Pagar di belakang asrama itu sudah naik lendut di pijak budak2. Aku memang menggunakan laluan itu kalau mahu keluar malam. Cerita Rambo lakonan Slyvester Stallone menjadi jolokan untuk keluar malam. "Malam ini me'rambo' ke mana?" Pagar yang satu ini tidak pernah menduakan sesiapa. Kalau ada yang melangkah diberikan percuma, kalau yang mengoyakkan pagar pun tidak dimarahkan. Sudah banyak kali pagar yang satu ini diberi nafas baru. Dikahwinkan dengan pagar yang lebih hijau atau digandingkan dengan pagar yang lebih kejam berduri. Semua ini tidak dipedulikan oleh orang. Ada 3 tempat pagar yang pasti dilanggar oleh budak2. Yang paling kiri adalah bertemu pula dengan rumah pegawai yang menjaga asrama. Yang tengah pula akan bertembung dengan kuil yang tidak pernah sunyi dari bergendang. Dan yang paling hujung adalah paling susah kerana kalau siang, Jaga boleh nampak terus ke lubang pagar yang bocor. Hati Jaga mana yang senang bila nampak orang lalu lalang tanpa takut dengan Jaga. Semua Jaga dibekalkan dengan cota yang menakutkan. Tapi budak2 tidak pernah kena seliang pun dengan Jaga. Pernah diceritakan bahawa Jaga bergaduh dengan budak2 asrama itu tapi itu semua cerita kategori Wan Empok dan Wan Malini dimana Melayu berasal dari muntah lembu. Aku salah seorang pengguna tegar pagar paling kanan. Yang tengah, aku paling pantang kerana mak aku pernah cakap, kuil yang satu ini pasti ada hantu2 yang jaga. Pagar yang kanan satu ini memang banyak jasanya. Kalau keluar dari sini jangan sekali2 cuba hendak masuk bila balik nanti, pasti ada yang tunggu. Kalau bukan Jaga yang tunggu pasti pengawas2 yang mengambil alih. Aku bukan mahu mengelak dengan Jaga atau Pengawas2 tetapi mengelakkan konfrantasi. Kalau malam sudah mula berembun, pagar paling kiri menjadi pilihan. Ia akan melalui rumah pegawai asrama yang sudah lena dan padang tenis yang aman tanpa gangguan. Bab ini adalah yang paling menyeramkan kerana selalunya terpaksa melalui rumah Ustaz yang diberi rumah didalam kawasan asrama. Berdetik sahaja pasti lampu rumah Ustaz akan terbuka dan aku akan mula berlari seperti pistol berlumba sudah dibunyikan. Pagar2 ini semua banyak jasa pada aku. Aku tak pernah berbuat jahat dengan pagar2 ini. Pagar2 ini sentiasa setia walaupun budak2 asrama bertukar setiap tahun dengan perangai yang berbeza nakal.
No comments:
Post a Comment