Yang selalu jengok

Friday, September 30, 2011

Zakat bayar HUTANG

Zakat di Malaysia memang terbaik.  Kalau di Pusat Zakat Selangor, setiap bulan sebuah makalah diberikan pada pemberi zakat untuk melihat kadar simpanan yang dikenakan pada bulan itu, aktiviti2 yang dibuat dan lapuran kewangan bagaimana ia disalurkan.  Jika ini diwajibkan kepada semua majikan untuk membayar zakat pekerja dulu dari membayar cukai kemungkinan duit zakat pasti lebih banyak. 

Beberapa asnaf yang dikenal pasti seperti mualaf, fakir, miskin, pelajar2 dan yang pasti amil itu sendiri iaitu Pusat Zakat yang menguruskan kutipan.  Satu asnaf yang kurang diperhatikan adalah orang yang berhutang kerana Allah.  Beberapa hari lalu diberitakan bahawa lebih dari 15,000 orang muflis pada tahun lepas berumur dibawah 40 tahun.  Yang pasti tinggi peratusnya adalah orang Melayu dan beragama Islam.  Pusat Zakat boleh mengambil senarai nama yang muflis ini di Jabatan Insolvensi dan menyenarai pendek nama2 untuk ditemuduga dan melangsaikan hutang2 mereka. 

Aku pernah bekerja dengan seseorang yang muflis dan melihat keadaan tidak tersusun mereka untuk hidup.  Untuk membayar gaji, mereka diberikan cek kerana tidak dibenarkan membuka akaun.  Untuk bekerja pada syarikat2 yang besar mungkin mereka akan diperiksa keadaan latar belakang.  Kalau di bank2 mungkin tidak diterima.  Untuk sekolahkan anak sekarang, ayah/mak terpaksa menunjukkan penyata kewangan atau slip gaji sebagai bukti berduit.  Teringat aku zaman Khalifah Umar Abdul Aziz yang selalu sangat orang kata tu, sebenarnya pada masa itu tidak orang yang layak menerima zakat kerana semua orang berduit.  Tiada fakir, miskin dan yang berhutang tolong dibayar jika tidak mampu membayar. 

Satu institusi yang mengutip duit dan diurus secara guna pakai keseluruhan lebih baik dari menyimpan nampak banyak tapi digunakan.  Teringat aku satu masjid di Subang yang satu ketika ada lebih RM500,000 terkumpul AJK masjid merasa terkilan kerana apabila kerajaan bertukar duit itu digunakan untuk mengimarahkan masjid dengan aktiviti2 pendidikan agama - kuliah, belajar al-quran, korban, aqiqah, berkhatan dan majlis2 ilmu yang lain.  Adakah masjid ini kurang duitnya selepas itu?  Kerana imarah masjid yang hebat begini, duit sedekah, wakaf masih bertambah dan duit sentiasa digunakan untuk mengeratkan penduduk. 

BERCINTA best

Mula2 bercinta dulu semua yang aku hendak semua dapat.  Aku nak jalan2 makan angin kat taman dia ikut setia.  Aku nak membeli belah sambil tengok2 pun dia ikut.  Duit memang tidak ada masalah, aku mintak dia bagi.  Aku bukan tak tahu dia berpura2 tapi dalam hati ingin menguji.  Mula2 minta hadiah yang kecil2 - minyak wangi kat Watson, makan kat Pizzahut, baju cekak musang dan bedak kutikura dan sehinggalah yang besar2 seperti telefon dan telefon lebih bijak.  Macam dalam cerekarama, semua dia boleh beri.  Aku tahu dia bukan kaya sangat dan mungkin jadi beban aku akan datang dan aku tidak mahu tahu.  Kalau dulu menunggu aku selesai kerja sehingga aku habis shift dan kadang2 aku saja2 lambat turun kerana ingin menguji.  Selepas semua ujian telah selesai aku bersetuju kawin.  Dan mimpi ngeri pun bermula.

Sudahlah rumah tak ada, naik motor je dan gaji ciput kata orang muda.  Hutang banyak dan kadang2 duit aku pun dia nak mintak.  Makan kat luar bukan selalu sebab mahal.  Aku sampai lupa menu baru Pizza hut sebab dah lama tak singgah.  Baju aku tak bertukar semenjak kawin dan aku pasti dia pun sama kerana dari dating dulu baju itulah yang dipakainya kerana paling aku suka.  TV yang terbonjol besar dan 24 inci je.  ASTRO jangan cerita la kalau nak tengok kena makan kedai mamak.  Semenjak kawin nampak macam kedekut semacam.  Aku ajak shopping dia penat, aku ajak jalan2 dia nak pergi pancing.  Kenapa masa dating2 dulu tak pernah memancing pun?  Dah kawin ni, macam tak de perasaan je.

