Yang selalu jengok

Wednesday, November 30, 2011

Jalan Kaki Tengok Wayang 1986 Kuala Lumpur

Masa itu, habis satu KL aku berjalan kaki.  Chow Kit, Lorong Hj Taib ke Pudu, Jalan Changkat Thambi Dollah dan terus ke Kg Pandan.  Malam minggu, panggung wayang Coliseum memang jadi tempat singgah orang2 muda.  Ketika itu aku sekitar 16 atau 17 tahun. Berdua dengan kawan pun aku pergi.  Cerita masa itu mesti ada unsur2 buka kain - Pelakon Barry Prima dan Yati Octavia -Jaka Sembung. Kalau ke Chow Kit tengok wayang kat Golden City Cinema - ini pun satu jenis panggung untuk cerita buka2.  Dari Chow Kit, aku akan berjalan kaki ke asrama kat Kampung Pandan. Asrama Tun Dr Ismail. Memang jauh kalau difikirkan. 

Kalau menonton di Golden City Cinema iaitu setentang dengan balai Polis Setapak. Bas Mini yang perlu naik adalah dari Chow Kit sahaja iaitu No 25. Bas mini 25 sudah berhenti berjalan waktu malam2 macam ini.  Duit pun hanya cukup untuk tengok wayang dan sekeping 'burger'.  Habis wayang sekitar 12.30 am dan berjalanlah kaki perlahan2 ke Kampung Pandan.  Masa tu aku rasa Polis sudah malas buat rondaan.  Tak pernah rasanya bertembung dengan dorang waktu2 macam tu.  Pelik rasa2nya bertembung dengan anjing pun tidak.

Mula2 sampai ke Chow Kit.  Orang sudah kurang macam boleh baring tengah jalan.  Kalau ada pun di lorong2 lelaki jadi perempuan atau perempuan buka kain sahaja yang masih menjual.  Jalan lagi sampai kat Pertama Complex, masa tu Sogo tak ada lagi.  Pawagan terdekat adalah Rex, selalu cerita Hollywood - Missing In Action. Kompleks Campbell pun dah tutup.  Mat2 rempit tak ada berlumba kat jalan raya.  Masa tu kalau nak kencing tengah jalan pun orang tak ada nak sorak.  Jalan lagi boleh jumpa Kompleks Wilayah.  Senyap tak ada orang.  Jalan lagi ke arah Pudu Raya.  Semua orang dah tidur.  Jalan perlahan2 jumpa Panggung Cathay.  Panggung Cathay hanya tayang cerita2 Hollywood dan banyak kena tapis.

Ke depan lagi boleh nampak Penjara Pudu.  Lukisan yang dilukis di dinding penjara itu sampai sekarang aku tak ingat apa dia.  Berjalan lagi sampai jumpa lorong Changkat Thambi Dollah.  Lorong ini kawasan Cina masa itu walaupun namanya Thambi.  Aku akan berjalan sehingga hujung jalan tembus ke pusingan Bulatan Kampung Pandan.  Perjalanan tak sampai sejam dari Chow Kit ke situ pada malam hari.  Penat tak terasa kerana embun2 mula nak turun.  Lansung tak jumpa hutan. 

Dari bulatan Kampung Pandan, padang asrama sudah kelihatan.  Tetapi paling bahaya ketika hendak menyusup masuk ke asrama dari pintu belakang.  Pagar dawai yang sudah berlubang dari longkang besar adalah jalan masuk ke asrama.  Melalui kuil Hindu depan asrama Bahagia (ini asrama aweks) dan terus ke longkang.  Kadang2 baju tersangkut di pagar boleh mencalarkan badan.  Masa itu, bahaya tiada dalam kamus pada aku. 

Jadi orang muda hendak tengok wayang memang mengundang bahaya dan seronok pada masa itu.  Sekarang dari Chow Kit hendak ke Kampung Pandan dengan berjalan kaki rasa2 boleh muntah darah aku.

Tuesday, November 29, 2011

Bila Aku Pening - aku layan lagu



Yuna telah memperbaharui lagu lama dan diberi nafas baru.  Kalau dengar lagu lamanya, mungkin kurang berminat dan tak terliur dengar.


Monday, November 28, 2011

Kongsi Pelamin

Berkongsi buat kenduri Aqiqah
Bukan murah sekarang hendak kahwin.  Merisik duit keluar, bertunang duit keluar dan kahwin pun main banyak duit keluar.  Kebocoran duit yang banyak ini tidak dikira sebetulnya.  Kerajaan sepatutnya tidak hanya mempromosi konsep guna semula pada plastik atau kertas dan selainnya tetapi perkakasan perkahwinan yang mahal ini juga boleh diguna semula.  Ambil contoh jika seorang menyewa dewan untuk berkahwin - Seri Perdana Dewan Felda dan dengan menggunakan lebih dari RM20,000 dihias satu dewan dengan pelamin, bunga2, hiasan pelik2 dan meja2 yang dihias indah.  Perkahwinan diwaktu tengahari yang telah habis boleh dibiarkan untuk perkahwinan ke 2 pada waktu malam.  Ini dapat menyelamatkan duit dari kebocoran dalam ekonomi.  Kebocoran ekonomi adalah dimana tiada siapa yang kisah atau putaran hidup sesuatu ekonomi terhenti tanpa dikira - contoh2 lain adalah seperti kesesakan lalu lintas - minyak yang hilang ketika kesesakan itu adalah kebocoran ekonomi.  Kita membayar minyak untuk berjalan tetapi ia terhenti kerana kesesakan.  Kebocoran ketika perkahwinan juga adalah banyak kerana setiap perbelanjaan dipanggil hangus kerana selepas berkahwin siang, tiada siapa yang menyimpan pelamin untuk dihias di depan rumah.  Penggunaan semula ini adalah mengikut persetujuan.  Kita ambil 4 pasangan yang bersetuju untuk berkahwin di dewan yang sama tetapi berlainan hari atau masa.  Minggu pertama Sabtu siang dan malam atau  Ahad siang 1 pasangan dan malam 1 pasangan - pelamin mungkin nampak masih lawa dan tidak perlu di perbaiki ketika itu.  Kalau semua orang mengambil sikap berkongsi mungkin kebocoran dapat diselamatkan.  Kalau boleh kita pastikan artis yang berkahwin pada Sabtu hari siang itu, maka perhiasan yang ditaja mungkin menarik untuk diguna sebanyak 4 kali.  Ekonomi yang terbocor tidak sihat pada masa ekonomi dipantau .

