Yang selalu jengok

Monday, December 3, 2012

THE THIEVES

Cerita Korea selalunya hanya isteri aku yang layan.  Dia akan mengoogle, mencari dalam facebook atau bersembang dengan kaki2 cerita Korea untuk mendapat cerita bersiri yang terbaik.  Cerita tentang vampire yang menyiasat, pemain piano yang mengoda atau pasangan romantik menjual produk muka.  Aku selalunya tidak boleh menonton cerita yang terlalu panjang meleret kerana bagi aku sesebuah cerita itu akan ditamatkan dengan suatu situasi.  Kalau mahu yang panjang rasa2 sinetron Indonesia boleh menjuarai cerita2 bersiri ini.  Cerita 'The Thieves' ini adalah salah satu cerita besar Korea yang dilakunkan beberapa orang pelakon Hong Kong juga.  Cerita ini boleh didapati banyak dalam filem2 Amerika seperti contoh Heist atau siri Ocean Eleven.  Rekaan untuk mencuri ini bijak tetapi tidak melampaui cara berfikir normal aku.  Kerana mungkin aku sudah terbiasa dengan filem2 genre sebegini.  Ia bermula apabila seorang pencuri lama mengumpulkan geng curi dari dua negara iaitu Hong Kong dan Korea lalu merancang untuk mencuri loket yang berharga USD30 juta dari sebuah kasino.  Rancangan mereka digagalkan dengan kematian beberapa kawan tetapi loket itu berjaya dicuri dan kumpulan itu merasai mereka telah digagalkan oleh ketua yang mengumpul kedua2 kumpulan itu.  Filem terakhir Korea yang aku tonton adalah cerita 'The Host' yang bagi aku masih kekal teringat cerita aksi itu.  Filem The Thieves ini boleh ditonton dan cukup juga menghiburkan. 
 

PREMIUM RUSH

Cerita tentang penghantaran secara pantas bermula beberapa dekad yang lalu.  Bermula dengan merpati, hantar dengan kuda dan sekarang dinamakan 'Courier Services'.  Perkhidmatan ini diperlukan untuk membuat penghantaran paling pantas dari lokasi A ke B atau ke mana sahaja.  Mengunakan POS Malaysia mungkin kita memastikan barangan yang perlu dihantar sampai 24 selepas kita memberi kepada mereka barang yang hendak dihantar.  Ada yang perkhidmatan 3 hari, ada yang 24 jam dan ada yang beberapa jam sahaja.  Filem yang satu ini menceritakan tentang servis yang mengunakan basikal di Manhattan.  Mengikut rekod 1,500 penunggang basikal menjalar disekitar Manhattan dengan tidak mempedulikan undang2 jalanraya kerana untuk memastikan apa yang mereka hantar sampai ke tempat yang dituju tepat pada masa yang dijanjikan.  Perkhidmatan ini memastikan tiada jalan yang menyekat mereka hatta lampu merah sekalipun.  Cerita yang agak ringan tetapi mempunyai maklumat yang bagus untuk dipraktikkan di Malaysia.  Keadaan kesesakan yang melampau di Kuala Lumpur boleh memastikan perkhidmatan ini hidup di tengah2 Kuala Lumpur.  Cuma yang tidak diketahui oleh orang luar, motor2 kapcai kita di Kuala Lumpur boleh melakukan apa yang basikal di Amerika lakukan iaitu mencelok, laju dan tidak mempedulikan lampu merah.  Cerita ini menarik dengan gaya imbas kembali dan fikiran diterjemah dengan gambaran memberi persepsi baru filem aksi.  Aksi bermula apabila satu dokumen yang perlu dihantar ke satu tempat ditahan oleh seorang lelaki yang ditengah2 filem diketahui adalah seorang polis.  Cerita yang sangat menghiburkan sehingga habis tanpa perlu berfikir terlalu jauh.
 

