Yang selalu jengok

Wednesday, December 31, 2014

Himpunan Hujjaj 1435 di Kelana Jaya

Hj Ikhwan, Aku, Hj Roslan dan Hj Aziz
Selepas habis musim haji dan seluruh Haji dan Hajjah telah berada di Malaysia, Tabung Haji (TH) akan mengadakan satu himpunan Hujjaj di tempat mana2 yang pernah mengadakan kursus Asas Haji. Aku telah dipanggil untuk ke Masjid Raja Tun Uda Klang pada 11/12/2014 hari Khamis cuti kelahiran Sultan Selangor. Tetapi aku memilih untuk ke TH Kelana pada 23/11/2014 dimana aku mengadakan Kursus Asas Haji dahulu.  Pasti beberapa orang yang aku kenal akan berada di sana. Kawan2 dari KT34 juga aku jemput untuk berjumpa yang semuanya dari Selangor.  Peluang berjumpa ini tidak boleh aku lepaskan.

Hj Shahril dan Hj Aziz dari KT34 
Himpunan ini diadakan untuk mengisi ruang para hujjaj, melihat kembali seluruh pekerjaan Haji pada 1435 dan menyorot kenangan semasa mengerjakan haji oleh para Hujjaj.  Bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pada 12 tengahari.  Akan dipanggil beberapa Hujjaj dan akan bercerita tentang pekerjaan haji dan pengalaman mereka.  

Majlis bermula dengan ucapan dari wakil TH dan diikuti dengan sessi menceritakan pengalaman di Mekah oleh para Hujjaj. 3 orang Hujjaj telah memberikan ucapan dan pengalaman masing2 menyorot kenangan Haji pada 1435.  Fitri yang membuat kisah di TV3 tentang 30 Haji juga salah seorang Haji pada tahun ini menjadi salah seorang pencerita pada hari itu.  Dia juga berada bersama aku di Hotel Abraj Janadriyah Mekah. Seorang dari pada Haji dan seorang dari Hajjah memberi ucapan yang amat sayu dan sebak.  Suasana pagi di TH Kelana Jaya amat berlainan kerana yang hadir mempunyai 1001 cerita yang mahu dikongsikan.  Senang air mata mengalir pada pagi itu. Perkara ini bukan boleh berulang dengan senang.  Setiap orang mempunyai cerita dan setiap orang berlainan cerita.

Aku dan Hj Aziz
Majlis berakhir dengan tazkirah oleh seorang Ustaz muda.  Bercerita tentang mengekalkan kemabruran Haji.  Apa yang patut kita kekalkan selepas kembali ke Tanah Air. Menunggu waktu solat bukan melambatkan waktu solat, merasa gundah tidak solat berjamaah dan pengisian membaca Al Quran.  Aku dan isteri sentiasa berdoa supaya kami beristiqamah.  

Nasihat aku - jangan mencari2 benda pelik bila di Mekah dan menanti benda ajaib baru iman meningkat. Beramallah kerana pekerjaan haji adalah Rukun Islam yang ke 5.



Thursday, December 25, 2014

Bergurau senda di Makkah

Suasana menuju pagi di Makkah

Ada orang terlalu serius di Mekah.  Aku kadang2 takut nak bersembang dengan orang2 macam tu. Buat lawak dia tak ketawa.  Cerita sikit dia buat muncung.  Cerita banyak dia lari.  Bagi dia ini adalah lagho (buang masa).

Nabi Muhammad SAW juga bergurau.

Anas bin Malik berkata bahawa Rasulullah SAW pernah berkata kepadanya yang maksudnya:

“Wahai pemilik dua telinga.”  (HR at-Tirmidzi dan Abu Daud) – Hadith ini bertaraf sahih.

Rasulullah memanggil Anas begitu kerana Anas merupakan seorang pendengar yang baik.  Ketika itu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam sedang bergurau dengan Anas.

Anas bin Malik juga berkata yang maksudnya:

“Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bergaul rapat dengan kami, sehingga Baginda pernah berkata kepada adikku yang masih kecil dengan berkata:  “Wahai Abu `Umair, apakah yang sedang dilakukan oleh nughair (sejenis burung yang berparuh merah?””  (HR al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf sahih.

Abu Hurairah berkata yang maksudnya:

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kamu bergurau dengan kami?”  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menjawab, “Aku tidak pernah berkata perihal yang tidak benar.”  (HR at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf hasan.

Anas bin Malik berkata yang maksudnya:
Ada seorang lelaki meminta kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam supaya dibawa menaiki tunggangan.  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam berkata kepada lelaki itu, “Aku akan beri kamu menunggang anak unta betina.”  Lelaki itu berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang dapat aku lakukan dengan anak unta betina?”  Lalu dijawab oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, “Bukankah unta betina yang melahirkan unta yang lain?””  (HR at-Tirmidzi dan Abu Daud) – Hadith ini bertaraf sahih.

Anas bin Malik melaporkan yang maksudnya:
Ada seorang lelaki dari kampung yang bernama Zahiran.  Pada suatu hari, beliau datang menemui Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan membawa hadiah dari kampungnya.  Apabila beliau pulang, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam memberi pun bekal kepadanya.  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam berkata, “Zahiran adalah kampung untuk kita dan kita adalah kota untuknya.”
Kita dibolehkan bergurau senda tetapi jangan berlebih-lebihan. Kenapa? Kerana ia akan mengundang banyak ketawa. Dan banyak ketawa akan mematikan hati. Dan mungkin akan menjatuhkan maruah diri. Kata Imam Ghazali,

“Adapun berlebih-lebihan pada bergurau, maka akan mempusakai banyak tertawa. Dan banyak tertawa itu mematikan hati dan mewarisi kedengkian pada sesetengah keadaan. Dan menjatuhkan kehebatan diri dan kemuliaan. Dan apa yang terlepas dari hal-hal tersebut, maka tidak tercela, sebagaimana diriwayatkan dari Nabi S.A.W. bahawa baginda bersabda:


Maksudnya: “Sesungguhnya aku bersenda gurau dan aku tidak mengatakan, selain yang benar.” 


Pembinaan masih berterusan

Tapi yang aku nak cerita ini bukan gurauan yang dibuat2 tetapi memang takdir Allah menentukan segalanya.  Kami sebilik merancang untuk ke Masjidil Haram pada pagi itu untuk bersolat Zohor nanti.  