Saturday, November 26, 2011

Economics Crunch

sekadar hiasan di bandar
Tajuk sahaja sudah nampak bahaya.  Bila ia berlaku dan bagaimana reaksi orang ramai.  Aku dan semua orang yang hanya tahu cukup bulan pergi ke ATM dan mengeluarkan duit.  Ia bukan seperti makanan Crunchy yang sedap atau benda yang rapuh tapi sesuatu keadaan yang terlalu menyempitkan.  Dunia kapitalis yang melakukan semua ini.  Minyak naik menyebabkan harga makanan naik, nelayan tak mahu ke laut, bayaran cukai individu diketatkan, harga rumah naik, bank tidak baik macam dulu2 dan ketakutan melihat syarikat kita operasi atau tidak keesokan hari.  Diberitakan juga penanam durian menghadapi masalah dengan undang2 untuk eksport dimana hanya satu syarikat di Batu Kurau yang membuat 'packaging' khas untuk dieksport.  Kos tinggi ini sudah menyebabkan penanam durian terasa tekanan. 

Tekanan dengan harga rumah yang tinggi di Kuala Lumpur boleh terpalit juga dengan sewa dinaikkan.  Ini boleh memberi pitam kepada orang yang baru kahwin. Perlukah kita berhenti dari melihat2 rumah untuk dibeli?  3 tahun selepas membeli dan duduk rumah sendiri, kita sepatutnya melihat2 harga rumah kita kalau dijual dan melihat2 rumah baru untuk dibeli.  Ini adalah konsep berumah.  Pembelian rumah ke 2 semacam diperlukan dalam keadaan sekarang kerana berfikir bahawa generasi akan datang pasti susah mendapat rumah di sekitar kita.   

Tekanan harga barang juga menyempitkan keadaan.  Memberi belanja anak sudah sampai ke tahap memakan mungkin separuh makan ibubapa sendiri.  Berapa yang sesuai diberi untuk anak.  RM3 sudah jauh kebelakang dan kemungkinan anak hanya makan untuk pagi sahaja.  Anak2 yang disekolahkan di Sekolah Kebangsaan dan bersambung di petang di Sekolah Agama sebenarnya memerlukan sekitar RM8 untuk kenyang dan belajar gembira.

Bank2 sudah tidak sebaik dulu.  Pinjaman peribadi hanya diberikan pada yang mampu membayar dengan potongan terus pada gaji.  Ini adalah tekanan kepada pemimjam.  Kad Kredit sudah disekat dengan kadar limit sebanyak 2 kali gaji sahaja dan hanya dibenarkan 2 kredit kad sahaja.  Meminjam untuk membeli rumah ke 2 hanya dibenarkan 70% sahaja dari harga.  Ini tekanan kepada pembuat rumah untuk menjual.  Harga rumah yang tinggi menambah masalah kepada pembeli untuk mengeluarkan deposit.

Makan di rumah dan diluar seolah2 sama sahaja.  Harga barangan dapur yang tinggi dan masa untuk memasak sendiri sudah memberi tekanan kepada suri rumah.  Harga ikan tinggi sehingga menyebabkan kalau makan diluar, pilihan untuk ke makanan segera lebih memanggil.  Makan tengahari dengan RM5.95 ++ di Mc D berbanding makan nasi dengan satu lauk sudah jauh ketinggalan.  Mc D boleh menjadi juara kalau melihat bab ini sebagai satu peluang.

Menjadi miskin di bandar lebih menyedihkan dari miskin dikampung.  Sesak dibandar sekarang dan cuba memutar semula cerita lama tidak berhutang tidak boleh lagi diingat.  Kumpul duit dan berjimat sekadar mampu mungkin tidak mencapai apa yang dihajat.  Berdoalah selalu semoga Allah memberi jalan yang terbaik kerana ingat ayat Al Quran "Kerosakan di muka bumi ini disebabkan tangan2 manusia sendiri....." 


Friday, November 25, 2011

The Rise of Planet of the Apes

Masa aku kecil2, cerita apes ini memang menjadi bualan anak2.  Sesiapa yang tidak menonton pasti mendengar terlopong dengan semangat Beruk ini.  Beruk2 pandai bercakap, berperang dan sedih boleh membuat orang ikut sedih.  Tajuk cerita "Planet of the Apes".  Semalam aku menonton cerita terbaru pasal Apes ini lakonan James Franco dan Freida Pinto.  Lakonan yang sekadar boleh diterima kerana James Franco nampak tak layak nak jadi doktor hebat tetapi lebih kepada penjaga ZOO sahaja.  Cerita bermula bila beruk/monyet ini disuntik dengan sesuatu untuk jadi pandai.  Ibu monyet sebenarnya telah menyuntik anak beruknya sendiri.  Projek itu dibatalkan kerana keganasan monyet yang akhirnya diketahui ia hanya mahu memastikan anaknya selamat.  Dan besarlah monyet itu dalam keadaan yang bijak.  Cerita yang penuh dengan keganasan monyet. Helicopter pun boleh jatuh dengan keganasan moyet ini.  Cerita yang boleh layan bersama anak2 dan bercerita tentang kasih sayang.

Terlalu Hampir Kematian

sekadar hiasan
Hari Rabu 23/11/2011 pukul 2.30 am, Mak Ngah, Jamaliah bt Nakisa 72 tahun meninggal dunia di Bagan Buaya Changkat, Nibong Tebal, Pulau Pinang.  Di solat di Masjid Changkat dan dikuburkan di perkuburan Changkat.  Aku sekeluarga mengunjung dan mengucapkan takziah kepada keluarga Mak Ngah.  Diberitahu bahawa Allahyarhamah diketahui mendapat kanser yang sudah ke tahap 4.  Dan ini hanya diketahui sekitar bulan Ramadhan 1432 dulu (3 bulan).  Hospital sudah tidak terima kerana keadaan umur Allahyarhamah.  Semoga roh beliau berada dikalangan orang2 solihin, Insyaallah.