LAWLESS

Cerita tentang gangster, kejam tak berperimanusiaan, potong leher, jari dan kepala memang menjadi makanan aku.  Cerita benar ini berdasarkan tahun2 sebelum jualan arak dibenarkan secara bebas di Amerika.  Cerita ini diadaptasi dari buku tulisan Matt Bondurant iaitu 'The Wettest County in The World".  Cerita tentang adik beradik yang mengusahakan jualan arak ke umum dan diketahui oleh semua orang termasuk polis.  Disebabkan keganasan mereka ini, pihak polis juga berbaik dengan dengan mereka sehingga didatangi oleh penguatkuasa dari Chicago yang sebelum itu diketahui tentang Al Capone yang hebat ditentang di Chicago.  Cerita ini disulami dengan cerita tentang kasih sayang adik beradik yang bagi aku disumbat dengan keganasan.  Adik yang dipukul polis diberi motivasi untuk membalas sendiri tanpa bantuan abang2.  Cerita tentang rasuah dan jahatnya polis di dalam filem ini memberikan peluang kepada gangster dan pengedar arak ini dilihat sebagai hero sehingga ke akhir filem.
 

ARGO

Ben Affleck sudah menjadi pengarah untuk filem ke 3 ini.  Sebelum ini dia mengarahkan filem pertama yang tak berapa laku iaitu 'Gone Baby Gone' dan sebuah filem yang pernah dicalonkan untuk Academy Filem iaitu 'The Town'.  Kesemua filem dari Ben ini aku tonton dan peningkatan pengarahan memang nampak terserlah.  Cerita Argo ini adalah bermula apabila kedutaan Amerika di Iran telah diceroboh ketika revolusi Iran pada tahun 1979.  6 orang Kanada terpaksa lari ke rumah kedutaan dan berlindung dimana penduduk Iran di Tehran ketika itu mahu menahan semua pendatang di Tehran.  Ben Affleck sebagai ajen CIA dan meminta bantuan pengarah filem Hollywood untuk membuat filem dan ia adalah sebagai satu helah untuk masuk ke dalam Iran dan menyelamatkan kesemua 6 orang yang tersepit tidak boleh kemana2.  Cerita yang bagi aku tidak mempunyai plot2 menarik tetapi cerita sejarah yang dibawa masa kini cukup memberi pelajaran tentang taktik penyelamat yang agak baik.  Sebuah filem Argo terpaksa dicipta pada masa itu dengan pengiklanan yang cukup, cerita akhbar, pelakon2, dan ini membuatkan Ben Affleck boleh diterima masuk ke Iran hanya untuk mencari lokasi filem yang sebenarnya menyelamatkan orang Kanada keluar dari Iran.
 

Wednesday, November 28, 2012

Hari Aku Jadi

dulu
sekarang
Sekarang ini jangan rasa terkilan jika tiada orang yang mengucapkan Selamat Hari Jadi jika hari lahir kita sudah sampai. Jangan rasa marah jika isteri terlupa membelai kita dengan hadiah.  Jangan terkilan kalau lansung tak ada orang yang mengucapkan 'Happy Birthday' pada kita.  Jangan rasa hampa kalau orang lansung tak peduli hari jadi kita itu.  Jangan terkejut kalau yang mengucapkan tahniah datang dari orang yang tidak kita kenal.  Dunia sudah berubah dan kita kena hidup di zaman perubahan ini.  Lesen memandu juga sudah ditetapkan pada hari lahir kita.  Kita diingatkan dengan begitu.  Aku diberi penghormatan awal oleh beberapa syarikat tentang hari lahir aku ini. 

