan keizinan untuk itu tetapi tidak boleh redho didalam hati. Ini hokum fiqh yang perlu kita faham.   

Didalam suasana beragama di dalam negara yang berbilang kaum, berhukum berbeza adalah merahmati kehidupan seluruh alam.
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     

Tuesday, April 2, 2019

Pencen Awal


Pencen atau tidak lagi bekerja melibatkan beberapa dilemma kepada seseorang. Tidak lagi menerima duit gaji dan masih menanggung hutang yang banyak antara dilemma paling berat. Tetapi banyak orang yang memikirkan tentang bagaimana mahu pencen awal atau berhenti kerja awal. Hutang sudah tiada dan duit sudah banyak dalam simpanan adalah salah satu kemestian untuk pencen awal.

Kajian dibuat pada orang2 yang pencen sudah muak diketahui. Orang pencen tidak tahu menjaga duit simpanan kerana masih berhutang, orng pencen terus bekerja kerana masih menanggung hutang dan duit pencen yang mereka dapat tidak cukup. Cerita itu habis begitu dan pendakwah kita mengharapkan mereka selalu ke masjid apabila pencen. Banyak orang faham cerita yang begini dan walaupun sudah dicanai semahunya masalah orang pencen masih terus terjadi.

Kajian tentang pencen awal pula dan tidak perlu kerja juga pernah dibuat pada beberapa orang. Ada yang pencen seawal 30 an lagi.  Dan kajian ini mengambil kira orang yang pencen awal di bawah 45 tahun. Jangan terkejut kerana mereka ini adalah jutawan ciptaan teknologi yang tiba2 kaya. Mereka mencipta applikasi dan menjual pada Google dengan harga yang tidak masuk akal. Tiba2 dalam akaun mereka ada berjuta duit.  Beberapa orang ini tiba2 merasakan ini masa untuk pencen awal. Maka kajian ini memberitahu beberapa cerita tentang pencen awal. 

Orang yang pencen awal akan mengalami beberapa revolusi dalam kehidupan mereka, Peringkat satu - 6 bulan pertama mereka akan kehilangan rakan2 perniagaan mereka. Mereka tidak pandai bersosial dan hanya menggunakan applikasi di tangan untuk bercakap. Peringkat ke 2 selepas itu diantara 6 - setahun setengah, mereka sudah tidak pandai bersosial dan tidak boleh bercakap di khalayak ramai. Peringkat ini menyebabkan mereka terasa terlalu jauh dari orang dan mula mendekati orang2 dengan cuba kembali bekerja. Dan kerja yang mampu mereka pilih adalah kedai 24 jam atau restaurant makanan segera. Mereka bekerja bukan mahu mendapat duit kerana mereka masih banyak duit tetapi mereka cuma mahu bersosial. - ini tidak berlaku di Malaysia





Sunday, March 31, 2019

Kapal rosak

Ada sebuah cerita tentang kapal laut yang tidak dapat bergerak walaupun setelah diperbaiki oleh engineer2 yang bertauliah didalam kapal. Captain Kapal naik marah.  Habis semua orang disemburnya. Lalu dia membuat satu keputusan untuk membuka tender kepada siapa yang dapat membetulkan kapal yang tidak boleh bergerak itu. 

Habis satu negara technician dan engineer datang cuba membetulkan kala tersebut tapi gagal. Captain Kapal sudah marah tahap tinggi.  Dia membuka satu tawaran lagi iaitu kepada siapa sahaja yang dapat membetulkan kapal sehingga ia bergerak akan dibayar keseluruhanya.

Bila tawaran telah keluar dalam surat khabar, maka berduyun2 orang biasa datang. Peluang diberikan dan mereka hanya ada satu peluang dan diberikan hanya 15 minit masa untuk menyelesaikan masalah tersebut.  Pada hari-hari selepas itu, datang seorang pemuda yang bertugas sebagai pembaiki kereta yang juga ingin mencuba nasib.  Dia naik ke kapal dan berjalan ke arah tengah kapal dan terus ke enjin tengah.  Dia minta penukul dan mengetuk beberapa tempat dan minta enjin dimulakan.

Enjin berbunyi dan kapal seperti sudah elok seperti sedia kala. Captain kapal berjumpa dengan pemuda dan meminta invoice dibuat supaya pemuda dapat dibayar.  Pemuda mengeluarkan invoice dan menulis RM100,000 untuk kerja yang berjaya dilakukan. Captain Kapal terkejut dan minta pemuda memberitahu secara terperinci. Pemuda itu memberitahu bahawa - Kos untuk penukul adalah RM20 dan kos untuk ketuk dimana adalah RM99,980-00.

Apa moral cerita di atas?

Gaji Pertama

Terkejut hari ini kerana dapat surat dari Google AdSense. Aku mungkin dapat gaji pertama dari Google AdSense sebab blog ini. Menulis sebenarnya memerlukan ketekunan yang luar biasa.  Aku ada berkawan dengan seorang penulis sepenuh masa yang membaca dan menulis adalah kerjaya tetap dia. Aku menulis sekadar hiburan dan memenuhi masa terluang.  