Semua bersiap untuk keluar dari bilik.  Sebelum keluar semua berpesan untuk tinggalkan kunci di kaunter hotel.  Semua keluar dan pergilah ke Masjidil Haram seperti biasa.  Habis solat Zohor, semua kembali ke Hotel untuk makan tengahari.

Tanpa disedari rupa2nya salah seorang dari kami masuk ke tandas dan yang terakhir keluar telah mengunci pintu macam biasa.  Terkunci di dalam bilik bermaksud tidak boleh keluar sehingga ada orang yang buka pintu.  Mungkin beberapa jam kerana yang pergi ke Masjidil Haram selalunya sekitar 1 atau 2 jam lebih awal sebelum Zohor.

Nasib menyebelahi orang yang terkunci kerana salah seorang dari kami bersolat di surau Hotel. Pintu dibuka selepas sejam ditinggalkan.  Semua ketawa kerana bukan ada sesiapa yang merancang untuk menguncikan orang tetapi takdir Allah penentu segalanya.


Wednesday, December 24, 2014

Mengetuk Pintu Masjid Nabawi

Aku mengetuk pintu Masjid Nabawi
Aku berada di Masjid Nabawi, Madinah Al Munawwarah pada 15/10/2014 sehingga 24/10/2014.  Ini bukan kali pertama aku ke sini.  Termasuk kali ini sudah 3 kali aku mengunjungi di mana Rasulullah SAW dimaqamkan.  Bagi aku di sini adalah kota air mata aku.  Sudah kesekian kali aku ke sini, air mata tak pernah kering dan entah mengapa air mata jadi murah sangat di sini.   
Kota air mata - murah sangat air mata ini
Suasana di Madinah pada ketika itu seperti di Malaysia bukan seperti ketika bulan haji bermula. Wukuf Haji pada 5/10/2014 dan sebelum itu ikut kata orang yang datang melalui Madinah, panas pada awal datang dulu adalah sehingga 48% celcius.  Sekarang mengikut kata Tabung Haji panas hanya 37% - 39% sahaja.
Selesai solat Isyak hari pertama 15/10/2014
Aku dan isteri akan berada disini lebih kurang 10 hari (tolak waktu perjalanan mungkin jatuh 9 hari separuh sahaja).  Ukurannya disini maka 40 waktu InshaAllah dapat iaitu jika dikira waktu wajib untuk 8 hari maka 40 waktu menjadi senang.  Tetapi kena ingat ia tidak termasuk jika kita sakit atau perempuan yang datang bulan.  Alhamdulillah perjalanan kami dari Mekah cepat sekitar 5 jam dan kami sampai kira2 2 jam sebelum Magrib 15/10/2014.  Kiraan 40 waktu kami akan bertambah InshaAllah.

Apa istimewanya Masjid Nabawi ini.  Ini adalah masjid yang dikatakan dalam hadis Rasullullah SAW 

Dari Abu Hurairah RA dari Nabi Muhammad SAW  bersabda : "Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid) kecuali (pergi) ketiga-tiga buah masjid ( yang berikut ) : Masjidil Haram di Mekah, Masjidir Rasul ( Masjidi an-Nabawi di Madinah ) dan Masjidil Aqsa  di Palestin." Hadis Al-Bukhari


Dalam Hadis lain,

Dari Abu Hurairah RA Rasulullah SAW telah bersabda "Melakukan sekali sembahyang di dalam masjidku ( Masjidil Nabawi di Madinah ) ini adalah lebih baik daripada 1,000 kali sembahyang dalam masjid yang lain melainkan Masjidil Haram."

Berada di masjid Nabawi memang terlalu aman.  Orang2 yang datang seperti terikut2 dengan rentak orang yang tinggal di Madinah.  Baik dan bertegur sapa.  Mungkin kebaikan ini sama seperti dulu ketika Rasullullah ingin berhijrah ke Madinah (nama lama bagi Madinah adalah Yathrib).  Membaca Al Quran menjadi satu benda yang biasa di dalam masjid.  Al Quran disusun di setiap tiang dan ada penjaga yang memastikan semua Al Quran itu model yang sama. (tali tandanya mesti berwarna kuning)
Al Quran yang memakai tanda tali kuning

Pada waktu musim haji ini, pembelajaran Al Quran hampir berada pada setiap tiang di tengah2 Masjid Nabawi.  Aku turut bersama meraikannya.  Ada yang mendengar hafalan dan ada yang membetulkan bacaan.  Setiap kali habis solat wajib, kuliah Al Quran akan bermula.  Berkumpullah semua yang mahu belajar dan didengari oleh sheikh2 yang dilantik.  Ini semua percuma. Bacaan Al Fatihah aku perdengarkan pada sheikh2 yang ditugaskan mengajar di Masjid Nabawi.  Beberapa hari aku duduk bertalaqqi dengan sheikh2 ini.  
Salah seorang oengajar Al Quran yang pandai berbahasa Inggeris dan Arab pastinya
Dan satu ketika aku duduk bertalaqqi dengan seorang pengajar Al Quran.  Aku mempendengarkan bacaan untuk beberapa surah lazim dan dia seronok dan berkata orang Malaysia mempunyai lidah yang pandai meniru.  Aku mengiakan.  Dia mengeluarkan minyak wangi dari koceknya dan menyapu minyak wangi pada aku.  
Sheikh Mansur mengeluarkan minyak wangi untuk aku - MashaAllah
Aku juga mengambil peluang berjalan sehingga ke tingkat atas Masjid Nabawi.  Hanya kaum lelaki dibenarkan berada di atas.  Kuliah agama juga berada di atas.  Ketika aku berada di atas kuliah agama dalam bahasa Bangladesh sedang berjalan.  Aku berjalan hampir ke seluruh bahagian atas.  Melihat keliling bandar Madinah dari pandangan atas Masjid Nabawi.