2 minggu sebelum hari ini, AIRASIA sudah mengucapkan dahulu.  Seminggu selepas itu, ETIQA juga sudah menghantar email mengucapkan tahniah.  KLM yang nampak luar negaranya pun sudah seminggu mengucapkan benda yang sama.  YAHOO juga buat benda yang sama.  TRIPADVISOR juga tidak ketinggalan.  GENI yang tak kenal aku juga sudah menghantar email.  MAYBANK juga tiba2 kenal erat dengan aku.  CELCOM juga buat yang sama dengan macam2 iklan khas untuk aku.  PUBLIC MUTUAL hantar kad dengan CEO yang tandatangan - yang ini pasti aku tak kenal.  Terimakasih pada kawan2 yang tidak lupa kerana urusan ingat2 ini diterjemah oleh sistem pada kita.

FACEBOOK memang patut kita berterimakasih pada Mark Zuckerberg kerana satu sistem ingat ini menyebabkan kita dan kawan2 tidak lupn untuk mengucapkan selamat hari jadi pada hampir setiap hari pada kawan2. Bagus kerana kita tidak lupa tapi sebenarnya kita tak guna minda secukupnya.  Kalau dulu aku boleh ingat hampir kesemua nombor telefon kawan2 sekarang  nombor sendiri juga perlu direkod dalam telefon yang sama. Kita tidak perlu berfikir untuk benda2 yang senang ini tapi berfikir pada benda yang lebih besar - ekonomi, politik, nak besarkan anak dan nak cari duit. Selamat Hari Jadi Aku yang ke 42.

Sunday, November 18, 2012

Masjid Beijing

Perjalanan ke Rantau Panjang, Kelantan juga perlu direkod sebagai satu perjalanan pendidikan untuk aku.  Ini perlu dikongsi kerana perjalanan ini bukan untuk menghabiskan duit membeli belah di Rantau Panjang tetapi tentang satu masjid yang perlu diwar2kan. Masjid ini terletak di 2km sebelum sampai ke Rantau Panjang dari Kota Bharu.


Masjid yang kalau nampak dari jauh seperti tokong cina disebabkan kerana kita tidak keluar melihat ke dunia luar.  Masjid Beijing ini menyerupai masjid2 yang terdapat di China dan dikatakan menyerupai Masjid Niujie di Beijing yang berusia 1000 tahun. 



Masjid ini mula dibina pada tahun 2005 dengan kos RM8.8 juta dan dirasmikan oleh Sultan Kelantan pada tahun 2009.  Aku singgah bukan sebab untuk qada' hajat sahaja, aku jenis kagum dengan pemikiran yang melampau ini dan aku selalunya meraikan sesuatu yang hebat.  Aku bawa anak2 sekitar masjid Beijing ini dan menikmati hebat kecinaan masjid ini.  Aku mahu anak2 aku tahu bahawa penduduk Islam di China itu lebih banyak dari kita di Malaysia.

Saturday, November 17, 2012

Kota Bharu

tempat ku lawati
Kali terakhir aku ke Kota Bharu adalah pada tahun 1994.  Kalau ke Kelantan yang akhir sekali adalah ke Tanah Merah dan Rantau Panjang sekitar tahun 1998 pada awal perkahwinan.  Perjalanan dulu aku melalui Gua Musang dari Raub melalui Kuala Lipis dan berjumpa dengan Kuala Krai.  Aku ada sepupu di Tanah Merah dan perjalanan mengenalkan isteri ke sana paling aku ingat.   Tetapi pergi ke Kota Bharu bersama isteri ini pada 11/11/12 adalah kali pertama dan setelah ada 3 cahaya mata maka Kota Bharu aku lawati lagi. 

Banyak perubahan di Kota Bharu.  Perjalanan melalui Rantau Panjang pasti akan bertemu dengan kawasan Wakaf Che Yeh.  Aku bergurau dengan isteri mungkin ini mengambil sempena Pop Yeh Yeh.  Dan perjalanan melalui Wakaf Che Yeh ini mengejutkan aku kerana bangunan2 baru yang serba moden menidakkan nama kampungan tadi.  Wisma Audit dan Bangunan Kerajaan di sekitar Wakaf Che Yeh ini mengkagumkan aku.  Bagi aku Wakaf Che Yeh adalah Putra Jaya bagi Kelantan.  Moden dan serba hebat.  Kalau aku bertanya pada yang pernah pergi ke Kota Bharu yang paling mereka ingat adalah Wakaf Che Yeh adalah pasar malam terbesar di Kota Bharu.
 