SELAMAT PENGANTIN BARU dan belajar faham.

BERSARA AWAL

Awal2 lagi nak bersara.  Plan dan tindakan ke arah ini selalu dibuat sebagai ayat jualan untuk masuk dalam skim cepat kaya.  Bagaimana hendak bersara awal jika masih ada hutang.  Bank2 macam sepakat tiba2 pada tahun 2009 sehingga sekarang menaikkan masa untuk membayar hutang rumah dari 30 tahun kepada 35 tahun.  Menaikkan tarikh akhir umur pinjaman dari 55 kepada 65 dan dengar2 cerita ada yang memberi pinjaman sehingga 75 tahun umur.  Ini adalah bersangkutan dengan taraf hidup atau kualiti hidup di Malaysia bertambah. 

Masalah selalu berlaku apabila seseorang yang sudah ada peluang mengeluarkan duit EPF pada umur 55 menghabiskan duit2 itu hanya dalam beberapa tahun.  Pertama mereka membayar hutang rumah dan mula berkira2 untuk menambah baik rumah.  Selepas itu kereta pilihan menjadi hajat.  Dengan hanya bersetuju menaikkan umur bersara, EPF dapat mengumpul dana masa tua seseorang lebih banyak.  Bersara awal sebenarnya tidak memberikan kenikmatan yang sebenarnya kecuali duit banyak.  Berapa banyak dikira sebagai duit banyak.  Ada orang merasakan RM1 juta itu banyak.  Hutang rumah yang berbaki RM500,000 dan kereta yang mewah bermula dengan harga RM150,000 dan tiba2 umur terus panjang dan duit sebanyak RM1 juta itu tidak cukup untuk menghabis sisa2 hidup.

Kita sepatutnya berimamkan Al-Quran bahawa satu ayat bermaksud "Kerosakan di muka bumi ini disebabkan tangan2 manusia itu sendiri....." atau "Kalau kita rasa sesuatu itu baik untuk kita mungkin sebenarnya Allah mengetahui bahawa itu tidak baik untuk kita".  Syarat pertama untuk bersara awal adalah bersara dulu dari ambil hutang baru.  Kos hidup ketika masih bekerja mungkin boleh ditapis kerana setiap tahun gaji akan naik, tetapi apabila bersara kos yang bertambah tidak pula menyebabkan duit di bank kita akan bertambah kerana kita tidak bekerja lagi.

Percayalah bahawa bersara awal adalah berkaitan dengan TIADA LAGI HUTANG.

Tuesday, September 27, 2011

Lelaki JAWA terakhir

Khir Toyo memang JAWA terakhir.  Dia tetap mengekalkan jati diri yang tidak boleh dilawan oleh orang lain.  Kes beliau disebut di mahkamah dan dia melawan.  Ini bentuk JAWA yang bukan sekadar asam jawa.  Dia mengaku makan tempe untuk tampak bergaya.  Dia beli rumah RM3.5 juta untuk buat rumah JAWA.  Ini adalah fakta mahkamah yang tidak boleh diubah.  Tidak ramai orang JAWA yang memperlihatkan ketokohan kaya macam Khir Toyo.  JAWA ini bukan sebarang jawa atau mee jawa klang tetapi JAWA yang sudah mara ke depan.  Peluang membeli rumah berharga RM3.5 juta walaupun penjual mengata rumah itu berharga RM5.0 juta.  Ini adalah cara JAWA bekerja dan menyakinkan.  Apa dikisah tentang harga murah jika penjual bersetuju menjual.  Ini adalah isu bersetuju didalam akad.  Dan yakinlah JAWA ini bukan sebarang JAWA.

JANGAN panjat PANTRY

Jawapan sudah diberi oleh pakar.  Ahmad Sarbini 56, datang secara rela ke bangunan MACC pada 6 April untuk menukar penyataan dan berjumpa dengan Kamal Awang Besar.  Setelah berjumpa dia ditinggalkan sebentar di sebuah bilik yang berdekatan dengan 'pantry'.  Ahmad Sarbini berjalan ke pantry dan memanjat tingkap dan berjalan keluar lalu terjatuh dan mati ditempat kejadian.  Lalu keputusannya adalah Ahmad Sarbini, bukan dibunuh atau membunuh diri tetapi kemalangan.  Peguam MACC, Muhammmad Shafee Abdullah sudah menjangka jawapan yang diberikan.  Keputusan yang sama belaku pada Teoh Beng Hock beberapa bulan lepas. Keluarga Ahmad Sarbini akan mencabar keputusan dalam masa 14 hari.  Ini kejadian ke 2 pada MACC dimana kematian berlaku semasa simati berada dalam bangunan MACC. 

Kenapa Keldai?