Bila aku baca beberapa post terdahulu.  Nilai sejarah yang tertulis menjadi sangat mahal pada aku.  Aku dikira sebagai seorang yang kuat ingat dan masih mampu berfikir dengan aktif. Cerita tahun 1980an masih kekal segar dalam ingatan aku kerana aku kerap menulis tentang masa itu.

Cerita tentang asrama Tun Dr Ismail di Kampung Pandan tahun 1980an menjadi cerita aku tentang Kuala Lumpur.  Cerita tentang bas mini, cerita tentang Benteng, cerita tentang pawagam dan lain2. Aku senyum seorang hari ini dengan surat dari Google AdSense.  Gaji pertama aku dalam Dollar USD9.82  

Tuesday, January 15, 2019

Cuti ke Surabaya 2 - 7 Disember 2018


Cerita bercuti ke Surabaya adalah ulangan percutian pada tahun 2016.  Kali ini aku sekeluarga bersama 3 keluarga lain sebelah isteri aku akan bercuti pula.  Kami menempah kapal terbang AirAsia untuk ke Surabaya dan menempah 6 Malam di hotel yang sama iaitu Hotel Elmi yang berada dalam kawasan bandar.

Perjalanan bermula pada siang hari dan kapal terbang kami akan bergerak pada 2.10 pm dari KLIA2. Satu keluarga lagi terpaksa mengambil kapal terbang yang kemudian kerana lambat menempah kapal terbang kami. Kami tiba di Surabaya Airport Juanda sekitar 4.45 pm waktu Indonesia.  Perjalanan 2 jam 45 minit tidak terasa kerana mungkin keseronokan. Kami menunggu di Airport hampir 3 jam kerana kapal terbang yang selepas itu tertunda lebih dari 2 jam.

Rombongan kali ini sebanyak 7 Dewasa dan 9 kanak2. Aku macam seorang yang pemandu pelancong kerana kalau dikira ini sudah sebanyak 3 kali rombongan besar aku bawa. .

Elmi Hotel


Tiba di Elmi Hotel, hari sudah jauh malam.  Kami semua tidur dan aku berpesan semua tentang sarapan esok sekitar 6 pagi dan perjalanan ke Batu Malang akan bermula pada pukul 7 pagi.

Hari Ke 2

Perjalanan ke Batu Malang bermula dengan mengharung kesesakan jalan yang teruk kerana orang sudah mula hendak bekerja. Kesesakan ini bagi aku lebih teruk dari tahun 2016 dan pemandu kami pada hari itu mengiakan kerana disebabkan Surabaya dikira bandar terbesar selepas Jakarta maka penghijrahan orang terlalu ramai ke Surabaya. Perjalanan ke Batu Malang lebih dari 3 jam walaupun mengikut peta hanya 140 km.


Kami sampai ke Batu Malang tempat pertama adalah tempat memetik buah epal.  Sebenarnya program memetik epal tidak termasuk dalam program aku kerana aktiviti ini akan melambatkan perjalanan harian aku tetapi permintaan ahli rombongan perlu diambil kira.  Dengan membayar sebanyak Rp35,000 atau RM10, kami diberi kebebasan untuk makan sepuasnya di dalam kebun tetapi jika membawa balik maka akan dikenakan charge sebanyak Rp100,000 atau RM30 sekilo.


Selepas itu kami bergerak ke Museum Angkut.  Pada tahun 2016 aku sekeluarga pernah ke sini tetapi disebabkan masa tidak mengizinkan kami bergerak terlalu pantas di dalam Museum itu.  Peluang kali kedua ini perlu diambil kerana Museum Angkut ini bagi aku sudah sekelas dunia.  Setiap yang masuk perlu membayar Rp100,000 atau RM30 dan kami ada passport untuk mendapat diskaun sebanyak 30% iaitu Rp75,000 atau RM20 sahaja. 



Kami menghabiskan masa sekitar 3 jam di dalam Museum itu.  Jam sudah menunjukan 3 petang.  Kami perlu ke satu tempat lagi iaitu JATIM Park 3 yang baharu dibuka pada tahun 2017. Kami memilih The Legend Star dengan tiket sekitar Rp70,000 atau RM20.  Park ini memberikan pandangan berbeza tentang Indonesia.  Semua Presiden Indonesia disatukan di sini dengan patung lilin dan pemimpin2 dunia. Bukan sahaja Pemimpin dunia malah ahli sukan, pelakon hollywood, istana2 seperti White House dan Istana Bogos (replika) boleh didapati di sini. Bayaran sebanyak Rp70,000 sangat berbaloi dan murah bagi aku.


Aku dan Enstien

Kami keluar dari The Legend Star sekitar jam 7.00 malam.  Kami sudah penat dan perjalanan untuk kembali ke hotel adalah dinanti2kan. 

