Bedak cuticura sudah disapu lekat di muka. Minyak wangi Lavendar dengan penyanyi model Malaysia juga sudah disembur ke badan. Minyak rambut jenis tiub juga sudah melekat di rambut. Wangi jangan cerita. Pertemuan hari ini kali pertama untuk dia. Baju sudah digosok walaupun hitam di leher baju tidak hilang. Sudah lama rasanya tidak memberus di tengkuk. Mungkin 2 kali basuh baru sekali leher baju digosok. Seluar jeans hitam disarung dengan lekas. Seluar ini lagi tidak basuh lagi lembut untuk dipakai. Kasut pula menjadi isu pagi2 ini. Hanya satu inilah sahaja barang yang selalu dia lupa. Hanya ada satu pasang dan itulah yang dipakai untuk kerja dan bersosial. Tepi2 kasut sudah berbulu dan hati dia cukup berbulu juga melihat tapi apakan daya kasut ini sudah banyak jasanya. Macam2 perkara datang singgah di kepala. Duit RM20 mungkin cukup untuk pertemuan pertama ini. Duit ini cukup untuk menonton wayang dan makan sekenyangnya. Dompet yang tebal berisi berbagai itu diselak2 lagi untuk mencari duit2 yang mungkin terselit. Tak ada dan pertemuan tengah bulan ini nampak berbajet rendah dan tidak mewah. Rancangan hari Sabtu ini ke Lake Garden mungkin lebih meriah nanti kerana konsert di Taman Tasik Perdana dihidangkan dengan kumpulan Search. Program ini mungkin lebih istimewa dari menonton wayang kerana percuma. Cerita wayang yang ada sekarang adalah filem Mekanik. Memang popular dengan ayat biasa "Orang Putih ka, orang hitam ke, orang merah ke, kita orang Malaysia kan!" Termenung lagi dia di depan pintu. Waktu sudah sekitar 9 pagi. Perjalanan dari Subang dengan Bas Sri Jaya mungkin 1 jam baru sampai ke Kuala Lumpur. Dia bergegas memakai kasut tanpa stokin kerana dia perasan bukan hanya kasut sahaja yang sepasang, stokin juga begitu. Bas bernombor 47 adalah bas yang selalu dinaikinya untuk ke Kuala Lumpur. Perjalanan melintasi Airport Subang, Asia Jaya, melalui Bangsar dan lalu ke Muzium dan pasti sampai ke Bas Stand Klang. Tambang ke sana sekitar RM1.70. Duit2 syiling disediakan di dalam jeans yang tidak basuh 2 minggu itu. Spek hitam yang dibeli di Petaling Street berjenama Puma sudah penuh dengan daki terus dipakai waktu pagi2 itu. Dari jauh dia nampak segak dan dekat wangi cuticura melekap terus. Tiada siapa tahu bahawa di poketnya hanya ada RM20 dan aksi pertama ini akan menjadi sejarah hidup untuk diingati.
No comments:
Post a Comment