Dan kami terpesona dengan iklan2 di banner disepanjang perjalananan kami dari Wakaf Che Yeh ke Kota Bharu yang sekitar 5 km sahaja.  Setiap kedai memastikan tulisan jawi di letak tinggi dari tulisan rumi untuk memperkenalkan kedai mereka.  Kedai Buku, tayar, kedai selenggara kenderaan atau apa sahaja, tulisan jawi pasti berada di atas untuk memperkenalkan mereka.  Aku pasti orang yang membuatkan papan2 iklan seperti sudah diprogram untuk membuat tulisan jawi apabila ada tempahan.  Semua iklan memerlukan gadis2 bertudung, cukup berilmu apabila anak2 bertanya dan ibubapa boleh menerangkan.
 
Kota Bharu dulu 1994, yang aku ingat cuma ada satu pasaraya iaitu The Store sekitar Pasar Siti Khadijah.  Tetapi sekarang sekitar Pasar Siti Khadijah sahaja yang aku nampak sudah ada banyak pasaraya yang besar - Giant, The Store, KB Mall, Pelangi Mall, Pantai Timur dan Kota Seri Mutiara. 
 
2 malam di Kota Bharu tidak cukup untuk aku menjelajah sekitar Kota Bharu kerana memenuhi permintaan isteri yang memuncak untuk berbelanja.  Kota Bharu bukan lagi seperti dulu.

Perjalanan ke Kota Bharu

Aku bercuti ke Kota Bharu pada 11- 13 November 2012.  Maka perjalanan dengan kenderaan ini kena dipastikan cukup bertenaga kerana mengikut google map perjalanan melalui Gerik ke Kota Bharu akan mengambil masa lebih kurang 8 jam 26 minit dari rumah aku atau 546 km.  Mengikut kiraan Fizik aku, ini bermaksud kalau pandu kereta dalam kelajuan 100 km/jam maka perjalanan sekitar 5 jam 25 minit sahaja.   Pada hari Ahad, 11 November pukul 7.30 am, bergeraklah kereta ke Kota Bharu dengan lafaz doa kenderaan.  Dengan kelajuan sekitar 150 km ph, aku memastikan di mana ada kamera AES.  Setelah di google juga aku perasan cuma ada di 1 tempat di sepanjang perjalanan aku ke Kuala Kangsar iaitu di Slim River dan  diberitahu juga ada 2 atau 3 kamera berada di jalan bandar ke Ipoh.  Maka kelajuan 150 km ph boleh diteruskan sehingga ke Kuala Kangsar.  Perjalanan tiada halangan dan tiada hujan, Alhamdullillah.  Aku sekeluarga hanya berhenti di Tapah untuk bersarapan sekitar pukul 9 pagi.  Perjalanan diteruskan ke Kota Bharu melalui Gerik.  Kami melalui Tasik Banding dan terus ke Jeli.  Jalan di sini tidak lurus dan pastikan anak2 tidur lena jika sampai ke sini kerana mereka mungkin boleh memuntahkan sesuatu bila perjalanan berputar2 memeningkan.  Bagusnya perjalanan sekitar Gerik ke Jeli ini adalah kawasan makan yang boleh didapati sepanjang perjalanan.  Mungkin tidak sehebat di lebuhraya PLUS tetapi cukup menyelamatkan.  Mata liar isteri nampak barang2 jualan di Jeli sudah terpancar dari muka.  Dari Jeli, perjalanan mengikut laluan akan menjumpai Rantau Panjang.  Memang kawasan ini menjadi tempat lawatan penting untuk isteri aku. Aku teruskan perjalanan ke Pantai Cahaya Bulan (PCB).  Homestay sudah aku tempah.  RM150 satu malam.  Sampai ke PCB sekitar jam 3 ptg dan mengikut rekod aku, anak2 sudah 2 kali tidur dan bangun untuk kami sampai ke Kota Bharu.  Viva Kota Bharu.