Tingkat atas Masjid Nabawi, Madinah Al Munawwarah
Bukan di atas sahaja ada kuliah agama, Banyak kumpulan2 dibuat di dalam masjid meraikan pembelajaran agama. Sheikh2 tua akan memberi syarahan dari atas kerusi untuk satu kelompok jemaah.   Aku diberitahu kuliah dalam bahasa Indonesia juga terdapat dalam Masjid Nabawi selepas waktu Magrib.  
Kuliah Agama di tingkat bawah
Yang pastinya bila bercerita tentang Masjid Nabawi, Rhaudah menjadi tempat paling afdal untuk berdoa.  Dengan ramainya orang pada waktu musim haji ini, waktu menunggu untuk masuk ke Rhaudah menjadi panjang.  Alhamdulillah, susunan menunggu menjadi senang jika tiada yang tolak menolak dan berebut2.


Masjid Nabawi ini akan pasti aku rindui sampai bila2.  Dan yang paling aku rindu adalah menemui Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW.  Ini adalah amalan terpenting apabila melawat Masjid Nabawi kerana ada hadis tentang melawat Rasullullah SAW.

Sabda Rasulullah saw, “Barangsiapa pergi haji kemudian ziarah ke maqamku setelah aku wafat maka seakan-akan ia telah mengunjungiku sewaktu aku masih hidup“.

Maqam Rasullullah SAW dan 2 Khalifah selepasnya Abu Bakar As Siddiq dan Umar Al Khattab
Cerita tentang payung yang terbuka sendiri memang aku kena cerita.  Aku yang berada lebih dari 3 hari di Masjid Nabawi pasti tahu bila waktu payung2 besar yang meneduhkan ini berkembang.  Ia akan bermula pada waktu sharooq (waktu keluar matahari sekitar 6 am waktu Arab Saudi). Perubahan2 ini dinantikan untuk dirakam.  Ia akan mula ditutup pada waktu sebelum Magrib. Payung yang didalam pula akan dibuka selepas Maghrib.



Ini waktu tengahari - payung sudah berkembang
Aku pasti sangat sesiapa yang pernah berkunjung ke Masjid Nabawi, perasaan untuk ke sana bukan hanya cerita mulut sahaja.  Rindu ingin menemui Rasulullah SAW dan berada di Raudhah. Berdoalah kita supaya diberikan kesempatan untuk ke sana lagi dan selalu letak hati untuk ke sana, InshaAllah.




Sunday, December 21, 2014

Mencari Nikmat sakinah di Masjidil Haram

Gambar diambil dari Hotel Abraj Janadriyah.  Melalui stesyen bas dan melalui Babul Salam dan Babul Marwah.

Pergi ke Masjidil Haram setiap hari menjadi impian aku.  Apa tah lagi setiap waktu solat. Apa kita dapat kalau setiap waktu solat berimamkan Imam Masjidil Haram? Ini selalu keluar dalam persoalan benak hati setiap para Hujjaj. Aku rasa hampir pasti 100% para Hujjaj berniat seperti aku juga.

Banyak perkara yang boleh kita capai bila bersolat di Masjidil Haram dan lebih2 lagi bila musim Haji. Aku cuba istiqamah dan ini tidak tercapai dek kelemahan aku sendiri. Sewaktu awal aku tiba di Mekah, hati sudah berniat untuk setiap hari pergi ke Masjidil Haram. Jarak 800 meter dan dari pinggir hotel Abraj Janadriyah, Masjidil Haram sudah terpampan di mata. Sayup, berdebu dan panas awalnya tidak menghalang kaki aku untuk ke masjid itu. Setelah 800 meter, pintu yang aku masuk belum lagi di kira masjid kerana berada di laluan Safa dan Marwah. Jarak antara keduanya adalah 450 meter.  Ini perlu diseberangi sebelum masuk ke Masjidil Haram.

Tempat Saie ini belum dikira masjid lagi

Macam2 Arab Saudi buat untuk memastikan jemaah Haji mendapat keselesaan untuk ke Masjidil Haram,  Seusai aku tiba di Mekah perjalanan ke Masjidil Haram panas matahari tanpa lapik terus ke kepala.  Kira2 2 minggu setelah tiba, jalan ke Masjidil Haram telah dibuat lorong dan berbumbung. Di tempat itu juga disediakan kipas yang berpusing 24 jam, berlampu dan mesin air secara percuma untuk menghilangkan dahaga.

Kawan2 sebilik mungkin aku kena hormat dan tabik dengan istiqamah mereka.  Aku mengira2 mungkin tanpa hilang satu masa pun mereka tidak ke Masjid.  Aku kadang2 hanya solat Suboh di Masjidil Haram atau Maghrib dan Isyak sahaja di situ.  Selebihnya aku akan bersolat di surau hotel. Ini bagi aku kekuatan iman dan fizikal dan ditambah dengan sakinah Allah SWT.

Aku tahu bahawa musim haji ini fizikal dan rohani diri kena bersedia.  Isteri aku sudah mencadangkan sebuah 'station' basikal untuk aku menaikkan metabolisma dalam diri sebelum ke Mekah.  Seusai January 2014, basikal ini sudah ada di rumah aku.  Setiap malam untuk 2 minggu yang pertama,  basikal ini menjadi teman sebelum tidur.  Dan akhirnya basikal itu kembali keseorangan bila aku mula malas bersenam. 

Persedian diri ini bukan main2.  Kekuatan berada di Mekah, Arafah, Muzdalifah dan Mina perlukan kekuatan yang bukan biasa.  Lelah mengah atau sakit tulang boleh membantutkan pergerakan fizikal seseorang.

Hj Azman dan Hj Wan memang kuat semangat tentang kehadiran ke Masjidil Haram setiap wakku. Mereka akan pergi dan balik hampir setiap waktu kecuali Maghrib dan Isyak yang waktunya singkat di mana Maghrib pada pukul 6.15 pm dan Isyak pada pukul 7.32 pm.  Aku selalu tertanya bagaimana mereka boleh istiqamah? Ini memerlukan latihan sebelum ke Mekah lagi.  

Aku, Hj Azman dan Hj Wan
Soalan tadi masih tidak berjawab. Apa kita dapat pergi bersolat setiap waktu ke Masjidil Haram? 

Pertama mendapat pahala iktikaf.



Kedua kita dapat bersolat tahiyatul masjid.  Kalau berada di antara Safa dan Marwah masih tidak dikira di dalam masjid lagi.