Bersama artis Hollywood


Di India


Hari ke 3

Kami sepatutnya bersiar2 di bandar dengan pemandu yang sama.  Aku menyewa Suzuki Elf dengan pemandu sebanyak Rp2.5 juta atau RM700 untuk 2 hari - Ke Batu Malang dan bersiar2 di Kota Surabaya. Setelah berbincang dengan pemandu, aku meminta untuk berihat sehari kerana ahli rombongan penat dan memerlukan rehat yang cukup. 


Tetapi walaupun berehat, aku memberitahu bahawa aku dan keluarga akan ke Transtudio Mini di Rungkut seperti Transtudio di Bandung.  2 keluarga bersetuju untuk ikut dan kami bergerak dari Hotel agak lambat selepas pukul 8 pagi.  

Di Transtudio, hanya permainan budak2 yang ada.  Ibubapa hanya perlu keluarkan duit untuk memastikan anak2 terhibur.  Sekitar tengahari, kami bergerak ke Mall yang berdekatan untuk membeli belah.  Selepas itu kami terus ke Hotel untuk berihat.

Malam hari, aku dan isteri berdua sahaja keluar untuk makan malam. Kami menggunakan shuttle yang percuma yang diberikan oleh pihak hotel.  

Makan malam aku - Sup Buntut


Hari ke 4

Selepas bersarapan, perjalanan bersiar2 bermula dengan pemandu yang sama ke Batu Malang.  Aku memberikan itteneri untuk diikuti.  Perjalanan pertama adalah ke Jambatan Sura Madu - jambatan yang menhubungkan Surabaya dengan Madura. Dahulunya jambatan itu dikenakan tol dan menyebabkan pada tahun 2016 dulu, pemandu aku tidak berminat untuk ke Madura melalui Jambatan itu. Sekarang disebabkan tiada tol lagi maka perjalan ke Madura bagi aku adalah sesuatu yang baru.


Setelah melepasi Jambatan Sura Madu, pemandu memberhentikan bas ditepi jalan untuk memberikan peluang pada rombongan untuk membeli belah dengan orang2 Madura. Orang2 Madura ini adalah diketahui yang pertama datang ke Malaysia. Mereka agak kasar dan boleh dilihat dengan cara mereka menjual. Aku dan keluarga agak biasa dengan jual2an memaksa ini.


Suasana di jalan Masjid Ampel

Perjalanan ke 2 adalah ke Masjid Ampel. Pada tahun 2016, disebabkan pemandu aku seorang yang berkumpulan dengan Muhamadiah, dia seperti tidak suka membawa rombongan ke Masjid Ampel kerana disitu bagi dia terlalu banyak karut marut seperti menyembah kubur dan memohon sesuatu pada kubur. Masjid Ampel ini adalah seperti kawasan orang2 Arab awal ke Indonesia. Satu jalan ke Masjid Ampel itu penuh dengan jual2an seperti jubah, tudung, minyak atar, kurma dan seperti di Mekah layaknya.  Kami tidak pergi hingga ke dalam Masjid Ampel untuk melihat kubur Wali Sembilan yang gah itu.


Perjalanan seterusnya adalah Pasar Atum - tempat beli belah yang tersohor di Surabaya. Hampir semua yang ada di Indonesia ada di situ. Setelah lebih dari 3 jam di Pasar Atum, rombongan mengambil keputusan untuk balik ke hotel kerana sudah penat.  Hari masih siang dan aku meminta pemandu singgah ke Kebun Binatang untuk menunjukkan simbol Surabaya iaitu  Sura (jerung) dan Boyo (buaya). Setelah itu kami kembali ke hotel dan berihat.

Hari Ke 5

Hari kebebasan pada semua.  Anak2 dibenarkan mandi kolam renang dan pada hari kami datang sehingga hari Rabu itu, kolam itu seperti sedang diperbaiki dan tidak boleh digunakan.  Anak2 hanya mengeluh dan aku menjadi sasaran marah anak2. Kolam renang dan hotel mempunyai ikatan amat kuat pada anak2 aku.


Tengahari itu aku sekeluarga pergi ke Jembatan Merah (satu mall yang menjual pakaian).  Kami menghabiskan masa di situ sehingga pukul 4 petang.  Kami balik ke hotel dan menyambung mandi di kolam lagi.

Hari ke 6.

Hari ini adalah hari terakhir di Surabaya.  Elmi hotel memberikan perkhidmatan shuttle ke Airport amat memudahkan perkiraan aku. Aku tidak perlu mencari teksi.  Kapal terbang kami akan bergerak pada pukul 3 petang dan sampai ke KLIA2 pada pukul 6.45 petang.  



Kami sampai ke rumah pada pukul 9 mlm setelah makan di Dengkil dengan selamatnya. Perjalanan ke Surabaya kali ini juga menyimpan 1000 kenangan yang anak2 aku tidak akan lupa.