Friday, November 9, 2012

Kecekapan Bank

Dan sekarang diperkatakan Bank2 di Malaysia tidak sepantas dahulu.  Banyak Agensi Kerajaan sudah berubah gerak laku, perubahan ke arah kecekapan terus didambakan. Aku teringat ketika mahu membuat pasport 20 tahun dulu.  Paling kurang sebulan baru kita dapat lihat buku merah keras itu.  Sekarang hanya perlu 2 jam.  Jabatan2 di dalam bank ditambah hanya untuk melambatkan segala proses.  Risk Department berbeza tingkah laku dengan orang yang cuba meluluskan pinjaman.  Compliance Department pula bekerja memastikan kelambatan itu boleh diterima sebelum duit keluar untuk pinjaman.  Untuk pengeluaran pinjaman pula, semua bank sudah membuka Pejabat Kawasan (Regional Office) untuk membuat pemeriksaan sebelum duit dikeluarkan.  Kalau ditanya pada jabatan2 yang terlibat, semua mengatakan mereka effektif dan memastikan dalam masa 24 jam ia akan keluar.  Tetapi orang diluar semestinya tidak faham kalau 3 bulan baru semua selesai - merujuk kepada pinjaman rumah, pinjaman korporat, pinjaman ASB dan pinjaman persendirian.  Yang memproses pinjaman mengatakan mereka hanya perlukan 24 jam untuk lulus jika semua dokumen dapat.  Ini menyelamatkan mereka kalau terlambat.  Yang hendak meluluskan pula perlu pandangan Risk Department.  Selepas lulus maka dokumen hendaklah dipastikan telah termeterai sebelum dihantar ke pejabat Kawasan untuk dikeluarkan pinjaman.  Ketua di situ pula memberi kepada Comliance Department untuk memeriksa tentang fail yang dihantar itu boleh dikeluarkan duit atau dokumen masih  belum cukup.  Setelah seminggu dua baru duit itu dikeluarkan setelah semua yang terlibat memenuhi kehendak Risk dan orang yang meluluskan.  Maka kalau orang marhaen tidak faham tentang ini kemungkinan mereka akan marah.  Ketahuilah untuk satu pinjaman paling kurang fail itu akan dilihat seramai 20 orang.

Monday, October 29, 2012

Hafalan Shalat Delisa

Tsunami 25/12/2004 Acheh sentiasa kekal dalam ingatan.  Rapatnya cerita tsunami kerana sekitar masa yang sama keluarga aku juga kehilangan beberapa orang yang dikasihi.  Cerita Hafalan Shalat Delisa yang dititip dari karya tulisan Tere Liye seorang pemuda yang berbakat.  Cerita tentang Delisa, seorang kanak yang sangat indah hidupnya disamping keluarga yang tersayang.  Bersama Ummi Salamah, kakaknya Fatimah dan 2 kembar iaitu Az Zahra dan Aisyah.  Ayahnya yang bekerja di luar negara - Abi.  Bermula pada 24 Disember 2004 sehari sebelum kejadian Tsunami yang menunjukkan satu keluarga bahagia dan aman di Lok Nga (salah satu perkampungan kecil di Acheh).  Cerita tentang bagaimana anak2 kecil di sana diajar menghafal bacaan solat dan diperiksa secara praktikal dan diselitkan dengan maksud supaya kanak2 tidak menjadi seperti burung kakak tua.  Cantiknya cerita ini kerana walaupun seluruh keluarganya mati dan kakinya dipotong tetapi kanak2 kecil ini, Delisa meneruskan hidup dengan gembira.  Tanpa kita perasan nama2 keluarga Delisa ini adalah berkaitan Rasullullah SAW.  Dan yang paling meningatkan aku adalah lagu Ibu yang sentiasa berlagu di dalam filem ini - sedih dan mengingatkan.
 