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

 .
Solat Sunat Tahiyatul Masjid ialah solat sunat mu’akkad‘selamat datang’ bagi menghormati masjid yang dilakukan sebanyak dua rakaat sebaik sahaja memasuki masjid, iaitu sebelum seseorang itu duduk atau melakukan sesuatu yang lain.
.
Sabda Rasulullah SAW: “Apabila salah seorang di antara kamu mendatangi/memasuki masjid, maka janganlah duduk sebelum mengerjakan solat dua rakaat.”(Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim)
.
Dalam sebuah riwayat yang lain disebutkan, “Jika salah seorang di antara kamu memasuki masjid, hendaklah dia tidak duduk hingga mengerjakan solat dua rakaat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ketiga Solat Jenazah
Hampir setiap waktu solat jenazah dilakukan di Masjidil Haram.  Kira2 4.5 juta orang yang berada di Mekah untuk mengerjakan Haji, kematian tidak boleh dielakkan. 
Lihatlah hadis-hadis Rasulullah SAW yang disenaraikan di bawah ini tentang solat jenazah

عن أَبِي هُرَيْرَةَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : { مَنْ شَهِدَ الْجِنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ } قِيلَ وَمَا الْقِيرَاطَانِ قَالَ : " مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ " مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda ; Sesiapa yang menyaksikan jenazah serta turut serta menyembahyangkannya, maka dia mendapat 1 qhirat. Dan sesiapa menyaksikannya sehingga turut serta semasa mengkembumikannya, maka dia mendapat 2 qhirat. Lalu ditanya ; Apakah 2 qhirat itu ? Baginda menjawab : Pahala seperti 2 gunung yang besar. Muttafa'un 'alaihi.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ « مَنِ اتَّبَعَ جَنَازَةَ مُسْلِمٍ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا ، وَكَانَ مَعَهُ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا ، وَيَفْرُغَ مِنْ دَفْنِهَا ، فَإِنَّهُ يَرْجِعُ مِنَ الأَجْرِ بِقِيرَاطَيْنِ ، كُلُّ قِيرَاطٍ مِثْلُ أُحُدٍ ، وَمَنْ صَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ رَجَعَ قَبْلَ أَنْ تُدْفَنَ فَإِنَّهُ يَرْجِعُ بِقِيرَاطٍ » . رواه اِلْبُخَارِيِّ
Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda ; Sesiapa yang bersama (ziarah) jenazah seorang muslim dengan penuh perasaan keimanan, dia tetap ada bersama mayat sehinggalah mayat tadi disolatkan dan turut serta sehingga selesai ia dikebumikan, maka dia pulang dengan mendapat 2 qhirad. Setiap satu qhirat ganjarannya sama seperti gunung Uhud. Dan sesiapa yang solat jenazah, kemudian dia pulang tanpa menunggu sehingga mayat tersebut dikebumikan, sesungguhnya dia hanya mendapat 1 qhirat sahaja. Hadis riwayat Bukhari. 

مَنْ خَرَجَ مَعَ جَنَازَةٍ مِنْ بَيْتِهَا وَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ تَبِعَهَا حَتَّى تُدْفَنَ كَانَ لَهُ قِيرَاطَانِ مِنْ أَجْرٍ كُلُّ قِيرَاطٍ مِثْلُ أُحُدٍ وَمَنْ صَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ رَجَعَ كَانَ لَهُ مِنَ الأَجْرِ مِثْلُ أُحُدٍ .رواه ِمُسْلِمٍ
Sesiapa yang keluar mengiringi jenazah dan solat ke atas jenazah tersebut, kemudian dia terus mengikut jenazah tersebut sehingga ia dikebumikan, maka dia akan mendapat pahala 2 qhirat di mana setiap qhirat sama seperti gunung Uhud. Dan sesiapa yang solat ke atas jenazah, kemudian terus pulang, maka dia mendapat pahala seperti gunung Uhud (1 qhirat). Hadis riwayat Muslim.

Keempat adalah bertawaf di Kaabah, bersolat dan melihat Kaabah.  
Maksud hadis, Allah menurunkan 120 rahmat di Masjidil Haram, 60 rahmat untuk yang bertawaf, 40 rahmat untuk bersolat di Kaabah dan 20 rahmat untuk orang yang melihat Kaabah.
Ini adalah motivasi paling jelas bahawa solat di Masjidil Haram lebih utama dari di Hotel.
Waktu Dhuha 

Kelima adalah perhubungan antara insan.  Seluruh dunia berhubung di Masjidil Haram. Kita dapat berjumpa, berkenalan dan bersilaturrahim secara antarabangsa.  Aku jumpa orang Indonesia, Perancis, Korea, China, Chechen, India, Bangladesh, Amerika dan bermacam warna kulit dan bahasa. Mereka sama dengan aku Islam dan akan mengerjakan haji pada tahun ini.  
Bersama bakal Haji dari Indonesia
Muzakarah Tabung Haji mengatakan bahawa pahala solat di Tanah Haram adalah 100,000 kali lebih pahala dari solat di mana2 termaktub di seluruh Tanah Haram.  Maka solat di Hotel juga dikira mendapat pahala yang sama.  
Dan lihatlah kelebihan juga bersolat di Masjidil Haram seperti di atas.   Bawalah kebaikan berjemaah hatta bila sudah di Malaysia.  Solat tidak berjemaah di Mekah terasa sangat seperti tidak bersolat. Subhanallah ini adalah satu benda yang tidak nampak tapi tertanam erat pada para Hujjaj ketika di Mekah atau Madinah.  Solat berseorangan jarang berlaku (kecuali Qada' atau sunat) dan hati2 para Hujjaj dijentik Allah SWT untuk menurut kehendak ini.  MashaAllah.

(Penggunaan sakinah diambil dari al Qur’an surat 30:21, litaskunu ilaiha, yang artinya bahwa Tuhan menciptakan perjodohan bagi manusia agar yang satu merasa tenteram terhadap yang lain.  Dalam bahasa Arab, kata sakinah di dalamnya terkandung arti tenang, terhormat, aman, penuh kasih sayang, mantap dan memperoleh pembelaan)


Saturday, December 20, 2014

Panas Lagi Padang Masyar Nanti



Gambar di ambil dari Hotel Abraj Janadriyah

Malam nanti adalah malam terakhir aku dan isteri di Mekah.  Setelah musim haji berakhir kami sudah berada 10 hari di sini selepas waktu wukuf.  Esok adalah 15 Ocktober 2014.  Aku berjalan2 selepas balik dari Masjidil Haram.  Aku berada di Masjidil Haram dari waktu Subuh tadi.  Sekarang sekitar pukul 8 pagi.  Sarapan sudah aku hadam bersama isteri tadi dan isteri sudah ke bilik berehat pastinya.