Tuesday, November 22, 2011

Komen kawan2 Facebook Perlawanan Malaysia - Indonesia

Sebelum perlawanan

Azlim Mohamed "jom sama2 kita tukar profile pic...sbg sokongan dan semangat harimau Malaya dan harimau muda..... Idzfan Idris "kat putrajaya ni depa tak pasang skrin besaq for SEA Game final ka?" Zamnazlan Zainalin "moOD ARINIE : MASTERCHEFF malam nie aku xdpt tengok ko pasal aku nk tngok Malaysia kalahkan Indon. Heheiehe" Cempaka Biru "semoga Malaysia dapat menang malam ni," Fauzi Gee Poh "negaraku, tanah tumpahnya darahku...go Harimau Malaya go, kita ganyang itu indon kuang ajar..." Mummy Sofea "stadium astro...Malaysia vs Indonesia..debaran yg teramat...apa pun mesti solat dulu...solat dan berdoa" Rohaizad Aznan "Semoga skuad malaysia Berjaya mengalahkan Indonesia mlm ini"

Dalam Perlawanan

Fadzli Othman "Goooooolllll................." Munirah Mujir "Alhamdulillah...go M'sia" Aku "kita main bola bro" Dean Dinas "goolll malaysia ganyang indonesia Harimau Boleh" Ogyadziah Suratman "MALAYSIA BOLLEH !!! MALAYSIA BAGUSS!!! MALAYSIA TERBAIK!!! Wsv Vios "Im proud with our team. Go gold!" Azlim Mohamed "fakri oh fakri" Wsv Vios "Indon memang pantas bikin sinetron di padang bola..." Sheikh Amir Hussien "peluang utk msia...peluang utk msia...itu aje yg aku dgr dti tadi..." ShahRul NiZam :: Please lah score !" Noorul Haq "the way the malaysian player main...kaly menag atau kalah pon kita patut rasa bangga dgn pemain kita yg menunjukkan satu perlawanan yang yg bersungguh2..." Ogyadziah Suratman Wlupn aku x bp nk suka bola, tp sbb lwn ngn indon, aku kena tgk gak, anyway MALAYSIA IS THE BEST !!! YES YES GO MALAYSIA!!!! Aku "indonesia dah goyang beb, bibik belakang rumah dah brenti nyanyi"

Masa Penalti dan Menang

Sheikh Amir Hussien "adoiii fakri" Buddy Budz "Satu lagiiiiiiiiiii!!!!" ShahRul NiZam :: "YEZZZAAAA" Aku "ditampan tapi masuk GOOOOLD" Nurul Ezuarina "malaysia menang. yahoo" Noorul Haq "alhamdullillah...." Zaliana Sarjuni "oh baddrul bakhtiar..muahhh muahh" Ogyadziah Suratman "X MENYESAL AKU TENGOK!!!! YAHOOOOOO......." ShahRul NiZam :: GARUDA ptah sayapnya!" Buddy Budz "Thank yu to the Japanese refree too" Zamnazlan Zainalin "alhamdullilah..akhirnya harimau gigiT SAmpai paTah Sayap garuda Heheh" Fauzi Ge Poh "penalty...4 bung karno 5 bung mukhtar!!!kekeke...syabas Harimau Malaysia" Hasmuni "Alhamdullilah....Malaysia Boleh!!" Shahril Che'May "tahun yg akan datang mungkin kita naik kapal selam menuju ke stadium" Aku "jakarta banjir air mata" Norzahari Zakaria "proud to be the ultimate owner of the mother of ALL gold"

Komen Aku dan Indonesian friend Dea Portal

Aku "menang bola menang semua" Dea portal "hehe betul Pak menang semua :D" Aku "Congratulation jugak pada Indonesia" Dea Portal " iya lah hehe malaysia bagus mainnya, tak ada yang tak bagus keduanya bagus" Aku "Maju sukan Nusantara"

Monday, November 21, 2011

Kentut Je

2 hari berturut2 aku berjumpa dengan ramai orang.  Bukan pergi membeli belah tapi ke majlis ibubapa bertemu dan bersembang.  Tengahari Sabtu , aku menghadiri majlis Aqiqah selang 4 rumah dari rumah, malam harinya aku ke Bukit Jelutong menghadiri majlis penukaran tali pinggang Taekwando anak dan malam semalam ke konvokesyen anak dari 8 ke 11.30 pm.  Peluang berjumpa pasti memerlukan kandungan sembang yang banyak kerana kita kena pastikan sekitar kita tidak terlalu diam dan serious.  Aku perhatikan banyak ibubapa yang terlalu serious dan susah hendak senyum.  Kalau bercakap hanya keluar ya, tidak dan senyum suruh orang faham.  Aku rasa2 mereka kat rumah mungkin begitu dan mengharapkan anak2 faham tentang arahan menggunakan mata - jeling dan jeling sampai takut. 

Ibubapa dengan anak2 tidak perlu selalu serious kerana banyak pertanyaan anak hendaklah dijawab dengan tepat dan kadang2 penuh dengan humor.  Anak aku akan menyuruh banyak benda untuk aku buat - susu, tolong koyakkan plastik, nak dukung dan tolong belikan makanan.  Dan selalu ketika kita sibuk ketika itulah arahan mereka datang.  "Ayah tolong bukak mamee ni" Aku akan memberitahu aku tengah sibuk dan menambah cuma kaki sahaja yang boleh membantu sekarang.  Anak aku akan menyelitkan plastik itu ke kaki aku sambil ketawa.

Bila serious aku perhatikan memang anak2 juga ikut serious.  Kurangkan sikit stress kerana dalam keluarga yang terlalu serious, arahan dibuat seolah2 menyuruh dan suruhan memang memedihkan.  Nasihat aku kalau untuk kurangkan stress dan tambahkan humor dalam keluarga buatlah satu benda.  Buat lawak agar keluarga tahu bergurau.  Cuba kentut ketika semua tengah serious bersama dan mulakan sembang dengan kentut juga.  Kalau tidak ada tindak balas memang keluarga ini serious. 