 

Aku Bukan Haji

Eid Mubarak dan hari terakhir melontar jamrah di Mina.  Aku membantu melapah lembu 2 hari berturut2.  Jumaat dan Sabtu.  Mungkin diperiksa tahap darah dibadan ini sekarang naik tinggi kerana hari2 makan daging.  Semalam 28/10/2012 hari ke 2 Thasrik, sudah tidak ada yang membuat korban lembu dan yang peliknya mengikut ramalan Aidil Adha kali ini akan terus sejuk kerana hujan tetapi hari terus memanas semalam 2 hari untuk membantai lembu.  Aku menonton cerita "Aku bukan Haji" lakonan Ashraff Muslim, Fauziah Nawi dan Wan Hanafi Su.  Cerita tentang seorang lelaki yang mencuri duit bakal haji untuk membeli ubat buat ayah yang sakit kuat. Bakal haji itu pula meninggal dunia kerana sakit jantung disebabkan kecurian itu.  Setelah itu bapanya meninggal dan duit itu dipulangkan secara senyap dan dia setiap kali memohon ampun pada keluarga yang meninggal walaupun tiada yang memahami kerana dirahsiakan perbuatannya.  Panggilan haji oleh Wan Hanafi Su untuk menaikkan semangat tetapi buat si pencuri, Ashraff lain pula kerana ia membuatkan jalan cerita menarik kepada aku.  Duit dicuri dan bakal haji meninggal.  Aku juga cuba dekatkan tentang kes pekerja Tabung Haji yang mengambil duit dari bakal2 haji untuk menaikkan nama orang lain menggantikan nama yang didalam barisan.  Tiba2 orang yang dialihkan itu meninggal dunia!  Tidakkah ini sama dengan mencuri hak orang?

Wednesday, October 24, 2012

Seminar Percukaian Kebangsaan 2012

Semalam menghadiri Seminar Cukai Kebangsaan di Shah Alam Convention Center.  Dikelolakan oleh LHDN dan dihadiri lebih dari 400 peserta.  Nampak macam menumpukan perhatian peserta tetapi bila sembang2 waktu minum dan makan, baru perasan mereka ini kebanyakannya adalah agen percukaian yang perlu menghadiri seminar percukaian untuk mendapat lesen sebagai agen.  Seminar Percukaian itu terbahagi kepada 2 bahagian - pertama tentang usul bajet yang baru diperkatakan di Parlimen dan kedua tentang pengelakan cukai untuk didakwa atas kesalahan jenayah.  Pengetahuan tentang percukaian bukan semua tahu tetapi bermula dari tahun 2013 nanti sesiapa yang tidak menghantar borang cukai dikira sebagai penjenayah, sesiapa yang cuba mengurangkan cukai dikira jenayah juga.  Dan sesiapa yang mengarahkan, membuat dan merekacipta untuk mengurangkan cukai juga boleh didakwa atas kesalahan jenayah.  Boleh masuk penjara dan didenda.  Banyak yang dibincangkan dan ia terlalu rapat dengan kita dan kemungkinan benar akan datang, kerjaya agen percukaian menjadi lebih penting bukan hanya untuk syarikat tetapi individu juga. 
 
Apa yang berubah di dalam percukaian - 21 seksyen dalam Akta Percukaian 1967 berubah, 4 seksyen dalam Akta Petroleum 1976, 6 seksyen dalam Akta Percukaian dalam Keuntungan Jualan harta 1976 (RPGT) dan 4 seksyen dalam Akta Stamp 1957.  Bersedia untuk menerima pengetahuan percukaian kerana walau kita mengelak ia akan datang juga akhirnya.