Aku berjalan2 sekitar hotel menjengok memastikan semua pandangan aku sudah terbungkam kemas bahawa aku pernah ke sini.  Aku berjalan dan kadang2 duduk di tepi jalan bersembang seperti ayam dan itik dengan pak cik2 tua Arab di sekitar Hotel Abraj Janadriyah.  Mereka memegang kepala aku dan kadang2 memeluk seperti ayah dan anak.  Aku kadang2 malu dengan itu.  Tapi bagi mereka ini adalah diri mereka bila menghormati orang.

Aku mencari sudut di tepi jejambat yang boleh melihat Masjidil Haram dari tempat aku duduk. Panas hari ini nampak lain dan aku melihat abu asap panas menutup cerah Masjidil Haram.  Panas ini berbeza dari biasa.  Aku bergegas ke kedai runcit dan membeli air susu mangga yang selalu aku minum.  Aku kembali ke sudut jejambat dan duduk merenung Masjidil Haram.  

"Bila balik, Haji?" seorang lelaki menegur aku.  Aku tersenyum dan berpusing memandang.  Seorang lelaki yang baru berkemas2 menepuk lantai yang berdebu.  Nampak letih lelaki tersebut, duduk melekat sebelah aku.

"Saya ke Madinah esok, saya KT 34, jamaah Haji yang masuk terus ke Mekah dan kami akan mula2 masuk ke Madinah selepas musim haji ini" Aku menerang cerita sambil tersenyum.  Dia juga membalas senyum.

"Saya menunggu balik ke Malaysia, saya KT awal2 lagi Haji".  

Aku merenung terus Masjidil Haram. "Panas lain macam hari ini Haji".  Aku suka melontar kata untuk bersembang.  Aku jadi bingung kalau duduk tak bersembang begitu.  "Habuk pasir naik boleh masuk mata Haji!" Aku menambah.  

"Masa mula2 sampai hari tu 9 Oktober hari tu, memang panas kat sini sampai saya dengar cerita ada satu Haji tu sampai terkupas kulit kaki berjalan dari Masjidil Haram hingga ke Hotel"  Saya terus bercerita. "Tapi panas berangin di sini ye Haji."

Aku menoleh ke arah Haji itu.  Dia nampak terdiam mendengar.  Aku cuba menyambung cerita "Haji datang dengan isteri ke?" Aku mula bertanya.  Haji yang seorang ini terlalu diam.  Dia terus mendiam.  Agak lama sehingga aku terus merenung Masjidil Haram cuba mengelak dari malu bersembang sendirian.  

"Haji"Aku dipanggil.  Aku berpaling dan senyum. "Sayalah orang yang terkupas kulit kaki berjalan dari Masjidil Haram ke Hotel pada hari pertama datang hari tu."

"Astagfirullahalazim, MashaAllah" Aku pohon maaf bercerita tentang diri dia.  Dia kata dia sudah faham keadaan di sini.  Orang bercerita dan kadang2 menambah dan tidak terus dari orangnya.  Aku senyum malu dengan perkataan Haji itu.

"Saya pada hari itu pakai kasut untuk Umrah Wajib dan terlupa membawa plastik untuk kasut saya. Bila keluar dari Masjidil Haram, kasut sudah tak ada dan saya sendiri duit tak bawa"  Dia menyambung bercerita dia terpaksa berjengkit2 berjalan dan bila sampai ke tempat redup dia akan berhenti mengurangkan pedih.  Bila sampai di Hotel, tapak kaki sudah hilang dan hanya berwarna kemerahan dan putih pedih.  

Sambil bercerita dia menunjukkan tapak yang licin seperti bersalut plastik.  Lansung tidak ada urat2 biasa atau riak2 tapak kaki,  Ia licin.

"Masa mula2 sampai hari tu, Mekah memang panas.  Saya datang dari Madinah ketika itu sekitar 48 celcius. Mekah mungkin sekitar itu juga pada waktu itu.  Entah apa mimpi saya boleh cakap - Panas lagi Padang Masyar nanti" Aku diam mendengar cerita Haji yang seorang ini.

"Saya datang dengan isteri.  Isteri saya ada di hospital sekarang.  Lelah.  Saya baru lepas melawat dan Alhamdulillah sudah sihat.  2 hari lagi kami akan balik ke Malaysia.  Doakan kami Haji"

Aku senyum tegang.  Ketat semacam.  InshaAllah semua selamat.   




Thursday, December 18, 2014

Bergerak ke Mina (Wajib Haji)

Malam sudah bergerak ke waktu pagi.  Aku dan isteri sampai ke Mina kira2 jam 2 pagi 10 Zulhijjah 1435.  Ihram masih dipakai dan larangan ihram masih berterusan. Aku dan isteri sudah berpisah mengikut khemah masing2.  Aku terus bergerak mengikut arahan ke arah khemah nombor 5.  Ini dinamakan kawasan untuk maktab 83. Aku menjenguk khemah dan terlihat kawan2 sebilik sudah berehat dan tidur dengan aman.  Aku mencari2 kawasan untuk tidur.  




Setiap kawasan dalam khemah sudah dipenuhi dengan bakal2 haji.  Aku berada di tempat paling sudut iaitu kawasan dimana orang akan mula2 masuk ke khemah yang besar ini.  Kawasan yang masih kosong adalah disebelah Roslan dan Wan Ikhwan.  Aku terus membuka hamparan berwarna hijau hadiah dari Pihak Jakim.  Ini akan menjadi lantai untuk aku sepanjang masa di Mina ini.  

Aku berjalan dan tiba2 tenggelam dalam kawasan untuk aku tidur. Kawasan untuk aku tidur ini seperti tenggelam di kawasan punggung ynag tidak rata.  Sakit kaki terpelecuk ketika itu terasa seperti di takik ketika main bola.  Pagi2 itu aku mengeluarkan minyak untuk berurut kaki.  