Nabil Berkonvo


2 hari yang penat
Anak lelaki aku ke majlis konvokesyen di Hotel UiTM semalam 20/11/2011.  Bangga aku kerana dia telah tamat belajar tadika.  Banyak benda yang dipelajari di sekolah.  Cara bergaduh, bersedih, berkongsi, berlagak, menunjuk2, berkasih dan taekwando.  Sehari sebelum itu waktu malam juga, dia terpaksa mengharung hujan untuk ke Bukit Jelutong untuk majlis menukar tali pinggang 19/11/2011.  2 malam berturut2 sibuk memenuhkan hari dengan aktiviti sekolah.  Majlis penyampaian hadiah atau Ihtifal 2011 untuk tadika Caliph dipenuhi dengan makan minum dan kanak2 berlakon menyanyi.  Ibubapa terhibur dengan keletah anak dan dua malam yang memenatkan anak2. Tahniah dan semoga cemerlang.


bersama kawan graduasi

untuk tukar kaler tali pinggang


Saturday, November 19, 2011

1511 H [Kombat]

Membaca kembali buku Kombat tulisan Faisal Tehrani memang mengujakan.  Cerita tentang kebangkitan pemuda2 Islam sedunia bangkit bersama menentang kafir.  Buku ini menang hadiah buku remaja terbaik tahun 2003.  Kebangkitan bersama cyborg, cypher or bom teknologi dan radar tercanggih dipapar di buku ini.  Pihak Kafir mahu menyerang Mekah dan pemuda Islam bangun menentang. Seorang hartawan Syarifah Nusaybah yang mencari keredhaan Allah memastikan perjuangan Islam ditegakkan.  Cerita yang penuh dengan perkataan sains baru dan rasa2 boleh difilemkan.  Boleh baca dalam sejam sahaja. 

Friday, November 18, 2011

TERRITOIRES

Dengan semangat hendak mengetahui banyak cerita tentang Canada, aku tengok cerita Canada.  Cerita tentang 5 orang anak muda yang baru balik dari kenduri kawin di Canada cuba melepasi sempadan Canada ke Amerika.  Pihak kastam telah menahan mereka dan menjumpai marijuana (ganja) di dalam kereta.  Dengan semangat Guatanamou yang Amerika mahu tutup, 2 orang kastam ini telah menahan kelima2 anak muda itu dan melibatkan mereka dengan terorris.  Penyiksaan yang dibuat tidak sampai ke macam filem benar "The Road to Guatanamo" tapi sekurang2nya dapat melihat cara orang yang menyiksa orang berfikir.  Entah kenapa cerita ini juga tentang anak muda yang mahu melihat kawan kawin di Pakistan dan telah di tahan di Afganistan. Macam tiru je. Keganasan tidak sampai menutup mata dan boleh layan dan 2 / 3 scene pelakon buka baju. Tetapi pada satu scene penonton pasti menutup mata sebentar kerana teknik lampu digunakan seperti cerita "Babel" digunakan iaitu suasana bisu diberhentikan dan diselangi dengan cahaya lampu.  Tengok lama2 boleh pening. Ini pun tiru. Cerita yang boleh layan kalau minat. Jom pergi Canada.

The Devil's Double

Cerita benar anak lelaki Saddam, Uday Saddam Husein.  Cerita ini berlaku sekitar tahun 93, ketika Iraq menawan sebentar Kuwait.  Bermula dengan seorang pegawai tentera, Latif di bawa ke istana Uday dan dipelawa menjadi pendua kepada Uday.  Mereka seperti kembar dan mana2 yang tidak sama mereka akan memastikan pembedahan dilakukan dan dibuat sama macam Uday.  Kekejaman Uday diperlihatkan di filem ini tetapi tanpa mengesahan kebenaran walaupun cerita Uday sudah menjadi rahsia orang kebanyakan.  Cerita tentang duplikasi Uday tidak sehebat Saddam Husien dimana orang Iraq melihat Saddam Husein boleh berada di 5 tempat dalam satu masa. Cerita yang perlu ditengok untuk menilai tentang pemimpin2 di sebelah Arab sana.  Akhir cerita, Latif membuat percubaan membunuh Uday walaupun tidak berjaya tetapi telah menyebabkan Uday cacat sepanjang hidup.  Uday telah mati semasa peperangan Nato menyerang Iraq 2003 dulu.

Wednesday, November 16, 2011

Dilemma Kad Kredit

Pening memikirkan strategi mengurangkan pengunaan kad kredit.  Apa yang boleh dibuat dengan 2 kali gaji kredit limit.  Mengikut rekod setiap hari 41 orang akan jadi bankrap sebab kad kredit.  RM24 billion dalam ekonomi adalah hutang kad kredit.  Kita tak diajar bagaimana hendak pakai dan sekarang diminta kurangkan sehingga 2 kali gaji sahaja.  Bila masuk supermarket, orang2 Bank datang mempromosi dengan hanya tunjuk kad lama kita boleh tambah kad baru.  Tak susah dan kadang2 kita setuju tandatangan sahaja dapat hadiah kereta budak2 pakai bateri.  Satu masa dulu siapa pakai kad kredit kena bayar kadar minima sebanyak 25% dari apa yang dipakai.  Bila masuk ekonomi meleset tahun 1997/98, Che Det turunkan 5% je bayaran sebab kalau tidak, mungkin banyak orang lagi yang bankrap.  Setelah sekian lama, kerajaan nak tukar strategi setelah masalah sudah bertimbun.  Sekarang semua pemegang kad bergaji bawah RM36,000 setahun atau RM3,000 sebulan hanya dibenarkan mempunyai 2 kad kredit atau kadar limit RM6,000 setiap satu. perubahan yang drastik ini, boleh memeningkan mat2 skema dan gadis2 telefon pintar.  Gaji sekitar RM1,800 setelah habis belajar Universiti dan mempunyai 3 kad kredit - satu untuk minyak, satu untuk bersosial dan satu untuk bershopping.  Pembayaran PTPTN pulak sudah mula mengigit gaji bulanan. Pening jadi anak muda sekarang. AKPK pun menawarkan diri untuk tolong tapi bukan bagi duit tetapi hanya nasihat dan berbincang dengan bank.  Apa risiko bila bersetuju buat bayaran? Rekod nak meminjam terus buruk selagi tak bayar habis.  Pinjaman baru tidak boleh dibuat. Cuma Along bersedia membantu.