Semalam 3 orang keldai dijatuhkan hukuman gantung di leher sampai mati.  Kwok 62, menelan 84 kapsul heroin.  En Abdul Rahman 54, menelan 68 butir dan Nurul Jannah 47, menelan 81 biji.  Apa cerita disebalik bab2 menelan heroin ini.  Mereka dijanjikan duit sebanyak RM180, RM160 dan RM150 satu kapsul jika selamat sampai ke pasaran.  Pasaran yang dijanjikan adalah perjalanan ke Australia melalui Bayan Lepas.  Apa yang pelik jawapan mereka mereka rasakan kapsul2 itu adalah ubat untuk ditelan.  Kwok akan mendapat RM15120, Abdul Rahman RM10880 dan Nurul Jannah RM12150 jika sampai ke Australia.  Proses mengeluarkan kapsul adalah cerita selepas yang paling jijik untuk diceritakan.  Bagi aku mereka bukan keldai yang tidak mengambil tahu barang yang dibawa tetapi terpengaruh dengan habuan yang akan datang.

Sunday, September 25, 2011

BELAJAR Sembelih

Sekadar hiasan
Bercerita dengan seorang Libya di pejabat tentang Eid Adha yang disambut lebih meriah dari Eid Fitri di Libya dan di negara2 Teluk.  Pelik mereka melihat keghairahan orang Malaysia merayakan sampai sebulan lama.  Kami bercerita tentang Eid Adha kerana hari berkorban juga maksudnya penyembelihan korban akan berlaku. Dia memberitahu sudah lebih 10 ekor lembu dan kambing disembelih sendiri.  Aku pulak naik segan.  Paling hebat bagi aku hanya sembelih ayam dan siang ikan.  Betullah fikir hati ini, ketika pelajar2 kita di tempat2 yang kurang makanan halal selalu keputusan makanan kerana tiada tempat yang menjual makanan halal.  Tetapi pelajar2 dari Timur Tengah ini selain diberi peluang belajar akademik, belajar menyembelih juga adalah ilmu paling bermanfaat.  Kawan Libya aku memberitahu pada hari raya di Amerika dulu, mereka akan pergi ke ladang2 lembu dan kambing dan terus menyembelih sendiri untuk mendapat daging halal.  Pada masa yang sama orang Malaysia ikat perut pening mencari daging.  Kalau hari raya Aidil Adha, selalunya kita terpaksa menunggu Imam atau tukang sembelih datang dan kadang2 mereka menentukan masa dan apabila masalah telah selesai baru dia datang untuk menyembelih.  Soalan biasa mereka - lembu dah tumbang belum, kaki dah ikat ke, lubang darah dah korek dan tuan rumah yang membuat korban menunggu mereka sampai. 

Friday, September 23, 2011

Makan Makanan


Hari ini hari terbuka raya.  Semua orang membawa makanan untuk dimakan.  Ada yang membawa pulut kuning dan rendang. Ada yang membawa sandwich, ada yang bawa Nasi bairani Arab, ada yang hanya membeli donut, ada makanan Libya, ada makanan Palestin dan ada yang datang bawa perut sahaja.  Makanan yang berbagai ini seperti datang dari satu dunia.   

ini aku bawa

Nasi Arab

manisan arab


NAMA

Aku bekerja dengan beberapa orang luar Malaysia dan kebanyakan orang Arab dari Palestin, Libya, Saudi,  Yaman dan beberapa negeri sekitar sana seperti India dan Pakistan.  Mereka mempunyai masalah mengenal orang mengunakan nama di Malaysia.  Mereka akan bertanya tentang siapa ini dan lelaki atau perempuan.  Ini kerana bagi mereka yang Arab fasih beberapa nama yang ada di pejabat aku ini selayaknya untuk lelaki bukan untuk perempuan dan mengelirukan mereka.  Nama seperti Fida yang kita selalu ingat perempuan bagi mereka sebaliknya.  Seperti juga nama Azean yang sepatutnya lelaki bagi mereka.  Bukan kerana nama itu lelaki tetapi kebiasaan nama itu digunakan untuk lelaki di Arab sana.  Contoh bagi kita seperti Ramli maka secara otomatik kita akan tahu nama ini lelaki.  Dan seorang gadis Pakistan yang bekerja dengan aku bernama Saman.  Mungkin orang kita ingat Saman adalah lelaki seperti Wan Muhammad Saman tetapi Saman yang ini dimiliki wanita bujang yang cantik dari Pakistan.  Perbedaan ini memberi peluang mengenal budaya dan kelainan.