Bila2 masa nanti Subuh akan menjelma.  Subuh kira2 pukul 3.30 am di Mina.  Kira2 setengah jam aku sampai dan berada rasanya tempat tidur, Pak Cik Abdoll Hamid pula tiba dan aku pelik kerana beliau bagi aku berlepas lebih awal daripada Muzdhalifah tadi.  Satu kawasan yang seperti Arafah tadi tetapi kali ini mesti dimuatkan dengan 13 orang.  Pak Cik Abdoll Hamid terpaksa berada di tengah2 di antara kaki2 orang yang tidur. 



Tidur yang tidak berapa lena tapi terbuai kerana penat dari Arafah ke Muzdhalifah pada malam yang sama.  Subuh itu semua bangun dengan semangat yang paling baru.  Masih berihram dan menanti malam nanti untuk melontar Jamratul Aqabah dan bercukur untuk mendapat tahalul Awwal.  Ini bererti Ihram yang dipakai boleh dibuka dan larangan ihram tinggal hanya 3 sahaja iaitu bersetubuh dengan isteri, berkahwin/jadi saksi dan bersedap2 dengan isteri.

Hari itu terasa pendek kerana selepas Subuh, semua sudah kepenatan dan tidur menjadi terlalu enak untuk dilepaskan.  Aku tidur dan hanya terkejut bila makan tengahari sudah diberi kepada setiap khemah.  Aku sudah melengkapkan diri untuk mengurangkan makan di Mina ini.  Entah niat kenapa selera makan terus tertutup.  
Menunggu masa untuk bergerak
Semua solat dilakukan di Mina secara Jamak Tammam iaitu digabungkan solat zohor dan Asar dan dikerjakan sepenuhnya 4 rakaat setiap solat.  Solat Maghrib dan Isyak juga dijamak secara Tammam. Semua sudah bersedia untuk melontar selepas Jamak Maghrib dan Isyak.  Kami akan bergerak kira2 jam 8 malam dari khemah dengan bantuan petugas2 TH yang membawa sepanduk jika kami tersasar. 

Bergambar akhir sebelum membuka Ihram
Alhamdulillah perjalanan ke Jamratul Aqabah tersusun rapi walaupun 3 km jaraknya dari khemah. Tiada apa2 yang berlaku dan kami selamat sampai ke khemah kira2 jam 10.30 malam. Selepas itu semua bakal2 haji sibuk mencari orang untuk bercukur atau berngunting.  Aku dan Cikgu Azman sudah bersiap dengan hanya kain ihram yang dipakai tanpa kain atasnya.  Kami akan bercukur malam itu untuk melepaskan pakaian ihram dan larangan2 ihram selain dari yang dilarang.  

Alhamdulillah semua selesai kira2 jam 1 pagi dan penat aku hari itu terus membawa aku ke Subuh hari ke 2 di Mina.


Bermabit (bermalam) di Mina adalah satu syarat Wajib Haji. Melontar ketiga2 Jamrah (Aqabah, Wusta dan Syugra juga adalah Wajib Haji. Bagi yang mengikuti program Muassasah TH maka bermalam di Mina adalah bermalam tidur di kawasan Mina untuk 4 malam kecuali yang membuat Nafar Awal. Nafar awal hanya berada 3 malam di Mina dan melontar ketiga2 Jamrah 2 kali sahaja.

Bagi aku berada di Mina ini adalah cerita paling panjang boleh diberitahu.  Makanannya sahaja sudah boleh dibuat satu cerita.  Tandas atau tempat mandi juga boleh dicerita seperti 1001 cerita dan jualan sekitar Mina boleh mengalahkan cerita orang pergi Bandung.   Dan setiap cerita berbeza pada setiap orang kerana mengalami pengalaman yang berbeza pastinya.





Menurut bahasa Tahalul bererti ‘menjadi boleh’ atau ‘dihalalkan’. Dengan demikian Tahalul  ialah diperbolehkan, halal, keluar atau membebaskan diri daripada larangan atau pantangan Ihram dengan mencukur seluruh rambut di kepala atau menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Bagi yang sedia botak, maka hendaklah sekadar melalukan pisau di atas kepalanya.
 .
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya kamu tetap memasuki Masjidil Haram (pada masa ditentukan) dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadah kamu) dengan mencukur kepala kamu dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya… .” (Surah Al-Fath, ayat 27)
Sudah Tahalul Awwal





Tuesday, December 16, 2014

Mabit di Muzdhalifah 9 Zulhijjah 1435 / 3 October 2014

Saya, Azman dan Ikhwan akan ke Muzdhalifah pada 9 Zulhijjah 
Setelah habis waktu wukuf iaitu waktu Maghrib di Arafah 9 Zulhijjah kami akan bergerak ke Muzdhalifah walaupun ia hanya sebentar sehingga separuh malam iaitu selepas waktu tengah malam di situ. Waktu tengah malam nanti kami akan bergerak pula ke Mina. Semua bersiap sedia untuk bergerak dan berkemas.  Semua sibuk berkemas hatta bebudak Arab yang ditugaskan menjaga khemah di Arafah juga berkemas membuka khemah2 di Arafah pada malam yang sama.  Ini adalah rutin tahunan mereka dan diberitahu bahawa bebudak ini sedang bercuti dan membantu Pihak Muassasah Arab Saudi di Khemah Arafah.  Sebelum bertolak kami telah bersolat Maghrib dan Isyak secara Jamak Tamam iaitu penuh 3 dan 4 rakaat.  Mengikut sunnah Nabi Muhamad SAW, beliau bersolat secara jamak takhir di Muzdhalifah. Disebabkan beberapa maslahah, aku bersolat secara jamak takdim di Arafah sebelum bertolak.

Di khemah utama, seorang petugas TH mengumumkan bakal2 haji untuk keluar dari khemah mengikut nombor2 bas yang telah diberi awal sebelum ke Arafah bermula di hotel di Mekah lagi. Jangan keluar dari khemah sehinga nombor sendiri dipanggil. Aku bernombor 23 dan beberapa rakan sebilik lebih awal iaitu bas nombor 20 dan 22.  Ia bukan satu perlumbaan untuk mendapat nombor yang awal tetapi bila kita awal pergerakan kita lebih cepat.