Kondo + Feedlot = Lembu Sihat

Aku memang tak rasa bersalah pun.  Bukan duit itu habis aku belanjakan.  Duit yang dibelanjawankan memang untuk projek itu.  Feedlot kebangsaan = National Feedlot.  Projek diberi sebanyak RM250 juta untuk meningkatkan nombor lembu di pasaran.  Semua orang makan lembu dan lembu perlu makan dan tidur untuk sihat.  Kondominium di Bangsar adalah terbaik untuk lembu2 itu.  RM6.9 juta satu untuk 2  kondominium bukan mahal kalau dilihat lokasinya.  Lembu2 ini pasti akan gemok gedempol dan mahal harganyam, kata Sharizat. Nanti bila pasaran lembu sudah menurun, kondominium ini akan dijual dan menampung waktu masa merundum nanti  kata Khairy Jamaluddin pula. 

Cerita sebalik Berita

Semalam Duta Canada ke Malaysia memberitahu 30 Universiti dari Canada akan datang dan mempromosi universiti masing2 kepada penduduk Malaysia.  Sekarang mengikut beliau ada 800 orang pelajar dari Malaysia belajar di Canada.  Dia juga memberitahu bahawa pelajar2 diberi peluang untuk bekerja separuh masa sehingga 20 jam seminggu atau sepenuh masa ketika cuti semester. 

Apa yang kita boleh baca dari kata2 Duta ini? Sebenarnya program untuk meningkatkan penduduk Canada yang sudah bermula lebih 10 tahun dulu masih tidak kesampaian.  Tahun lepas di Canada 170,000 orang telah diberi kewarganegaraan untuk tinggal di Canada.  Canada ketika ini mempunyai 35 juta orang dengan keluasan negara nombor 2 terbesar di dunia.  Mengikut kajian dan rahsia orang ramai, pada tahun 2050 nanti jika tidak di tambah penduduk, kemungkinan Canada akan kepupusan orang.

Di Malaysia, beberapa minggu dulu cerita tentang pelajar2 yang datang ke Malaysia sebenarnya tidak belajar tetapi mencari pekerjaan.  Kita marah dan kerajaan marah.  Banyak orang Negro di Sunway, Nilai dan Bukit Bintang.  Orang2 dari Middle East juga ramai dan menjual dadah di Malaysia - Iran. 

Perbezaan melayan pelajar di antara Canada dan Malaysia sebenarnya mempunyai takrif yang berbeza.  Peluang ini hendaklah diambil oleh pelajar2 di Malaysia kerana tukaran wang asing di Canada tinggi dari Malaysia.  Jangan takut kerana seolah2  Duta Canada itu memberitahu tak ada duit tak apa kerana kami pastikan anda semua bekerja di Canada untuk menampung hidup. Dan akhirnya jadilah warganegara kami.

Tuesday, November 15, 2011

Nak jadi Jutawan sangat!!!!

Sekadar hiasan
Apa yang lebih penting bila berniaga? Produk atau layanan.  Dia mengambil contoh Mc D.  Bagaimana jualan harian mereka? Tinggi dan membanggakan.  Adakah produk atau layanan yang maha hebat menyebabkan mereka di situ.  Bukan.  Layanan paling cikai.  Berdiri di kaunter, bayar, tunggu sambil berdiri dan duduk makan.  Kalau nak sos sila ke sudut satu lagi.  Straw air pun kena cari sendiri.  Layanan tiada kata dia.  Aku mengiakan.  Produknya di banding dengan burger tepi jalan - mana lebih sedap? Aku menjawab yang di tepi jalan lebih sedap kerana ingin meraikan persoalan.  Nah, kata dia - aku sendiri menjawab maka betul produk dan layanan tidak penting.

Dia sambung lagi.  Sebab apa Mc D membuat duit sekian banyak adalah kerana sistem yang betul. Sistem Franchise yang betul maka Mc D mendapat untung yang luar biasa.  Aku cuba menjentik pemikiran tentang rugi benar kalau budak2 belajar di universiti tentang 'marketing mix' iaitu 4P yang penting untuk berniaga - Produk, Promosi, 'Price' dan 'Place'.  Dia terus mengatakan itu hanya mitos sahaja.  Yang paling penting adalah sistem yang betul untuk berniaga.

Rangkaian atau  'network' paling penting dalam hidup kata dia.  Kita ada networking baru kita kahwin.  Adik beradik, saudara mara, ipar duai dan mak cik pak cik adalah satu rangkaian yang besar untuk berniaga.  Rangkaian ini akan menjadikan kita jutawan. Jeng jeng jeng......aku sudah menulis benda yang sama beberapa kali dalam blog ini.  Siapakah orang yang akan memastikan kita jutawan kalau orang bawah tidak membeli barangan yang kita jual.  Skim cepat kaya diharamkan bukan sebab tak boleh jadi jutawan nanti BNM marah tetapi kerana kita orang biasa tidak dibenarkan menerima deposit.  Maka produk adalah paling penting.

Aku duk fikir2 rangkaian bawah aku ini, sila rujuk http://www.geni.com/ rasa2 aku boleh jadi jutawan rangkaian tapi hendak memaksa dorang bagi duit kat aku rasa2 dorang kena fikir banyak kali.  Aku terkesima dengan ayat menjadi jutawan dalam masa setahun dengan hanya mementingkan sistem.  Sistem sebenarnya tidak berjalan kalau tiada yang membeli.  Franchise Mc D berjaya disebabkan produk yang dijual memberikan satu branding pada yang makan.  'Lifestyle' atau gaya hidup yang dijual adalah produk yang lebih kukuh untuk dipamir jualkan.  Kita cepat terpengaruh dengan berbagai cerita jutawan sedangkan kalau difikirkan setiap kali ekonomi merundum, skim inilah paling cepat datang menyelinap dan mengambil duit orang tanpa disedari.  Aku suka mendengar dan berbahas sampai kecewa.  Dan akhirnya sila cari orang lain. 