Thursday, September 22, 2011

TAK Cukup2

Aku menjadi pengurus cawangan Bank Muamalat di seksyen 9, Shah Alam lebih kurang 3 tahun.  Dan setiap hari aku akan melihat abang yang sama duduk di depan bank seperti bekerja di tempat aku.  Hari2 aku tegur ajak makan atau sekadar bertanya khabar.  Kerusi yang sama tidak bertukar.  Pakaian yang aku nampak macam yang sama sahaja.  Dan dia bekerja itu bersungguh2 dimana jika bulan Ramadhan pasti disambung pula bekerja di Stadium Shah Alam.  Aku bukan dengki tapi cara bekerja yang bijak ini seolah2 boleh diceburi oleh semua orang cuma perlu tabahkan hati.  Dan yang pastinya katung yang disediakan tidak pernah kosong.  Kerja yang 24 jam memang menghasilkan pulangan kerana bila kerusi dibuka dari pagi tidak pernah pula bank akan kosong tanpa pelanggan.  Dia juga dapat diraikan oleh kebanyakan pelanggan bank2 yang sekitarnya.  Aku tidak pernah mengira atau bertanya pendapatan sehari tetapi fleksibiliti bekerja ini membuatkan aku berperasaan dengki.  Buka pukul 10 dan tutup bila letih.  Dan yang paling peliknya, tadi selepas 4 tahun aku meninggalkan seksyen 9 Shah Alam, aku masih bertemu dengan abang yang biasa ini.  Tabungan masih tidak mencukupi. MUNGKIN.

ISTERI Solehah

Antara benda yang membahagiakan adalah mendapat isteri yang solehah.  Isteri yang kalau dibenarkan bekerja pasti menjaga kehormatan dan memastikan tidak mengurangkan pahala suami.  Kalau isteri melawan suami, kena salahkan suami tidak mengajar.  Kalau isteri keluar rumah tanpa kebenaran salahkan juga suami kerana tidak ajar.  Hadis Rasulullah SAW "Empat perkara yang bakal membahagiakan adalah isteri yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa".  Cuba periksa isteri kita di tempat kerja.  Hormat mereka pada majikan mungkin lebih dari hormat kepada suami.  Tidak tinggikan suara pada majikan tetapi meninggi suara pada suami.  Suka belanja kawan tetapi tidak pada keluarga.  Memburuk2kan suami pada kawan2.  Dan benarlah hadis ini kerana isteri solehah menjaga segala adab di depan kawan2. Mengurangkan kerlipan 'make up' bila suami tiada. Barakah duit gaji yang di dapati memberi kelebihan membantu ehsan suami dan keluarga.  Ini adalah kuliah agama semalam di Taman Bukit Subang.

Wednesday, September 21, 2011

TALI PINGGANG BESI

Memang kali ini aku kena turun.  Budak2 asrama sudah mula bergebang ajak aku turun sama ke stadium Merdeka.  Perlawanan bola antara Sekolah St John dan Victoria Institution (VI) akan berlaku pada hari Sabtu nanti.  Fikiran muda aku tak ada lain, cuma nak memukul budak2 St John sahaja.  Darah muda mesti dilayan. Hari Sabtu pun datang.  Tali pinggang besi yang mak aku pakai sudah membelit pinggang aku.  Ini adalah senjata paling senang dibawa kemana2.  Bebudak pada tahun itu memakai kepala tali pinggang yang bermacam dan paling popular adalah berlambang tengkorak.  Baju singlet bergambar labah2 dipakai bersama dengan overcoat putih - macam pengantin.  Mata dicelak macam perempuan. 10 pagi sudah berada di Stadium Merdeka, perlawanan seperti sudah bermula.  Aku terus menyorak2 pasukan VI kerana kawan2 lebih ramai di situ dari di St John.  Aku sebenarnya tidak berapa suka menonton perlawanan bola yang jauh dari mata.  Aku keluar dari stadium dan terus ke taman berhampiran.  Tiba2 berlari seorang budak meluru pada aku dan memberi sebuah bungkusan berbalut kain putih sambil menjerit. "Bang, saya tikam sorang budak St John".  Aku terkejut dan terus berlari lintang pukang kerana jika bungkusan ini dijumpai pada aku maka aku akan menjadi tertuduh.  Berlari aku sambil membuang bungkusan kain putih menuju ke Kotaraya (tempat yang paling ceria untuk muda mudi pada tahun 1986 dulu).  Sambil berlari aku sempat membuang tali pinggang mak aku di tepi2 jalan Petaling.  Selamat aku sampai di Kotaraya dan semua berlalu macam biasa.  Apabila aku balik ke asrama, aku mendengar beberapa orang pelajar asrama telah dipukul oleh sekumpulan India di Stadium Merdeka dan kes ini menjadi kes polis. Aku bercerita ini kerana teringat tali pinggang besi mak aku kerana mak aku pernah marah kerana tali pinggangnya yang satu itu hilang dan semalam aku bersembang lama dengan emak.