Nombor kami 23 sudah dipanggil dan beberapa kali juga seorang bakal Hajjah dipanggil namanya kerana suami sedang menunggu di bas nombor 22.  Hajjah ini kami jumpa di pintu pagar khemah di Arafah dan aku bertanya.  Dia memberitahu, dari semalam iaitu 8 Zulhijjah sehingga hendak bergerak ke Mina malam ini, dia masih tidak ketemui suaminya. Khemah antara lelaki dan perempuan memang diasingkan di Arafah untuk muassasah Tabung Haji.  Tetapi bakal2 haji akan mengambil inisiatif untuk mencari dikhemah2 perempuan dan sekarang dengan teknologi telefon perkara tidak bertemu susah untuk berlaku.  Untuk pengetahuan, aku juga tidak menggunakan khidmat telefon ketika di Mekah ini.  Tetapi Alhamdulillah pertemuan dengan isteri hampir berlaku setiap hari dengan syarat perjanjian yang kami mesti buat ketika sampai di mana2.

Berdua selamanya
Aku sudah awal sampai di Muzdhalifah iaitu kira2 9.00 malam di situ.  Aktiviti di sini adalah mengutip batu2 untuk melontar jamrah2 di Mina nanti.  Berapa jauh jarak antara Arafah dan Muzdhalifah ini?  Dekat sekitar 8 km sahaja dan kira2 10-15 minit sahaja dari Arafah dengan perjalanan bas.  Aku diberitahu bahawa kalau berjalan kami mungkin lebih awal. Tetapi itu dahulu ketika pergerakan bas terlalu banyak dan tidak terkawal.  Sekarang bakal2 Haji dari Asia seolah2 tidak bertemu dengan orang2 bangsa lain dan pergerakan bas lebih senang dan cepat sampai.  Di Muzdhalifah juga bakal2 Haji diasingkan mengikut negara2.  


Ketika sampai di Muzdhalifah, aku dan Nina terus bergerak ke tempat lapang dan melihat keliling jika ada yang ku kenal.  Semua seperti sudah penat dan duduk mengikut hati masing2,  Ada yang duduk beralaskan tikar ada yang duduk di tepi tandas dan ada yang bersiar2 melihat orang. Tandas2 disediakan dan bakal2 haji mengambil kesempatan untuk bersuci di situ.  Aku dan isteri mengutip batu2 untuk dilontar ketika di Mina nanti.  Aku mengambil keputusan untuk mengutip hanya 7 butir batu sahaja kerana aku mahu mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.  Pihak Muassasah Saudi sudah mengambil persediaan bagi bakal2 haji untuk mengutip batu di Muzdhalifah.  Seperti bukit kecil batu2 kecil berada di tanah lapang Muzdhalifah untuk dikutip oleh bakal2 haji disediakan. Selesai mengutip batu kami terus berehat dengan membentang tikar sponsor dari Tabung Haji.

Berada di Muzdhalifah adalah satu syarat Wajib Haji.  Jika ditinggalkan secara sengaja, ia adalah dosa dan dikenakan dam.  Amalan sunat disini adalah bertalbiah dan amalan2 sunat lain seperti di bawah.  

Amalan-Amalan Sunat


  1. Berdoa
  2. Berzikir
  3. Solat Sunat
  4. Mengutip anak-anak batu untuk ibadah melontar di Mina nanti.
 Pengecualian Mabit Jika Uzur
  1. Takut terancam keselamatan diri atau harta
  2. Menjaga atau menemani orang sakit
  3. Mencari pekerja atau keluarga yang hilang
  4. Berpenyakit dan sukar bermalam
  5. Terpaksa


  1. Hadis riwayat Usamah bin Zaid ra., dia berkata, "Rasulullah saw. bergerak dari Arafah dan ketika sampai di Sya`b beliau turun dari kendaraannya lalu buang air kecil, setelah itu beliau berwhuduk, lalu saya bertanya kepada beliau, "Apakah kita salat sekarang, wahai Rasulullah!" Beliau menjawab, "Nanti solat di depan." Beliau naik kendaraannya lagi. Ketika sampai di Muzdalifah, beliau turun lalu berwudu' dengan sempurna kemudian iqamah untuk solat dan dilanjutkan dengan s0lat Maghrib. Lalu semua orang mendudukkan untanya di tempat masing-masing, kemudian iqamah untuk solat Isyak lalu beliau solat Isyak. Beliau tidak solat sunat di antara dua solat tersebut."
Allah berfirman:
فإذا أفضتم من عرفات فاذكروا الله عند المشعر الحرام واذكروه كما هداكم، وإن كنتم من قبله لمن الضالين

Ertinya, "Apabila kamu telah bertolak dari Arafah, berzikirlah kepada Allah di Masyaril haram(Masyair Haram).Berzikirlah dengan menyebut Allah sebagaimana yang Dia tunjukkan kepadamu. Sesungguhnya kamu sebelum itu benar-benar termasuk orang-orang yang sesat. "
Disunnahkan memperbanyakkan talbiah di setiap tempat, ini termasuk sunah muakkad, memperbanyak membaca Alquran, memperbanyak berdoa. Disunnahkan untuk berdoa:
  
Suasana menunggu bas untuk ke Mina pula
Setelah masuk waktu separuh malam iaitu selepas pukul 11.53 pm, pergerakan ke Mina pula bermula. Kali ini tanpa berdasarkan nombor bas yang diberikan tadi, bakal2 haji terus beratur untuk mendapatkan bas terus ke Mina.  Pembesar suara memberitahu sesiapa yang mahu bergerak boleh beratur di tempat belakang kawasan Muzdhalifah itu untuk menunggu bas.  Aku teruskan duduk tetapi mengalih kawasan memandang ke arah belakang kawasan,  Aku cuba2 juga untuk beratur pada awalnya tetapi disebabkan rasa tak berapa seronok melihat orang tua beratur dan ini pasti memberikan tekanan kerana tidak tahu berapa lama akan beratur. 

Aku memberitahu Nina untuk bersabar dan biar yang tua mendahului kita kerana tempat duduk kita di Mina telah tersedia dan tidak perlu berebut2. Aku bergerak ke belakang selepas beratur itu dan terlihat tikar yang terbiar kerana tuan punya tikar sudah naik bas untuk ke Mina.  Aku bentangkan tikar yang besar itu sambil berehat baring melihat ramai yang beratur.  Kira2 2 am baru suasana tenang dan kawan sebilik aku, Hj Ikhwan memberitahu di sebelah kanan dimana bakal2 haji dipanggil mengikut nombor2 bas yang awal tadi.  Nombor 22, 23 dan 24 boleh beratur untuk bas yang selanjutnya.  Aku bergegas dengan Nina untuk bersama beratur kerana kali ini beratur yang pasti untuk ke Mina.