Monday, November 14, 2011

Killer Elite

Setiap filem Robert De Niro aku cuba pastikan menonton.  Tetapi sedekad lalu bila dia mula buat lawak dalam filem, hati aku kurang nak menonton. Tiba2 keluar filem yang satu ini dan gandingan pelakon2 aksi yang biasa seperti Clive Owen dan Jason Statham, hati mula tertarik untuk menonton.  Cerita berkisar tentang pembunuhan yang dirancang di seluruh dunia dan berdasarkan cerita benar.  Jason Statham sudah mahu mengundur diri dari menjadi pembunuh upahan tetapi disebabkan mentornya Robert De Niro ditahan di Oman kerana gagal membunuh menyebabkan dia keluar dari tempat persembunyian.  Mereka perlu membunuh angota tentera khas (SAS) di Britain yang diketuai oleh Clive Owen.  Taktik pembunuhan yang boleh dipelajari memang nampak realismnya kerana mungkin berdasarkan cerita benar.  Tetapi cerita ini tidak sehebat menonton cerita2 lain Jason Statham seperti Transpotter kerana cerita Benar kalau tiada dramatik atau tambahan maka menjadi cerita yang hambar. Aksi Robert De Niro di dalam Heat lebih dramatik dan mengejutkan kerana dalam filem ini digambarkan terlalu tua untuk membuat semua yang dilakonkan dalam filem ini.  Nampak sangat Tua nya dan terlalu lembap pergerakan.

Kerja Sampai Tua

Ini memang satu masalah bagi kita orang2 Malaysia.  Lepas 55 tahun, duit EPF dikeluarkan maka ia akan habis dalam masa 2 atau 3 tahun sahaja.  Hidup makin panjang pulak.  Pinjaman rumah sekarang sudah boleh dipanjangkan sehingga umur 70 tahun.  Bagaimana hendak membayar hutang rumah kalau tidak bekerja.  Maka tahap pencen telah dipersetujui ramai2 minta dinaikkan.  Kalau dulu 55 tahun maka dinaikkan 58 2 atau 3 tahun lepas dan baru2 ini dipersetujui pulak dinaikkan pada 60 tahun.  Pada aku setuju sangat.  Pada satu ketika ketika aku bertukar bank dari Maybank ke Bank Muamalat, perubahan melihat ketuaan ini memang berbeza dimana Maybank 55 tetapi Bank Muamalat 60 tahun.  Salahkan mereka nak kerja waktu2 hujung begitu? Tak salah tetapi aku terasa sangat bila bekerja dengan mak cik2 dan pak cik2, Aku berumur 35 tahun menjadi pengurus kepada seorang pak cik pegawai yang berumur 58 tahun dan seorang mak cik 50 tahun.  Buat lawak mereka tak ketawa, marah mereka tak jalan, tengking buat tak tahu dan nak sembang apa pun aku tak tahu? Dan selalunya mereka sangat baik dengan aku, "Boss, hari minggu ini free tak, anak saya kawin." Dan aku selalu mengalah.

TRESPASS

Cerita yang dikitar seberapa banyak kali untuk tontonan kita.  Cuma yang berganti adalah pelakon.  Nicole Kidman dan Nicolas Cage tidak pernah diganding bersama disatukan dalam filem ini sebagai suami isteri.  Cerita yang tidak banyak plot dan senang difahami.  Yang agak baru adalah apabila mangsa mencabar penceroboh/perompak untuk mendapatkan sesuatu.  Geteran yang sama boleh kita lihat dalam filem 'Ransom' lakonan Mel Gibson dulu dimana dia tidak akan membayar apa-apa walaupun anaknya berada di tangan penculik.  Ini dilekatkan dihati penonton sehingga habis.  Tetapi cerita Trespass tidak, setiap kali leverage itu bertukar setiap kalilah kita penonton mereka sesuatu.  Nicolas Cage tidak akan membuka peti simpanan kerana dia tahu satu keluarga akan dibunuh.  Bengang perompak tetapi anak mereka ditahan maka pegangan Nicolas Cage terpaksa berubah.  Mereka mencari berlian dan mengikut Nicolas Cage kalau ditangan dia berlian itu adalah sesuatu yang berharga tetapi kalau ditangan perompak ia adalah sekadar batu yang bercahaya.  Setiap berlian adalah berdaftar dan rompakan itu akan diketahui juga.  Dan disebabkan permainan ini berlanjutan hingga ke 3 kali maka aku naik bosan kerana sudah dapat meneka pengakhiran cerita.  Kalau isteri dah tidur dan tak ada apa2 nak buat, bolehlah menonton untuk senang tidur.

Thursday, November 10, 2011

Apa Aku kena Buat !!

Aku kerat lapan belas Mamat ni
Sudah 2 hari, lelaki Bangladesh itu datang ke pejabat aku.  Menunggu sesuatu yang tidak kunjung tiba.  Yang dipesan sebenarnya akan sampai ke Bangladesh tidak lama lagi.  Tetapi dengan semangat pejuang komoditi, dia lebih rela hadir di pejabat aku menunggu pesanan tiba.  Sudah 2 hari juga aku melayan kerenah lelaki Bangladesh ini.  Bukan aku marah tapi gangguan yang sekejap2 ini boleh membuat aku lalai melayan.  Semalam aku ke pejabat Imigresen kerana membantu dia melanjutkan Visa.  Dan hari ini aku mengajak dia makan tengahari saja2 untuk mengambil hati.  Dia berada disini sehingga 29 November nanti.  Mungkin disebabkan tiada kawan di Malaysia, dia lebih rela duduk di pejabat aku.  Aku mengajak makan kerana aku mahu makan.  Jam sudah menunjukkan jam 1.45 pm. Nampak ikhlas pada awalnya dan aku sentiasa tersenyum bersembang.  Tiba di kereta aku yang sekitar 200 meter dari pejabat, aku tersenyum lagi.  Lelaki Bangladesh itu pun tersenyum dan aku menekan penggera kereta.  Lelaki Bangladesh itu laju berjalan dan menuju ke tempat penumpang dan membuka pintu.  Aku sudah tersenyum bukan macam tadi terus terkelat.  Dia buka pintu belakang dan tersenyum duduk menunggu aku.

Wednesday, November 9, 2011

Nak bahagian mana?