Sunday, December 14, 2014

Wukuf di Arafah 9 Zulhijjah 1435 / 3 Oktober 2014

Hari Wukuf jatuh pada 9 Zulhijjah 1435 bersamaan 3 Oktober 2014 bersamaan juga Hari Jumaat di Arab Saudi.  Hari Jumaat maka ia adalah Haji Akbar 1435.  Ulangan berlakunya Haji Akbar adalah sekitar 8 - 10 tahun.  Aku bersyukur kerana menjadi sebahagian dari bakal2 Haji 1435 yang berhaji Akbar InshaAllah.


Sebuah khemah di Arafah dimuatkan sebanyak 10 orang dan khemah bersambung bersama dengan khemah2 lain dan apabila dibuka khemah sekeliling ia menjadi satu khemah yang besar yang boleh dilihat dari khemah hujung ke hujung khemah yang lain.  Ia seolah2 satu padang yang dipenuhi dengan orang yang berpakaian ihram.  Tiada kipas tiada aircond.  Ia seolah2 padang mahsyar dimana semua orang adalah sama sebagai hamba Allah.



Waktu tiba dari Mekah tadi, aku mengemaskan tempat untuk aku berehat.  Hari ini hari Khamis dan kami akan tidur semalam di Arafah dan berwukuf sehingga maghrib dan akan bergerak ke Muzdhalifah. Sambil menunggu itu kami diberi bungkusan makanan yang didalamnya ada bungkusan kopi, teh, gula dan 'creamer'. Diselit juga sebungkus maggi goreng untuk makan tengahari itu.  Air panas disediakan diluar khemah paling hujung dan berkongsi dengan bakal2 haji wanita. 

Tempat air panas di Arafah
Suasana panas dan berdebu di Arafah seperti tidak mengganggu urusan kami.  Kami berdoa supaya bertemu dengan hari Wukuf esok.  Makan menjadi tidak penting bagi aku.  Hari Wukuf adalah maha penting bagi aku. Kesihatan diri masih bagus.  Aku tidur bersebelahan dengan Dr Tazli (pensyarah) dan Meor Bukhari - orang Kuala Kangsar. Mereka tidak sebilik tetapi kami cepat mesra kerana aku duduk bersebelahan mereka ketika dalam kapal terbang masa ke Mekah hari itu. Suasana malam di sini kering tetapi berangin.  Aku merenung jauh melihat kembali diri sendiri.  Jadi terlalu kecil dan pipi aku mengalir air mata mengenangkan dosa2 lampau.  Malam itu panjang bagi aku. 

Tempat mandi dan mengambil air sembahyang di Arafah

Setelah solat Suboh, baharu aku mandi.  Walaupun tandas yang disediakan lebih kurang 24 buah dengan bakal2 haji yang lebih dari 6000 orang tetapi keadaan di tandas tidak menyesakkan.  Kaum lelaki tahu untuk mencari waktu untuk bersuci dan tidak bersesak2.  Cuaca sudah kembali panas. Hari ini 9 Zulhijjah dan selepas Zohor nanti waktu Wukuf akan bermula sehingga Subuh 10 Zulhijjah. Kami di dalam khemah bertalbiah, berzikir dan mendengar ceramah yang dibuat dari khemah utama yang dijadikan surau. Aku diberitahu TH bahawa Dato' Seri Jamil Khir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri menjaga bahagian agama akan berkhutbah dari maktab kami.  TV AlHijrah sudah mengumumkan tentang penayangan secara lansung terus ke Malaysia akan dibuat.  Sesiapa yang cepat berada di surau kemungkinan boleh masuk TV.  Surau itu hanya boleh memuatkan sekitar 200 orang. Kami dalam maktab 83, 86 dan 90 ada lebih kurang 3000 orang. 

Khutbah Arafah dimulakan oleh Dato' Seri Jamil Khir dan ditengah2 dengan doa dan bila waktu Zohor bermula dengan azan tetapi khutbah diteruskan ketika azan itu. Ini adalah salah satu adab khutbah Arafah.  Bila penghujung khutbah, Dato' Seri Jamil membaca doa dan sesiapa yang mendengar pasti mengalirkan air mata.  Aku berada dihujung khemah pun turut haru mendengar khutbah pada hari itu.  Semua bidai khemah dibuka untuk menyambungkan saf sehingga ke surau. Selepas itu kita bersolat zohor dan Asar secara Jamak Tammam (iaitu penuh untuk Zohor dan Asar 4 rakaat).  

Selepas itu bermulalah kami keluar dari khemah masing2.  Ikut sunnah Nabi Muhammad SAW akan berdoa di Arafah dalam keadaan mengangkat tangan tinggi sehingga menampakkan ketiak baginda, Subhanallah kalau kita tahu beberapa tempat yang afdal berdoa, masa yang paling afdal dan waktu yang paling afdal, maka di Arafah ini adalah paling afdal, waktu selepas Asar dan sebelum Maghrib. Peluang ini datang hanya setahun sekali dan kemungkinan seumur hidup sekali sahaja.

Aku mencari isteri di khemah dan memanggil untuk keluar selepas waktu Asar nanti.  Kami membawa payung kerana suasana panas dan kering.  Kami dapat duduk di hujung khemah dan mengadap ke Kiblat.  Duduklah kami berdoa dan mengambil masa yang lama berdoa dan berdoa. Sahabat2 yang mengirim doa juga kami turut mendoakan.  Kami mengalirkan air mata dan berhenti dan bersambung menangis bila menyambung kembali.  Aku berhenti meluangkan peluang untuk isteri berdoa dan aku menangis dengan doanya. Aku pula berdoa dan diaminkan oleh isteri juga dengan lelehan air mata.  Air mata ini bukan aku simpan untuk hari ini tetapi ia keluar seolah2 tidak pernah keluar. Berdoalah pasti Allah kabulkan.  

Di sini khemah isteri