Korban adalah sunat muakad iaitu sunat yang dituntut. Dan digalakkan berkorban dengan unta, lembu,  kambing dan biri2.  Bagi lembu bahagian korban adalah 7 maka 7 orang boleh berkorban dengan seekor lembu. Harga satu bahagian korban sekitar RM350 - RM400. Diberitakan di satu tempat pada hari raya korban baru2 ini sebanyak 12 ekor lembu, 2 ekor kerbau dan seekor kambing dikorbankan.  Banyak dan meriah.  Tetapi yang tidak menyeronokkan bahagian2 tertentu pada lembu itu telah dikhaskan untuk orang yang berkorban.  Daging batang pinang iaitu daging yang paling lembut dalam bahagian lembu diperuntuk kepada yang berkorban(daging itu letaknya di tengkuk bahagian atas lembu sehingga ke bontot). Setelah diasingkan barulah korban2 ini dibungkus untuk diberikan kepada orang ramai.  Memilih atau menentukan bahagian untuk diberikan kepada orang ramai pasti tidak mencapai matlamat berkorban.  Apa bahagian yang boleh dibeli dengan harga RM350 di pasaraya.  Mungkin bukan sahaja yang paling lembut tetapi lebih banyak.  Mengisafi perkara ini adalah lebih penting dan tidak memilih dalam berkorban. Berkorbanlah betul2 bukan sekadar meletak duit untuk memilih bahagian daging.

Tuesday, November 8, 2011

Korban 06/11/11 dan Majlis Aqiqah 07/11/11

06/11/2011 - Selamat Hari Raya Aidil Adha - (raya korban)

Lembu yang dinanti hanya tiba pukul 3.15 am.  Adik lelaki yang seorang, setia menunggu kerana ditugaskan membeli lembu dan mengumpul dana.  Lembu yang dijanjikan tiba pukul 10 malam dari Sg Buaya Rawang hanya bergerak sekitar 12 malam.  Emak yang tidak cukup tidur seperti menanti sama lembu tiba.  Aku juga menunggu lembu yang sama.  Aqiqah untuk anak dibuat sehari selepas hari raya.  Hari raya Aidil Adha sudah sampai ke Subuh.  Takbir dari kaset sudah beralun dari Masjid An Nur Kg Melayu Subang.  Subuh di masjid tidak ramai mungkin kebanyakan orang penat menunggu lembu macam kami. Solat Sunat hari raya akan bermula pada pukul 8.15 am.

Khutbah Hari Raya Aidil Adha berkenaan dengan  pergorbanan dan tugas2 sebagai orang Islam. Khutbah disampaikan oleh Ustaz Azli bin Adnan tanpa memakai teks yang diberikan.  Lembu2 yang sebanyak 10 ekor akan mula disembelih pada pukul 9.30 am.  Pisau sudah diasah pada Subuh hari tadi seperti tak sabar untuk melapah lembu.  Adik aku yang masih pening menunggu lembu hanya hadir sebentar melihat lembu di Masjid kerana dia mahu berehat kerana petang nanti lembu di rumah pula akan diselesaikan dengan adik beradik sahaja.  Aku sudah berpesan dengan Hj Mesni untuk menyembelih lembu dirumah kami selepas waktu Zohor.  Aku sudah sampai ke lembu ke-3 untuk melapah.  Pinggang sudah terasa seperti berlipat.  Mungkin tunduk terlalu lama. 

Selesai 10 ekor lembu dikorbankan di Masjid An Nur.  Agihan lembu akan bermula pada bila2 masa dan pengumuman dibuat ia akan dilakukan sebelum waktu Zohor sekitar 12.45 pm.  Dan sebagai petugas aku diberi 1 kilo daging dan tulang.  Setelah itu aku bergegas pulang kerana waktu Zohor akan masuk sekitar 12.58 pm.  Mandi sekadar basah tetapi memastikan segala darah dan kekotoran hilang dari badan.  Zohor di Masjid An Nur selesai dan juadah tengahari telah siap kerana pada malam semalam sebenarnya 2 ekor lembu telah disembelih untuk Aqiqah.  Lembu yang diaqiqah ini juga menjadi makanan sepanjang hari raya ini sehingga malam sambil meraikan anak2 yatim di Masjid. Aku sempat mengambil semangkuk sup tulang dan makan tengahari itu.  Sempat juga menegur Hj Mesni mengingatkan tentang aktiviti selepas Zohor sekitar pukul 2.30 nanti.  Aku juga sempat mengambil sebekas perut lembu masak lemak untuk bagi keluarga aku rasa.

Kembali ke rumah mak aku di tempat lembu diikat.  Beberapa orang sudah bersedia untuk menjatuhkan lembu.  Adik Ipar Hanafi, Man jiran aku, Ismail sepupu dan Azuan adik Ipar.  Dan yang paling ramai adalah anak2 aku dan anak2 buah membantu menonton.  Aku masih dibilik menukar pakaian sambil melihat ke tingkap.  Hujan renyai pun turun.  Mak aku sudah memanggil nama aku dan meminta aku pastikan tukang sembelih hadir dan pastikan nama2 yang berkorban dan beraqiqah ditulis namanya dengan betul.  TIBA2 seperti kegemparan berlaku di luar.  Aku masih berada di rumah.  Tidak terasa lansung akan kegemparan tersebut.  Adik aku Zuhijjah memberitahu aku, Hanafi telah ditendang lembu.  Tergolek kesakitan di depan rumah.  Aku sudah bersedia untuk keluar tetapi tidak sempat membantu apa2. Hanafi sudah duduk di kerusi depan dengan mengurut2 betis dan lutut, kesakitan yang amat sangat nampaknya.  Lembu sudah terbaring dan terikat,  bersedia untuk disembelihkan.  Urusan mesti diteruskan.  Hj Mesni tiba selepas 3 minit sahaja aku menalifon.  Takbir dialunkan sambil Hj Mesni meletakkan parang di leher lembu.  Dan semua selesai sekitar 4.30 petang dan cantik terbahagi.  Hanafi yang ditendang lembu masih sakit terbaring di dalam rumah.  Dan petang itu juga Hanafi dibawa ke Klinik dan dix-ray tetapi tiada apa yang berlaku cuma mungkin bengkak sahaja.

Hanafi
Dan selepas waktu Isyak di masjid An Nur, makan  bersama anak2 yatim berlansung dengan hidang paling ringkas tetapi sedap.  Nasi, daging dendeng dan jelatah (timun, bawang dan nenas).  Aku sempat bungkus daging dendeng untuk keluarga aku rasa nanti.

Pukul 9.15 pm, isteri aku sudah mengajak aku balik ke rumah kerana pakaian anak2 sudah habis terpakai.  Rumah aku dan mak hanya sejauh 15 minit perjalanan sahaja.  Dan malam terus larut dengan penat dan cerita Hanafi kena tendang lembu.

07/11/2011 - Majlis Aqiqah (Nurul Ain, Najid Razzin dan Muhammad Aniq Zaheen)

Sebelum subuh Mak aku telah dikejutkan oleh jiran.  Perjalanan hari yang panjang ini pasti meletihkan tetapi menyeronokkan.  Nama aku dipanggil kerana bila2 masa Subuh akan masuk.  Dan acara memasak bermula pada pukul 7 lagi.  Bersarapan sekadar yang ada lemang, nasi impit dan rendang.  Daging dendeng yang aku bawa semalam masih ada dan sangat sedap dimakan dengan lemang.

Mak sudah memberi arahan untuk menjemput orang datang rumah dan membeli limau.  Laksa dan daud salad perlu ditambah. 

Makanan sudah masak untuk dihidangkan.  Berapa jenis? Mengikut kiraan tangan adik aku, Khairil Anwar kemungkinan 12 jenis hidangan. Aku cuba namakan satu2 - sup tulang, daging dendeng, kari daging, laksa, nasi impit, ikan masak tauchu, nasi tomato, nasi putih, bubur kacang, kek 3 jenis, pulut kuning dan ulam kerabu.  Belum lagi dikira dengan karipap dan kerepek. 

Majlis berjalan lancar dengan iringan berzanji dan memotong rambut anak yang diraikan.  Dan majlis bergerak dari 1.30 pm selepas Zohor sehingga pukul 6.20 pm. Dan Hanafi masih sakit terbaring dirumah.  Penutupan majlis hari itu sekitar 9.00 malam adalah memastikan semua peralatan masak dan pingan mangkuk habis dicuci.  Aku bekerja esoknya dan keletihan mesti dibalas selepas ini. 

Ahli2 berzanji
10.30 malam sampai di rumah dan dengan keletihan dan hujan renyai2 hadir, aku terpaksa pula mendukung seorang2 anak untuk kebilik.  Perjalanan 15 minit ini membuat mereka terus lena penat bermain.  Termengah2 mendokong dan peluh mengalir bersama hujan malam ini. Dan tidurlah semua dengan tenang.  Aku penat tak boleh tidur, menonton TV melayan cerita kelantan "Sorok Bau Budu".  Dan teringat Hanafi yang sekitar 8.00 mlm tadi minta untuk ke Hospital kerana kaki bengkak itu terus sakit.  Dan waktu melepasi 12 mlm dan mata terus terlelap penat.  Selamat Hari Raya Aidil Adha.

yang diraikan
(diberitahu pagi 08/11/2011, Hanafi telah ditahan di Hospital Sg Buloh kerana kaki yang ditendang lembu mungkin patah)



Sunday, November 6, 2011

V for Viagra

SMS Hari Raya Korban, Nov 6

8:48 pm
0173678600 : "U ada jual V tak?"

9.14 pm
Aku               : "V tu mende?"

9.15 pm
0173678600 :  "Owh tak pa. U tak tau"

9.26 pm
0173678600 : "Viagra u tau"

9.27 pm
Aku              : "Oh tu. Saya panggil up up bkn V."

9.28 pm
0173678600 : "Ooo, ada ke?"

9.30 pm
0173678600 : "Ada jual ke?

9.32 pm
Aku              : " Saya sudah habis jual pada superman"

9.34 pm
0173678600 : "Hahahaha u nakal la"

9.36 pm
0173678600 : "Apa benda u jual lagi?"

9.38 pm
0173678600 : "U ada jual yg geli2"

9.39 pm
0173678600 : "Saya nak teman boleh ke?"

9.48 pm
0173678600 : "Sibuk ke?"

9.54 pm
0173678600 : "Hoi tido ke?"

10.02 pm
0173678600 : "Tengah buat apa?"

10.55 pm
Aku              : "Up up in the way, GILA ke?"

Friday, November 4, 2011

Merdeka yang bagaimana?

Seksualiti Merdeka - ini adalah idea baru yang dicetuskan di Malaysia.  Sudah ada yang tertanya kepada ibubapa kalau merdeka kita kibarkan bendera maka kalau seksualiti merdeka bagaimana kibarannya? Hari ini khutbah Jumaat menceritakan tentang benda yang sama.  Apa yang perlu diperjuangkan oleh sesetengah2 NGO untuk mendapat perhatian orang.  Kalau PETA itu terpaksa meleraikan baju untuk menunjukan mereka tidak menyokong pakaian dengan kulit binatang.  Kalau hijau itu mereka akan berpakaian hijau dan tersengih2 di tengah2 bandar.  Yang ini adalah paling baru di Malaysia.  Kemerdekaan seksualiti mungkin pada seseorang ialah tak mahu bersunat atau boleh 'bertonjen' dengan kambing.  Sesuatu yang melawan naluri manusia pasti menimbulkan kemurkaan.  Lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan.  Mungkin mereka melihat binatang sebagai pasangan yang ideal dan boleh dicabuk bila2 masa.  Berhati2 bila menjawab dengan anak kerana soalan yang tidak dijawab dengan betul akan menambah soalan yang lebih kritikal.

'bertonjen' - sila rujuk kamus Orang Perak

Tuesday, November 1, 2011

01-11-2011

Ada apa dengan  nombor.  Nombor cantik oang suka.  Tak dapat bayangkan bagaimana orang suka tengok nombor.  Apa nombor kereta yang cantik dipandang?  Dulu cita2 hati nak ada nombor kereta DAU5.  Bila sudah ada duit, nombor yang kita mahu sudah ada empunya.  Nombor 4 orang Cina tak suka, nombor 8 mereka suka.  Nombor 13 rasa2 tak masuk fikiran dorang dan nombor 8 memberi keuntungan.  Dan kita orang Islam juga ada nombor untuk diingati rakaat, tawaf, sae dan solat.